BAB 7: Dendam

2.1K 132 14
                                    

“KAU nak ikut kami lagi tak?” soal Mia.

Azalea menggeleng kepala.

“Kenapa dengan kau, hah? Apa masalah kau sebenarnya? Semalam kau elok aje bercakap, ketawa dan senyum dengan kami. Hari ni kau jadi diri kau macam dulu balik. Cuba kau cakap dengan aku apa masalah kau?” soal Jeeha berbaur tidak puas hati.

“Tak ada-apa,” balas Azalea perlahan.

“Kau ingat aku ni bodoh ke? Sejak hari pertama kau kerja dekat sini, sampailah sekarang muka kau selalu macam kena tibai. Siapa buat kau?” tekan Jeeha. Dia geram melihat Azalea yang tidak mahu membuka mulut.

“Aku jatuh…”

“Sudah la! Kalau tak nak berkawan dengan aku dan Mia, cakap! Penat aje buat baik dengan kau semalam! Jom, Mia! Tak payah pedulikan tunggul kayu macam dia,” rengus Jeeha  sebelum berlalu dari situ.

Mia memandang rakan sekerjanya itu dengan penuh simpati. Dia dan Jeeha cuba berkawan dengan Azalea sejak hari pertama gadis itu masuk kerja di sini. Tapi Azalea sendiri menolak kehadiran mereka. Jadi mereka sudah cemuh mengajak gadis itu berbual sama dengan mereka.

“Cepatlah, Mia!” jerit Jeeha.

“Ya, aku datang la ni.”

Azalea menundukkan kepala. Baju baru dipegang kejap.
Sekurang-kurangnya saat dia masuk kerja hari ini, Jeeha dan Mia puji dia cantik memakai baju yang dipilih oleh mereka berdua. Nasib baik dia bawa sekali baju ini setelah diculik semalam.

Azalea kembali menyalin baju yang dipakai selama dua hari itu. Baju baru yang dipakai sekali sahaja dimasukkan ke dalam beg. Dia perlu pulang ke rumah hari ini. Sarimah pasti sudah mencarinya. Bukan sebab risau tapi sebab sudah tiada duit. Dia sudah bersedia menerima segala makian dan deraan daripada Sarimah.

Hari ini Azalea tidak rasa mahu balik dengan bas. Dia mahu pulang dengan teksi kerana lebih selesa berbanding bas yang sempit dan sesak dengan penumpang. Kalau Sarimah tahu pasti akan mengamuk kerana tambang teksi lebih mahal daripada bas. Ini bermakna banyak duit yang perlu digunakan.

Alang-alang sudah banyak duit dia habiskan dari semalam lebih baik dia guna selagi boleh. Selogik mana alasan yang dia berikan kepada Sarimah, wanita itu tidak akan mempercayainya. Dia dipukul sesuka hati. Azalea sudah bersedia untuk menerima keadaan itu tidak lama lagi.

NAFAS berat dihembuskan perlahan. Langkah diatur dengan tenang sambil mendaki tangga. Kakinya pegun di hadapan pintu rumah buat seketika. Dengan berbekalkan semangat yang ada, tangannya memulas tombol pintu. Sarimah sedang berbaring di atas lantai sambil menonton televisyen.

“Baru balik?” soal Sarimah dengan suara mendatar.

Langkah Azalea terhenti. Hairan melihat Sarimah kelihatan tenang tidak seperti selalu yang mencari alasan untuk memukulnya.

“Ya.”

“Aku ada masak. Kau makanlah.”

“Mak dah makan?”

“Aku dah kenyang…”

Perkataan kenyang itu ditarik panjang. Azalea rasa tidak sedap hati melihat kelakuan Sarimah. Dia tetap mengambil pinggan kaca di atas rak. Nasi dicedokkan ke dalam pingan sebelum duduk di meja makan. Memang betullah Sarimah masak. Ada ayam goreng, sayur kangkung dan kari ikan.

Azalea menyuapkan nasi ke dalam mulut.  Dari suapan pertama sehingga sepuluh, dia masih tidak apa-apa. Dia makan dengan berselera. Mungkin ini adalah nasi terakhir yang dia makan pada hari ini. Suapan terakhir ditelan.

Air masak diteguk daripada gelas. Ada tangan menepis tangannya sebelum gelas itu terlepas dari tangan sehingga tumpah pada baju dan seluarnya. Kepala Azalea terdongak ke atas gara-gara rambutnya dicengkam kemas oleh Sarimah dari belakang. Wajah gadis itu berkerut menahan pedih di kulit kepala. Muka berang Sarimah betul-betul dekat dengannya.

Bunga Pujaan Devil [C]Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ