Bab 14

9K 975 40
                                    

Bab 14

Aku dipanggil oleh Pengetua, Puan Nora untuk membuat keterangan tentang video yang tular itu. Dalam video memang kelihatan jelas aku yang menampar Cikgu Azmah. Rata-rata warga net mahu aku dikenakan tindakan tatatertib kerana melakukan keganasan di sekolah. Mereka mahu hukuman yang diberikan kepada aku dimuat naik ke laman sosial sekiranya ada tindakan dikenakan terhadap aku agar mereka berpuas hati. Kata Puan Nora lagi, hal ini sudah sampai ke Kementerian Pendidikan Malaysia jadi walaupun aku mangsa keadaan, laporan penuh tetap perlu dibuat.

Kelakar. Mereka yang tidak tahu asal usul kejadian terus menghukum seperti mereka tahu segalanya dan berada pada pihak yang betul. Aku sudah baca satu per satu komen mereka. Jujurnya, hati aku remuk bukan kerana aku dihina atau disalah erti. Tapi sebab hilangnya santun dalam pertuturan. Entah mana hilangnya adab. Entah mana perginya akhlak. Sedangkan Islam di negara ini bukan bercambah daripada peperangan dan keganasan tetapi daripada luhurnya budi dan akhlak para pedagang sehingga keindahan itu menjadi asbab keislaman sultan dan rakyatnya.

"Cikgu Izz, duduk dulu." Serius wajahnya.

Aku menarik kerusi.

"Saya dah dengar cerita daripada Ustaz Amirul, cuma masalah sekarang ni ialah cerita tu tak link dengan cerita Cikgu Azmah. Saya dah jumpa dengan dia dekat hospital. Dia kata cikgu serang dia dulu secara fizikal sebab dia tersalah cakap sikit." Puan Nora membuka bicara.

Allahu Akbar. Ujian apakah ini ya Tuhan...

Aku cuba untuk bawa bertenang. Sanggup Cikgu Azmah mengkambing hitamkan aku untuk selamatkan kerjaya dia...

"Puan, dengar cerita daripada saya pula. Saya yang bawa dia naik ambulan semalam. Kalau memang niat saya nak cederakan dia, saya tak bawa dia secara logiknya. Bersama saya selain daripada Ustaz Amirul, ada enam orang lagi pelajar Sains Rumah Tangga. Budak kelas saya. Salah seorangnya sedang panjat tangga, hampir dihambat dengan beg tangan. Saya ditampar terlebih dahulu."

Aku tanggalkan sarung lengan sebelah kanan dan tarik lengan baju ke atas. Kesan lebam semalam masih kelihatan.

"Saya tahan tumbukan, racauan dan cakaran dia sebelum Ustaz Amirul bacakan ruqyah pada air dan curah kami." Aku tahan air mata daripada tumpah walaupun nada suara aku sudah bergetar.

Puan Nora membelek lebam aku. Dia juga perasan kesan cakaran pada wajahku.

"Puan boleh panggil anak-anak murid saya sebagai saksi, pengawas exco teknikal ada, Ustaz Amirul ada. Kak Mala tukang sapu tu pun ada dekat situ. Ramai boleh jadi saksi untuk saya." Aku cuba sebak mungkin mempertahankan diri.

Belum sempat Puan Nora berkata apa-apa, pintu bilik diketuk. Kerani pejabat membuka pintu dengan cemas kemudian Furqan masuk.

"Cikgu, Deena cikgu. Dia kena baling tepung sebab dia yang sebarkan video tu semalam."

Mendengar nama Deena, aku terus meminta diri untuk keluar. Ada jiwa yang perlu aku selamatkan.

Mereka semua berkerumun di gelanggang bola tampar. Ni bukan takat tepung, telur dan kunyit sekali dibantainya. Ingat nak buat roti jala ke apa?! Tangan-tangan sibuk merakam. Makin berani budak zaman sekarang ni. Mentang-mentang ada desas desus orang atasan untuk beri kebenaran bawa telefon bimbit ke sekolah, selamba badak keluarkan telefon.

Ada guru di situ menyuruh mereka berhenti tetapi jumlah yang ramai itu menyebabkan suara cikgu tenggelam. Aku kenal budak-budak ni. Semuanya anak murid aku. Ketiga-tiga subjek. Sains Rumah Tangga, Reka Bentuk Teknologi dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Kau memang nak tengok cikgu bertukar jadi singa betina lapar, kan?

Aku terus meredah antara mereka dan terus ke tengah. Jasad kaku yang sedang tersebik menangis itu aku peluk. Dia memandang aku dengan mata yang sudah merah. Sebiji telur mengenai tubuhku.

Bintang Paling TerangWhere stories live. Discover now