Bab 29: Pecat

1.3K 97 3
                                    

SATU-persatu baju yang tergantung di dalam almari diacukan pada badannya. Semua blaus yang dia pernah pakai sudah semakin sendat. Ada yang singkat, ketat dan juga tidak kena dengan citarasanya. Mungkin perubahan bentuk badannya membuatkan pakaian yang dibeli sudah tidak muat.

“Abang, baju Lea semua dah tak padan,” adunya.

“Lepas check-up kita pergi beli baju mengandung kau,” balas Rayan.

“Sekarang ni Lea nak pakai baju mana? Semua dah ketat.”

“Pakai ajelah dress. Kan banyak lagi dress yang padan dengan kau?”

Masalahnya Azalea tidak suka memakai gaun ataupun skirt. Sukar untuk dia bergerak bebas. Memandangkan semua baju dan blaus sudah ketat, dia terpaksa memilih gaun untuk pergi ke klinik hari ini.

Gaun putih bercorak bunga diambil dari penyakut. Ada tulisan Christian Dior di hujung gaun tersebut. Dia menyarungkan gaun putih itu pada badannya yang mencecah buku lali. Sepatutnya dia pakai dengan tali pinggang untuk kelihatan lebih kemas. Tetapi perutnya yang sudah ke depan jadi dibiarkan di dalam almari sahaja.

Aksesori yang digunakan anting-anting untuk menambah seri pada wajahnya. Mukanya dikenakan solekan nipis. Hanya menggunakan maskara, BB Cushion, pemerah pipi sedikit dan lip tint. Seri wajahnya sudah naik.

Dia memandang koleksi kasut yang tersusun di atas rak. Rasa nak cuba pakai kasut tumit tinggi. Tangannya dipanjangkan memegang kasut tumit tinggi berjenama sama dengan gaun. Tetapi terbantut mendengar kata-kata si suami.

“Lea, pakai kasut biasa ajelah. Kenapa nak pakai high heel juga? Kau tu dah la mengandung. Kau jatuh tergolek aku tak nak tolong,” tegur Rayan bercampur dengan amaran.

Bibir Azalea sudah memuncung mendengar ucapan suaminya. Dia terpaksa membatalkan niatnya. Sandal menjadi pilihannya.

“Buku pink kau letak mana?” soal Rayan.

“Dalam beg.”

“Lebih baik kau check sekali lagi. Bulan lepas dah tertinggal. Aku juga kau salahkan,” bebel Rayan.

“Dah memang salah abang. Nak cepat sangat. Sebab tu tertinggal,” balas Azalea.

“Eh, kau ni dah pandai menjawab ya?”

Azalea cepat-cepat melangkah keluar dari bilik takut kena bebel dan marah dengan Rayan. Sejak dia mengandung, suaminya suka sangat cakap banyak.

“Abang, cepatlah!” Sempat dia menggesa si suami.

SEBELUM mereka ke klinik, Rayan singgah di syarikatnya terlebih dahulu untuk menghadiri mesyuarat penting. Jika dia patah balik rumah selepas mesyuarat, mereka akan lewat ke temujanji yang ditetapkan. Sebab itu dia bawa Azalea sekali ke pejabat. Keselamatan Azalea terjamin dengan adanya Hud dan Haq di situ.

“Abang, Lea nak pergi jumpa kawan sekerja Lea, boleh?” minta Azalea.

“Sekejap aje. Lepas tu kau naik ke pejabat aku.”

Dahi isterinya dicium sekilas sebelum mereka berpisah di depan lif. Sepasang kembar itu mengekorinya dalam jarak dua meter ke belakang. Mungkin tidak mahu dia rasa rimas dengan kehadiran mereka.

Azalea agak teruja untuk bertemu dengan Mia dan Jeeha. Sudah lama dia tidak datang ke sini sejak dia kahwin. Kalau ikutkan hatinya, dia mahu bekerja. Tetapi Rayan tidak benarkan kerana takut perkara tidak diingini terjadi. Azalea akur dengan arahan suaminya kerana hidup mereka tidak sama dengan orang lain.

Sebaik sahaja dia tiba di bilik janitori, kakinya pegun di situ mendengar perbualan Mia dan Jeeha yang jelas kedengaran. Pintu bilik dibiarkan terkuak sedikit untuk mendengar isi percakapan mereka berdua.

Bunga Pujaan Devil [C]Där berättelser lever. Upptäck nu