BAB 15: Kebenaran

2.1K 132 16
                                    

HUD terbaring di atas lantai dengan wajah yang menyeringai kesakitan. Dia cuba bangun sambil menongkat tangan di lantai. Lidahnya terasa cecair asing yang meresap ke dalam mulutnya. Jarinya menyentuh bibir yang pecah gara-gara ditumbuk oleh Rayan.

Sebaik sahaja dia sedar dari pengsan, majikannya itu tidak menunggu lama melepaskan amarah kepadanya. Dia pula tidak rasa mahu melawan. Jika dia cuba melawan juga, Hud tahu dia akan kalah. Sekalipun dia cuba, lagi teruk dia akan dihukum. Haq sendiri tidak mampu menyelamatkannya apabila dibelasah teruk oleh majikan mereka.

Ini hukuman paling ringan berbanding apa yang mereka lalui di Sepanyol lima tahun lepas. Kena belasah lagi baik daripada diikat pada kerusi dengan arus elektrik bervoltan tinggi.

“Aku bagi kau arahan yang paling senang. Kau tengok apa yang dah jadi pada Azalea?” ujar Rayan. Kini sudah semakin tenang apabila dapat melepaskan amarahnya.

Hud tidak berani bersuara.

“Apa yang berlaku semalam?” soal Rayan.

Hud menjeling Haq yang sedang berdiri di hadapannya. Anggukan kecil dari abang kembarnya menandakan bahawa dia boleh membuka mulut.

“Cik Azalea minta diri ke dalam tandas. Aku minta nak masuk ke dalam tandas juga dia Cik Azalea tak bagi. Aku terpaksa tunggu dia dekat luar. Pada masa yang sama, saya terima panggilan dari orang upahan yang tolong kau uruskan hal nikah dengan Cik Azalea. Masa tu lelaki tu suntik aku dengan dadah atau ubat tidur mungkin,” beritahu Hud.

“Takkan kau tak perasaan orang datang dari belakang kau?”

“Sebab dia bagi sesuatu yang mengejutkan aku.”

“Pasal apa?”

“Wali sah Cik Azalea masih hidup,” beritahu Hud.

Rayan terpempan dengan ucapan yang keluar dari mulut lelaki itu. Kenyataan yang keluar dari Hud sangat mengejutkan dirinya. Apa yang dia tahu tentang Azalea bahawa gadis itu anak yatim piatu. Dia dijadikan anak angkat kepada Sarimah sejak kecil lagi. Tidak mungkin ibu bapa gadis itu masih hidup.

“Apa yang orang upahan kau cakap?”

“Dia dah cuba banyak kali dengan pihak pejabat agama untuk memproses permohonan kau dengan segera. Ttapi tak boleh sebab syarat tak lengkap. Cik Azalea tak lulus menggunakan wali hakim sebab ayah dia masih hidup. Aku suruh dia siasat siapa ayah sebenar Cik Azalea.”

“Mana hasil siasatan kau?”

“He will call as soon as…”

Deringan telefon di dalam poket seluar membantutkan percakapan Hud. Dia menarik keluar gajet itu dari saku. Nama panggilan yang tertera di atas skrin membentuk satu senyuman di wajahnya. Telefon itu diserahkan kepada Rayan. Lelaki itu ambil tanpa ragu-ragu untuk menjawab panggilan itu.

“Aku dah hantar maklumat yang kau nak. Bank in duit yang kau janjikan.”

Panggilan itu tamat.

Ketukan pintu bilik mengisi suasana. Haq yang berdekatan dengan pintu memulas tombol untuk melihat siapa yang datang ke bilik kerja Rayan. Seorang pembantu rumah menyerahkan satu sampul berwarna coklat kepadanya. Daun pintu ditutup rapat sebelum diserahkan kepada Rayan.

Isi di dalam sampul itu dikeluarkan oleh Rayan. Setiap aksara yang dicetak di atas kertas dilihat satu-persatu. Satu pun dia tidak tinggal. Matanya tertancap pada tiga sebaris nama. Rayan baca berulang kembali sehingga melekat di fikirannya.

Nama anak, Azalea Medina binti Khalid.

Nama bapa, Khalid bin Wahab.

Nama ibu, Tengku Marina binti Tengku Mohamed.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now