Bab 48: If You're a Devil, So Am I

1.2K 62 0
                                    

AZALEA resah menunggu di dalam kereta yang diparkir jauh dari kawasan kilang yang terbiar. Sudah sejam setengah Hud dan Haq pergi menyelamatkan suaminya. Dia berharap rancangan mereka berjalan lancar seperti mereka tetapkan.

Namun, keadaan terlalu tenang buat dia tidak senang duduk. Cara mereka menceroboh kawasan musuh terlalu senang. Tidak mungkin Sarimah begitu bodoh membiarkan kawasannya dapat dimasuk dengan mudah. Pasti ada sesuatu yang dirancang oleh wanita.

Dia melangkah keluar dari kenderaan. Azalea tidak betah berada di dalam kereta dengan keadaan begini. Kawasan Azalea berada dikelilingi semak samun yang tumbuh meliar.

Bunyi cengkerik menyapa telinga. Dia keluar dari kawasan tersebut. Ada sebatang lampu jalan yang sudah malap tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dari situ dia dapat melihat bangunan usang. Mungkin itulah kilang yang terbiar.

Langkahnya maju ke hadapan untuk mengikuti jalan yang digunakan oleh Had dan Hud tadi. Namun, tapak kasut pegun di situ apabila irisnya menangkap satu figura yang berdiri di bawah lampu jalan. Seorang wanita berambut panjang memakai kot panjang sedang tersenyum sinis ke arah Azalea. Dia kenal perempuan itu. Jururawat yang telah berjaya memperdayakan dirinya.

"Kau datang juga, Azalea. Aku ingatkan kau takut. Aku tak sangka Azalea yang lembik dah semakin berani."

"Kau... Sarimah?" soal Azalea.

Dia memerhati penampilan perempuan itu dari atas dan bawah. Jauh benar rupa Sarimah yang dulu dengan sekarang. Fizikal wanita itu sudah berubah jadi ramping. Wajahnya juga kelihatan muda dari sebelum ini. Pasti Sarimah melakukan pembedahan plastik untuk mengubah bentuk asalnya.

"Kau sepatutnya panggil aku, mak. Aku yang besarkan kau! Aku yang cuci berak kau! Aku yang bagi kau makan minum!" Sarimah bersuara keras.

"Kau bukan mak aku. Kau tu setan yang dera aku!" tegas Azalea membalas.

Ketawa Sarimah meletus apabila mendengar ayat yang dilemparkan oleh gadis itu. Azalea yang pendiam. Si anak angkat yang takut untuk bersuara. Bunga yang selalu layu setiap kali dipukul olehnya. Azalea yang tidak berani memandang ke arah mukanya.

Semuanya hilang. Azalea Medina di hadapannya sudah banyak berubah. Semakin berani setelah bebas dari cengkamannya. Malah semakin bahagia sejak kahwin dengan anak angkat Tengku Marina.

"Kau fikir kau dah menang? Aku nak tengok macam mana rupa suami kau dapat kau yang bodoh jatuh dalam perangkap aku. Tangkap dia."

Tiga orang lelaki muncul dari belakang Sarimah. Langkah Azalea mundur ke belakang apabila orang suruhan wanita itu datang menghampirinya. Dia menoleh ke belakang untuk melarikan diri. Tetapi konco-konco Sarimah muncul di belakangnya mahu mendekati Azalea. Dia sudah tiada ruang untuk melarikan diri. Sekali lagi dia buat keputusan bodoh. Kalau dia tidak keluar dari kereta, pasti dia tidak akan terserempak dengan Sarimah.

"Kalau kau nak jumpa laki kau, lebih baik kau ikut aku. Mana tahu kau nak cakap kata-kata terakhir pada laki kau sebelum kau mati," ugut Sarimah.

Badannya ditolak dari belakang supaya mengekori Sarimah. Azalea tidak mampu berbuat apa-apa selain mengikut langkah wanita itu. Mereka menuju ke kilang terbiar itu. Bunyi orang bertumbuk jelas di pendengaran. Azalea berharap suaminya dalam keadaan selamat. Saat dia tiba di hadapan pintu masuk, Azalea ternampak susuk Rayan sedang membelasah seorang lelaki.

"Ab-abang!" panggilnya.

"Lea..." Rayan mengetap gigi apabila melihat isterinya berada di dalam genggaman Sarimah.
Kalau dia marah sekalipun melihat Azalea di sini, isterinya tetap akan datang kepadanya.

Azalea mahu mengangkat kaki berlari ke arah Rayan. Tetapi rambutnya direntap kasar dari belakang oleh seorang lelaki. Azalea sudah mendesis kesakitan gara-gara cengkaman itu. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri walaupun cubaannya tidak bermakna.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now