Bab 1

13.2K 606 24
                                    

Setahun selepas itu.

Haider tarik anjakan gear ke 'P' dan matikan enjin. Dia kemudian bersandar di tempat duduknya sambil menghela nafas panjang. Dia menutup mata, cuba untuk fokuskan semula fikirannya. Hari ini adalah hari yang paling dia tidak nantikan. Dia harap ia tidak pernah datang. Dia harap hari ini tidak wujud.

Sudah setahun berlalu sejak peristiwa itu. Haider tidak ingat bagaimana dia melalui hari - harinya sepanjang tahun yang lepas. Ia tidak mudah buat Haider untuk mengharunginya seorang diri. Dia masih lagi terseksa sekarang, tetapi tahun lepas adalah waktu yang paling teruk Haider pernah hadapi dalam hidupnya. Keseksaan yang dia tempuh keseorangan amat menyakitkan.

Dia teringat sebahagian memorinya yang perit itu.

Haider menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Dia mengunyah perlahan - lahan. Matanya masih bengkak kerana dia baru sahaja berhenti menangis sejam yang lalu. Tetapi, air matanya bercucuran tanpa dia sedari semasa dia sedang mengunyah.

Tekaknya terasa perit. Dirinya mula terasa mual. Dia segera bangun dan lari ke singki. Haider muntah, mengeluarkan sisa makanan yang dikunyahnya sebentar tadi serta sisa makanannya yang dimakan semalam.

Seluruh tenaga Haider hilang selepas muntah. Dirinya tidak mampu untuk berdiri. Haider secara perlahan merebahkan dirinya dan menyandarkan belakangnya pada kabinet. Nafasnya tersekat - sekat. Dia batuk sambil tersedu.

.

.

Suhu badan Haider panas. Dia langsung tiada kekuatan untuk bangun dari katilnya. Dia hanya baring sepanjang hari. Dia hanya minum dan menelan ubat demamnya. Dia tidak makan seharian. Selera makannya semakin hari semakin teruk.

Haider mengerang dalam tidurnya. Dahinya berpeluh. Seluruh badannya berpeluh. Cadar bantal dan katilnya basah. Haider menyimpulkan kakinya rapat ke dada, menahan kesakitan.

Dia bermimpi peristiwa itu dalam tidurnya. Dahi Haider berkerut dan dia berpaling ke kiri dan ke kanan. Dia menukar posisi baringnya setiap selang saat.

Haider berbicara dalam tidurnya. "Jangan..jangan..JANGAN!"

Dia tersentak bangun dari lenanya dan nafasnya mulai laju. Dadanya terasa sempit. Nafasnya kian pendek. Fikiran Haider mula berpusing - pusing . Kepalanya pening. Memori perit itu masih bermain di fikirannya. Tangannya menggigil.

Haider mencuba untuk menenangkan dirinya. Dia menarik dan menghembus nafasnya berulang kali. Dia mulai menangis apabila merasakan serangan paniknya semakin teruk. Dia mulai resah.

Dia bangun dari katilnya dan mundar - mandir dalam keadaan cemas. Dia masih menarik dan menghembuskan nafasnya berulang kali.

.

.

Haider berjalan keluar dari apartmenya buat pertama kali selepas sebulan mengurungkan diri di dalamnya.

Dia hendak menuju ke kedai runcit untuk membeli barang keperluannya.

Haider memakai topi dan pelitup muka untuk menyorokkan keadaannya yang teruk itu. Haider tidak ingat bila kali terakhir dia membasuh rambutnya. Matanya bengkak kerana tidak berhenti menangis. Lingkaran hitam mula terserlah kerana tidur yang tidak cukup. Bibirnya kering kerana selera makan dan minumnya hilang dengan drastik.

Selepas mencapai barangan dengan pantas, Haider tanpa berlengah meletakkan barang - barang di atas kaunter pembayaran. Dia hanya menundukkan pandangannya sepanjang masa.

Dalam Lamunan KitaWhere stories live. Discover now