Bab 30: Mama

1.6K 88 3
                                    

BUAT pertama kali mereka keluar tanpa ada gangguan yang cuba mencederakan Azalea mahupun Rayan. Mereka dapat menghabiskan masa bersama setelah sekian lama tidak keluar. Rayan pula hanya melayan sahaja apa yang isterinya mahukan saat singgah di pusat membeli-belah setelah pemeriksaan kandungan.

Kedua-duanya sihat. Baik si ibu mahupun anaknya. Tetapi berat badan Azalea pula jadi masalah. Kata jururawat masih tidak cukup berat bagi wanita mengandung. Padahal dia tengok isterinya semakin berisi. Kali ini bukan Azalea yang tidak puas hati, tapi dia.

Dia nak bagi Azalea makan apa lagi? Semua makanan isterinya makan semuanya berkhasiat. Ada juga yang tidak berkhasiat tetapi berpada-pada. Segala kemahuan Azalea akan dituruti. Makan aiskrim sampai habis satu bekas pun dia tak kisah.

Satu bekas aiskrim Haagen-Dasz apalah sangat. Sebab kuantiti agak sedikit berbanding dengan aiskrim Nestle. Jadi, dia tak marah sangat.

“Lepas ni kau nak makan apa pula?” soal Rayan.

“Lea nak makan corndog. Dalam tu ada cheese. Kalau makan kita boleh tarik-tarik dia,” beritahu Azalea. Membayangkan sahaja buat dia tertelan air liur sendiri.

“Ni last kau boleh makan dekat sini. Lepas tu kita balik. Hud, kau belikan apa yang Lea nak,” arah Rayan.

“Aku nak satu,” celah Haq.

“Kau beli sendirilah!”

“Aku tak boleh tinggalkan mereka berdua. Tugas aku jaga majikan aku,” balas Haq. Aiskrim yang dibeli dengan duit Rayan masih berbaki sedikit lagi. Dia perlukan makanan lain untuk dimakan sebagai tenaga.

Hud akur. Itu kebenaran yang tidak boleh disangkal. Orang yang paling sesuai jaga Rayan dan Azalea jika diserang ialah abangnya. Haq mempunyai kemahiran pertahanan diri yang baik. Manakala dia hanya seorang strategis dan penembak dari jauh sahaja.

Setelah mendapatkan apa yang Azalea mahu, mereka pulang ke rumah.

“Abang, Lea teringin nak makan pisang goreng,” ujar Azalea.

“Mana ada dekat sini? Kita dah nak sampai rumah dah. Kenapa kau tak cakap awal-awal?”

“Ada gerai pisang goreng sebelum masuk simpang rumah kita. Abang beli dekat situ.”

“Sejak bila pula ada orang jual pisang goreng dekat situ? Sebelum ni tak ada pun.”

“Baru buka kut. Boleh la abang,” pujuk Azalea.

“Kau tak makan nanti siap kau,” ugut Rayan

“Nanti abang tolong habiskan untuk Lea.” Azalea tidak pernah takut dengan ugutan manja suaminya.

“Macam-macam kau ni. Nasib baik sayang,” bebel Rayan.

Seperti apa yang Azalea katakan, ada sebuah gerai goreng pisang di simpang sebelum masuk ke rumah mereka. Rayan memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum menurut kemahuan isterinya. Dia biarkan Azalea menunggu di dalam kereta memandangkan langit kelihatan mendung mahu hujan.

“Abang tengok tu.”

Jari Azalea lurus menunding ke arah seorang wanita yang memakai baju compang-camping. Wanita itu sedang berjalan melepasi kereta mereka.

“Apa lagi Lea?”

“Tengok la mak cik tu. Kesian dia jalan seorang diri. Tak pakai selipar lagi. Mesti sakit kaki dia. Abang tak nak tolong ke?”

“Aku bukannya rumah kebajikan bergerak nak tolong orang.”

“Tapi abang, hari dah nak gelap. Kejap lagi nak hujan. Kesian dia tak ada tempat nak berteduh. Apa salahnya kita tolong dia, kan?” pujuk Azalea.

Bunga Pujaan Devil [C]Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt