Bab 2: Tingkat 11

2.4K 135 4
                                    

BAJU t-shirt disarungkan pada badan dengan berhati-hati kerana takut terkena luka di belakang badannya. Semasa nak mandi, dia terpaksa menahan pedih apabila luka baru di belakang terkena air. Kalau tidak mandi, rakan sekerja akan mencemuhnya setiap masa. Lagipun, kebersihan diri sangat penting baginya.

"Hiss..."

Dia mendesis kesakitan apabila kain baju melekat pada badan. Lukanya akan makan seminggu untuk sembuh. Dia tidak mampu meletak ubat pada luka itu kerana tidak nampak ditambah lagi dia tidak tahu luka itu berada di mana. Jadi, dia biarkan luka itu sembuh dengan sendiri.

Setelah bersiap, dia melangkah keluar dari bilik dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan bunyi. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu penghuni rumah ini tahu dia hendak pergi kerja. Dia rela kewujudan di rumah ini dilupakan terus. Tapi dia tidak akan dapat keluar dari cengkaman rumah ini.

"Kau nak pergi mana?" soal satu suara yang muncul dari belakangnya.

Azalea menoleh. Seorang wanita memakai seluar palazo dan baju t-shirt yang mempunyai tompokan sos. Rambutnya kelihatan berserabai kerana bangun tidur. Seurat getah sayur di pergelangan tangan wanita itu digunakan untuk mengikat rambut. Wanita itu bercekak pinggang sambil merenung tajam muka Azalea.

"Nak pergi kerja, mak," balas Azalea.

"Kau jangan lupa pakai mask. Kalau orang tanya, pandai-pandai la kau menipu. Kau kan jenis betina suka menipu," ujar Sarimah.

Tangan Azalea naik menyentuh tepi bibirnya yang masih pedih. Darahnya masih dapat rasa di hujung lidah. Sebelah matanya kelihatan biru. Azalea mengeluarkan pelitup muka dari saku seluar sebelum pakai. Dia juga mengenakan topi di atas kepala.

"Dua tiga hari lagi gaji kau masuk, kan?"

Sarimah mendekati gadis itu dengan senyuman penuh makna. Rambut Azalea yang diikat toncang ekor kuda dibelai. Tiada rasa kasih dan sayang buat gadis itu. Azalea bukan anak yang dia kandung selama sembilan bulan. Jadi, buat apa dia sayang pada gadis ini. Apa yang ada hanya benci dan meluat sahaja. Dia jaga Azalea sebab terpaksa dan terdesak mahukan duit.

Azalea angguk.

Rambut Azalea dicengkam dengan kuat membuatkan kepala gadis itu terdongak ke atas. Tiada riak sakit yang terlukis di wajah Azalea. Inilah yang membuatkan Sarimah semakin benci dengan gadis ini. Azalea tidak pernah senyum, tidak pernah menunjukkan rasa sakit, dan tidak pernah marah malah tidak pernah menitiskan air mata.

Kadang-kadang dia takut dengan Azalea yang seperti patung yang bernyawa. Kalau dia pukul Azalea, gadis itu tidak akan memberi reaksi. Mungkin sebab itulah dia seronok mendera mental dan fizikal gadis itu sesuka hati. Dari kecil sehingga sekarang.

"Lepas dapat gaji. Kau bagi dekat aku. Kau faham kan kenapa kau kena bagi aku duit?"

"Hadiah untuk mak sebab mak jaga saya dari kecil."

"Tahu pun. Kalau kau dengar cakap aku macam ni kan bagus. Tak perlu la aku sebat kau dengan batang penyapu bagi kau faham. Berambus dari sini!"

Sarimah menunjal kepala Azalea tanpa rasa bersalah sebelum melangkah masuk ke dapur.

Azalea memandang sekilas badan Sarimah yang semakin menghilang sebelum melangkah keluar dari rumah. Dia terpaksa menuruni tangga dari tingkat lapan kerana lif di pangsapuri sudah lama rosak. Sudah banyak kali penghuni kawasan ini membuat aduan tetapi tiada tindakan dari pemaju.

Keluhan kecil terlepas dari bibirnya apabila melihat jalan raya yang terasa jauh daripada biasa. Dia terpaksa berjalan sepuluh minit untuk ke perhentian bas. Masa untuk tiba di tempat kerja pula adalah setengah jam. Jika terlepas dia terpaksa menunggu bas lain, perjalanan yang setengah jam boleh jadi sejam setengah.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now