Bab 45: Musuh Lama

999 71 0
                                    

PENGAWAL keselamatan yang baru bekerja di RA'ED Corp menggantikan Pak Hamdan menghilangkan diri selepas kejadian yang menimpa Rayan. Ini bermakna kekosongan yang ditinggalkan oleh lelaki itu digantikan musuh mereka yang baru. Disebabkan Hud meninggalkan tugasnya di sisi Rayan, mereka mengambil peluang untuk menjatuhkan Rayan ketika itu juga.

​Haq melangkah keluar dari pondok pengawal keselamatan setelah puas menggeledah kawasan tersebut. Dia perlu mendapatkan maklumat bekas pengawal keselamatan dari unit sumber manusia. Senang untuk mengesan lokasi musuhnya. Jika dia tahu di mana lelaki itu berada, ini bermakna dia akan jumpa Rayan.

​Dia terus menuju ke tingkat dua dengan mendaki tangga kerana belakan elektrik yang terputus tidak dibaiki lagi. Lagipun, kerja-kerja baikpulih perlu dilakukan segera sebelum waktu hujung minggu tamat. Staf di sini tidak perlu tahu apa yang terjadi terhadap Pengarah Urusan RA'ED Corp. Dia perlu menutup kejadian semalam dengan segera.

​Fail yang mengandungi maklumat pekerja pengawal keselatan sudah berada di dalam tangan Haq. Dia perlu pulang dengan segera untuk serahkan maklumat ini kepada Hud. Dia menuju ke arah pintu keluar setelah memastikan tiada apa yang mencurigakan. Langkah diatur keluar daripada syarikat itu.

​Namun, tapak kakinya terhenti di hadapan pintu keluar. Telinga menangkap derap langkah seseorang yang sedang berlari. Desahan nafas yang kuat menandakan ada orang lain yang sedang mengekorinya saat ini. Bunyi tapak kasut itu semakin lama semakin kuat di gegendang telinganya.

​Haq sudah menarik pistol yang tersisip di tepi pinggang. Lantas dia berpusing ke belakang dengan menghala senjata itu ke arah mangsanya. Seorang gadis dengan wajah ketakutan sedang berdiri di hadapannya. Langkah gadis itu terundur ke belakang apabila nyawanya berada di dalam bahaya.

​"Le-lepaskan saya, encik... Sa-saya... tak salah... Le-lepaskan sa-saya," rayu gadis itu dengan suara yang tergagap-gagap. Rautnya jelas kelihatan sangat pucat dicampur dengan peluh yang merenik di dahi.

​Pakaian gadis itu diamati dari atas sehingga bawah. Dia kenal baju yang dipakai oleh gadis itu. Pakaian itu khas untuk tukang cuci di syarikat itu. Wajah itu seperti pernah dilihat oleh Haq sebelum ini.

Bagaimana gadis itu berada di sini sedangkan syarikat ini sudah ditutup? Apa yang gadis itu lakukan di sini pada hari cuti begini dengan memakai baju pekerja?

​"To-tolong saya, encik... Ada... ada orang serang..."

Muka gadis itu sudah mahu merembeskan tangisan apabila Haq enggan menjatuhkan senjata itu. Badannya sudah menggigil ketakutan kerana masih takut apa yang dia lihat semalam. Lelaki itu sahaja yang mampu menolongnya saat ini.

"B-bos syarikat ni..." Suara Mia masih tergagap-gagap mahu memberitahu perkara yang sebenar. Dia takut apa yang dia saksikan petang semalam. Lelaki di hadapannya memandangnya bengis.

"Az-Azalea..."

Haq pantas menekup mulut gadis itu setelah faham apa yang ingin disampaikan oleh Mia. Dia tidak menyangka ada saksi yang melihat Rayan diserang. Haq tidak akan membenarkan Mia membuka mulut ketika ini. Dia takut masih ada mata-mata musuh mereka sedang memerhatikan mereka.

"Kau ikut aku. Faham?" bisik Haq.

Mia mengangguk laju.

MIA meramas jari-jemari sendiri apabila dirinya menjadi renungan tajam oleh dua orang lelaki yang berwajah sama. Dia diperhatikan seperti seorang pesalah. Dia tidak menyangka dirinya dibawa ke rumah Azalea. Memang betullah bekas rakan sekerjanya sudah berkahwin dengan pemilik syarikat RA'ED Corp. Kejadian semalam melibatkan suami Azalea.

​Azalea menuruni tangga sambil mendukung seorang bayi perempuan. Hampir setahun dia tidak bertemu dengan Azalea, Mia dapat melihat perubahan gadis itu. Azalea sudah berkeluarga. Malahnya hidup gadis itu lebih baik dari dia dan Jeeha. Mia juga tidak pernah bertemu dengan Jeeha selepas rakan sekerjanya dibuang kerja.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now