BAB 12: Demam

2.2K 127 5
                                    

KEHADIRAN Azalea di bilik rehat tukang cuci mendapat perhatian Jeeha dan Mia. Perbualan mereka terhenti apabila sebaik sahaja gadis itu melangkah masuk ke dalam bilik itu. Mereka memerhati tindak-tanduk Azalea yang sedang menyalin pakaian tanpa segan-silu di hadapannya. Kelakuan gadis itu menambah kerutan di wajah Jeeha dan Mia.

Mereka merapati Azalea yang sudah dua minggu tidak datang kerja. Tiba-tiba muncul di sini dengan wajah yang… Ceria?

Ini kali pertama Jeeha dan Mia memandang wajah Azalea tanpa topi dan pelitup muka. Raut yang selalu dihiasi lebam dan luka sudah tiada. Mereka boleh nampak tampang sebenar Azalea yang kelihatan cantik di kaca mata mereka. Boleh dikatakan Jeeha dan Miaa terpegun melihat wajah ‘sebenar’ Azalea.

Bukan itu sahaja, tubuh dan muka yang cengkung nampak semakin berisi sedikit. Lingkaran hitam di bawah mata sudah hilang. Mereka nampak ada keyakinan terpancar di wajah Azalea.

“Hampir dua minggu kau tak datang kerja. Kau ingat syarikat ni laki kau punya ke?” sindir Jeeha.

Azalea senyum.

Langkah Jeeha dan Mia terundur ke belakang. Bagai tidak percaya yang gadis itu sudah pandai senyum. Rasa seperti orang yang berdiri di hadapan mereka bukan Azalea sendiri.

“Kau sihat, kan?” soal Mia.

“Ya, aku dah sihat sepenuhnya. Kau tahu tak yang…” Suara Azalea kedengaran teruja mahu bercerita.

“Tak payah bagi tahu kami apa-apa. Aku tak nak tahu pasal kau,” celah Jeeha.

Dia yakin pasti ada sesuatu yang terjadi pada Azalea sehingga gadis itu berubah seratus-peratus. Namun, dia tidak mahu ambil tahu siapa yang mampu mengubah Azalea. Lagipun mereka bukan kawan yang boleh berkongsi segala-galanya.

Wajah Azalea nampak ralat apabila dia tidak dapat berkongsi apa yang dia alami selama dua minggu ini.

“Walau apa pun yang terjadi pada kau. Aku gembira nampak kau dah berubah. Kau nampak macam orang lain. Seolah-olah Azalea yang dulu dah mati,” ujar Mia.

“Aku nak berubah,” balas Azalea.

“Baguslah.”

Mereka bertiga memulakan tugas masing-masing untuk mencuci setiap tingkat di RA’ED Corp. Yang paling bersemangat untuk melakukan kerja itu, sudah semestinya Azalea. Dia boleh bekerja tanpa perlu rasa dipaksa. Dia sudah tidak perlu risau tentang gajinya yang akan dirampas oleh Sarimah lagi. Kali ini dia akan dapat merasa gaji sepenuhnya.

“Tengah hari ni kau nak makan apa?” soal Jeeha.

“Aku dengar ada menu baru dekat kafe pekerja,” balas Mia.

“Apa dia?”

“Masakan western tak silap aku. Jomlah makan dekat sana. Bosan makan nasi bungkus hari-hari.”

“Boleh juga.”

“Kau nak join kami tak, Lea?” ajak Mia.

“Ermmm…” Azalea ragu-ragu untuk menerima ajakan rakan sekerjanya itu. Dia teringatkan janjinya pada Rayan. Dia perlu beritahu lelaki itu jika hendak ke mana-mana.

“Tak payah ajak dia. Buang masa kau aje, Mia,” bidas Jeeha.

“Aku…”

Belum sempat Azalea membalas kata, pintu lif terbuka. Ada tiga orang lelaki yang sedang menunggu untuk masuk ke dalam lif. Jeeha dan Mia keluar terlebih dahulu dengan menolak troli yang penuh dengan bahan mencuci.

Azalea mahu melangkah keluar dari lif tersebut tetapi lengannya dipaut oleh seseorang. Bagai menahan dia keluar daripada lif. Dia memandang ke arah Jeeha dan Mia yang menonong pergi tanpa menghiraukan dirinya. Pandangannya dihala ke arah Haq dan Hud, sepasang kembar yang menghalang dirinya dilihat oleh Jeeha dan Mia.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now