BAB 5: Abang Angkat

2.2K 130 1
                                    

KELOPAK mata Azalea mula terbuka perlahan-lahan saat badannya rasa tidak selesa untuk tidur. Pandangan pertama dia nampak adalah ruang gelap. Cahaya dari bangunan di kota raya menembusi dinding kaca dapat menyinari sedikit tempat itu. Azalea kenal suasana bilik ini. Dia yang bersihkan tempat ini dari tompokan darah.

Dia cuba menggerakkan badan. Tetapi sia-sia kerana kedua-dua belah tangan terikat pada belakang kerusi. Azalea tidak meronta-ronta apabila melihat keadaannya jadi begini. Malah dia terima sahaja apa yang berlaku pada dirinya. Kalau orang yang cuba menculiknya, mahu membunuh dia. Dia rela. Mati dalam keadaan ini lebih baik dari terus berada di dalam neraka dunia.

“Siapa upah kau?”

Suara garau menyapa cuping telinganya. Azalea tercari-cari pemilik suara itu. Cahaya yang menerobos dari dinding kaca tidak dapat menerangi sepenuhnya bilik itu. Dia memincingkan mata untuk mencari susuk manusia di sudut yang gelap.

Lampu meja menyala. Seorang lelaki sedang bersandar pada birai meja sambil berpeluk tubuh menghadap ke arah Azalea. Jejaka itu mengheret sebuah kerusi untuk duduk bertentangan dengannya. Badannya dibongokkan sedikit sambil merenung gadis itu di hadapannya.

Sepasang mata kelabu merenung Azalea dengan garang buat dia rasa kecut perut. Tambahan lagi dengan suara kedinginan dari lelaki itu. Bulu romanya berdiri tegak apabila dapat merasai yang nyawanya berada di tangan jejaka itu. Dia memang nak mati. Jadi, buat apa dia takut?

“Encik, boleh tak buka lampu? Tadi saya buka, lampu masih nyala lagi,” ujar Azalea dengan muka tidak bersalah.

Tap!

Suasana bilik sudah jadi terang-benderang. Azalea dapat melihat dengan jelas wajah lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya. Seorang lelaki memakai baju kemeja putih dengan lengan baju sudah disingsing sehingga ke pangkal lengan. Tiga butang baju sudah ditanggal membuatkan Azalea dapat lihat dada bidang lelaki itu.

Irisnya beralih pada wajah si penculik. Terdapat satu perkataan yang berada di atas kening lelaki itu. Namun, tetap sedap mata memandang. Perkataan yang sesuai untuk menggambarkan jejaka di hadapannya ialah tall, dark and handsome. Bait itu Azalea belajar dari Jeeha dan Mia tadi. Tapi bebola mata hitam lelaki itu merenungnya seperti dia adalah pemangsa. Dingin dan garang.

“Kenapa kau pergi buka lampu?” soal Hud dengan geram.

“Bukannya bos tak bayar bil elektrik,” balas Haq.

“Boleh tak kau fikir guna otak? Tengok dulu keadaan macam mana baru buat.”

“Nak fikir apa lagi? Bilik ni memang gelap.”

“Hud, Haq, boleh diam tak?” Rayan bersuara.

Dia baru sahaja serius menyoal siasat Azalea. Dua orang beradik itu selalu buat hal tak kena tempat. Kenapalah dia ada sekretari dan pengawal peribadi macam ni? Jenis tak suka ikut arahannya walaupun apa yang dia suruh adalah mudah. Dia suruh paksa Azalea ikut mereka tapi dua beradik itu menculik gadis itu pula.

“We keep our mouths shut,” balas Hud.
Rayan kembali fokus pada gadis di hadapannya. Wajah yang penuh dengan kesan lebam dan luka menyukarkannya untuk bertindak kasar.

“Aku tanya sekali lagi. Siapa upah kau?” soal Rayan dengan tegas.

“Saya kerja dekat sini. Bos syarikat ni upah saya bersihkan bangunan ni,” balas Azalea.

Kening Rayan bertaut apabila mendengar jawapan dari gadis itu. Kedengaran sangat naif. Tidak mungkin Azalea tidak mengenali dia, Pengarah Urusan RA’ED Corp yang merupakan usahawan termuda bukan sahaja terkenal di Asia Tenggara. Tetapi juga di Barat. Mukanya boleh dilihat di mana-mana media massa atau media sosial.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now