Bab 28: Menembak

1.5K 99 2
                                    

SEJAK kejadian Azalea hampir diculik, dia tidak dibenarkan keluar dari rumah lagi. Kecuali dengan Rayan dan dua orang pengawal peribadi mereka. Azalea banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Hiburannya adalah menonton cerita di Netflix. Sehinggakan hampir separuh cerita ditayangkan di dalam aplikasi tersebut dilihat oleh Azalea.

Tempat kebiasaan yang Azalea pergi selain ruang tamu adalah taman. Sudah banyak kali dia cuba menanam bunga azalea. Tetapi tidak berjaya. Kata tukang kebun, tangannya panas tidak boleh menanam. Rayan pula menambah kata pokok durian yang dia cuba tanam pun takkan hidup juga.

Itulah rutin harian Azalea selama dua bulan terperap di rumah. Walaupun dia cuba mengadu kebosanan kepada suaminya, Rayan tidak akan layan. Kawasan luar daripada rumah adalah berbahaya untuk mereka semua. Azalea pula tidak pernah bosan menyatakan hasratnya untuk belajar menembak.

"Aku kata tak boleh, tak boleh. Kau faham ke tak?"

"Cuba abang fikir kalau Lea pandai jaga diri, Lea dapat selamatkan diri tanpa bantuan Haq atau Hud. Dan abang tak perlu risau pasal Lea," balas Azalea.

Rayan menoleh ke belakang bertentangan mata dengan isterinya. Tali leher yang tidak terikat dibiarkan tergantung di leher. Sebelah tangan naik mencekak pinggang. Azalea memang degil lebih dari yang dia sangka. Dia perlu gunakan cara yang paling halus untuk buat isterinya mengalah.

Dia duduk di birai katil bersebelahan dengan isterinya. Tangan Azalea digenggam erat. Macam mana nak pujuk si isteri yang degil ni.

"Lea kan tengah mengandung. Bunyi pistol ni bising. Nanti terkejut baby dengar Lea menembak. Kesian dia tak boleh tidur dengan selamat," ujar Rayan dengan nada yang paling lembut yang belum pernah dia gunakan.

"Tapi abang, menembak tu salah satu sukan. Sukan tu baik untuk kesihatan. Kalau Lea belajar menembak, dah tentu baby dan Lea akan jadi sihat," balas Azalea.

"Siapa ajar kau cakap macam ni? Celah mana menembak tu baik untuk kesihatan? Kau cakap dengan aku, siapa yang suruh kau cakap macam ni?"

"Haq," balas Azalea pendek.

Rayan mengetap gigi dalam diam. Nak marah tapi dia perlu sabar. Sejak Haq jadi pengawal peribadi Azalea, macam-macam perangai pelik isterinya. Yang paling ketara, Azalea sudah pandai meminta dan melawan cakapnya. Nak pecat, Haq seorang sahaja yang boleh dia harapkan untuk melindungi isterinya jika dia tiada berdekatan.

"Abang marah ke?"

"Memang aku marah sekarang ni. Dah! Kau tak payah dengar cakap Haq. Kau dengar cakap aku. Aku ni suami kau. Faham, Azalea Medina?" tegas Rayan bersuara.

Azalea mengangguk sambil tersenyum. Isterinya memang tak tahu takut dengannya. Dia marah macam mana sekali pun, Azalea tetap memandangnya tanpa perasaan. Seolah-olah dia ni sedang bergurau. Pembawakan budak agaknya.

"Lea, perut kau makin lama makin besar ya?" ujar Rayan.

Matanya melorot pada perut si isteri yang kelihatan membukit sedikit berbanding dua bulan lepas. Kandungan Azalea sudah mencecah empat bulan. Lagi lima bulan, anak mereka bakal lahir ke dunia ini. Bagaimanalah rupa anak mereka? Ikut muka Azalea atau dia?

Wajah Azalea yang dulunya agak cengkung sekarang sudah bertambah tembam. Sejak mengandung ni, dia nampak berat badan isterinya naik berbanding sebelum mereka kahwin. Tapi masih sedap dipeluk waktu malam.

"Pipi kau ni kan... Makin bulat," ujar Rayan sambil mengusap wajah si isteri.

"Lea sekarang ni makan nasi bertambah sampai tiga kali. Lepas makan pun lapar lagi."

"Tengah malam pun kau kejutkan aku sebab nak makan."

Tidak dinafikan selera isterinya semakin bertambah. Ada sahaja makanan di dalam mulut untuk mengunyah. Tapi mujur Azalea tidak pernah mengidam makan makanan yang pelik-pelik. Jenuh juga dia nak mencari. Selalunya apa yang dia bawa balik, itulah yang Azalea makan.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now