Bab 37

4K 279 40
                                    

Satu maklumat yang tidak diduga terbongkar di depan mata Aira.

Kepingan gambar yang berada di dalam tangannya itu adalah bukti untuk sesuatu yang Aira tidak pernah cuba untuk mencari sepanjang hidupnya.

Aira merenung kepada gambar itu dalam keadaannya yang masih terduduk kaku itu.

Gambar yang dilihatnya itu seperti diambil di dalam ruangan yang malap dan tidak terlalu bercahaya. Gambar itu ditangkap di tempat yang amat Aira kenali dan tidak pernah lupa. Dari apa yang Aira lihat di dalam gambar itu, ruang belakang gambar itu adalah ruang tamu rumah kawannya. Aira meneliti gambar itu dan dia perasan yang gambar itu diambil ketika waktu parti hari jadi kawannya itu berlangsung pada lima tahun yang lepas.

Dalam gambar itu terdapat Husna yang sedang duduk di atas sofa dalam keadaannya yang sedang tersenyum lebar. Sebelah tangan Husna ketika itu dijulur ke arah kamera sambil dia memegang satu bungkusan plastik lutsinar kecil yang berisi beberapa biji pil. Sebelah tangannya lagi seperti sedang mencapai satu lagi bungkusan kecil yang berisi pil daripada seseorang yang sedang duduk di sebelahnya itu.

Muka Aira dengan serta-merta bertukar pucat apabila melihat kepada seseorang yang berada di sebelah Husna itu. Tangan dan kakinya mula menggigil dan badannya beransur sejuk. Jantung Aira seakan berhenti ketika itu. Dia tidak langsung bernafas sepanjang masa itu.

Seseorang itu adalah Haider.

Orang yang duduk di sebelah kakaknya di dalam gambar itu adalah Haider.

Aira dengan jelas boleh nampak dari gambar itu yang Haider sedang menghulurkan bungkusan plastik kecil berisi beberapa pil itu kepada Husna dengan tangan kanannya. Tangan kiri Haider pula sedang dihalakan ke kamera dengan membentuk 'rock sign'. Wajah Haider ketika itu sedang memandang kamera dengan senyuman yang lebar.

"Wh...apa..." Aira tidak dapat mengeluarkan kata-kata, dia masih terkedu. Fikirannya ketika itu terlampau kusut dengan persoalan-persoalan yang tiba-tiba muncul.

Aira pada saat itu dengan pantas melihat kepingan gambar lain yang berada di tangannya itu. Dia mengalihkan kepingan gambar yang baru dilihatnya itu ke belakang dan melihat kepada kepingan gambar yang seterusnya.

Gambar yang seterusnya ini masih ditangkap di tempat yang sama. Di dalam gambar itu, Husna dan Haider masih duduk di sofa yang sama, cuma mereka ketika itu bergambar dengan gaya yang lain.
Mereka berdua ketika itu sedang bersandar di sofa sambil ketawa. Pil-pil yang sebelum ini di dalam bungkusan kini sudah pun dikeluarkan dan sekarang berada di atas tapak tangan masing-masing.

Nafas Aira semakin laju dan dadanya kian terasa sempit. Dia seperti mahu mengalami sesak nafas. Bibir Aira semakin kering dan matanya tidak langsung berkelip melihat gambar-gambar itu.

Aira sekali lagi mengalihkan gambar itu ke belakang dan melihat kepada kepingan gambar yang terakhir yang masih belum dia lihat.

Gambar yang seterusnya ini masih di tempat yang sama dan kali ini, hanya Husna yang duduk di sofa itu. Haider ketika itu sedang berdiri di sebelah Husna. Aira dengan jelas boleh nampak ketika itu Husna sedang menghulurkan wang kepada Haider sambil Haider pula menaburkan pil-pil ke atas tapak tangan Husna. Husna ketika itu sedang memandang kamera sambil dia menjelir lidahnya dan pada permukaan lidahnya itu terdapat satu biji pil yang sama seperti di atas tapak tangannya itu.

Aira mula mencungap apabila dia melihat gambar yang terakhir itu. Tangannya semakin berketar-ketar dan matanya mula terkebil-kebil dengan laju. Gambar itu menunjukkan segala jawapan kepada persoalan Aira yang sedang deras bermain di fikirannya ketika itu. Ia memberikan penjelasan yang amat jelas kepada Aira pada waktu itu.

Haiderlah orangnya.

Dialah orang yang telah menjual dadah-dadah itu kepada Husna.

Aira pada saat itu terus teringat kepada waktu di mana dia dan Haider berada di pondok di hadapan rumahnya pada hari Haider meminangnya. Memori itu mula bermain di dalam fikirannya.

Dalam Lamunan KitaWhere stories live. Discover now