Bab 36: Selamatkan Dia

1.3K 90 7
                                    

TESLA yang dipandu oleh Rayan terbalik di tengah-tengah jalan raya yang sunyi. Van yang merempuh keretanya sudah melarikan diri tanpa meninggalkan sebarang jejak. Tiada siapa yang menyaksikan kemalangan itu kerana kawasan jalan raya itu sunyi dari pengguna jalan raya yang lain.

Waktu sudah menginjak ke tengah malam. Tiada bintang yang bertaburan di dada langit ketika itu. Langit yang hitam mula dihiasi dengan panahan kilat disusuli dengan dentuman guruh. Hujan rintik-rintik turun membasahi jalan raya.

Tap! Tap! Tap!

Rayan tersedar dari pengsan. Seluruh badannya disengat dengan kesakitan yang maha hebat. Kepalanya sudah basah dengan cecair merah kerana terhantuk pada stereng kereta. Penglihatannya jadi kabur buat sementara waktu. Matanya dipejam celik beberapa kali untuk mendapatkan kembali pandangannya.

Badannya terus kejung melihat keadaan isteri yang tidak sedarkan diri.

"Lea! Lea! Lea!" panggil Rayan berkali-kali.

Namun, tiada respons dari Azalea.

Kakinya menendang kuat pintu kereta untuk keluar dari situ. Dia perlu menyelamatkan isterinya dengan segera. Azalea dan anaknya dalam bahaya. Bukan itu sahaja, bau sesuatu terbakar semakin kuat menusuk hidungnya. Tendangan terakhirnya membuatkan pintu kereta terkopek luas. Rayan terus meloloskan diri dari situ.

Dia beralih ke bahagian penumpang untuk mendapatkan Azalea. Pintu kereta ditarik sekuat hati namun tidak berjaya. Dia tidak peduli saat tangannya mula berdarah-darah. Azalea lebih penting dari dirinya. Rayan cuba berkali-kali sehingga pemegang yang ditariknya patah.

"Sial!" raungnya dengan sekuat hati.

Tetapi dia tidak mahu berputus asa.

Rayan cuba mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata untuk membuka pintu kereta. Api kecil mula kelihatan di bahagian bonet depan. Matanya menangkap sebuah batu sebesar lengannya di tepi jalan. Dia pantas mengangkat batu itu lalu dihayunkan pada cermin kereta sehingga pecah berderai. Rayan menghulurkan tangan ke dalam kereta untuk membuka dari dalam.

Klak!

"Lea! Lea!"

Tangannya sudah menggeletar melihat keadaan isterinya yang berlumuran dengan darah. Rayan membuka tali pinggang yang membelit tubuh isterinya. Badan Azalea ditarik ke luar dari kenderaan itu dengan perlahan-lahan agar kecederaan pada isterinya tidak menjadi semakin parah.

Namun, keadaan memaksanya untuk mengangkat tubuh Azalea jauh daripada situ. Tesla boleh meletup pada bila-bila masa sahaja. Rayan gagahkan diri untuk melangkah dari jauh situ. Hanya sepuluh langkah dia menapak ke hadapan.

Boom!

Badannya rebah ke jalan raya bersama si isteri yang tidak sedarkan diri. Namun, dia tetap memeluk erat tubuh Azalea untuk melindungi isteri daripada terkena percikan letupan tadi. Belakang badannya sudah panas berbahang gara-gara kesan kereta meletup sebentar tadi. Kakinya sudah tidak mampu bangkit. Rayan hanya mampu memeluk erat isterinya saat ini.

"Lea... Bangun Lea..." panggil Rayan dengan nada yang paling lemah. Segala urat sarafnya terasa lemah. Dadanya sudah terasa sakit yang maha hebat melihat kelopak mata isteri masih lagi tertutup.

"Jangan buat abang macam ni Lea... Bangun Lea... Bangun... Bagi tahu abang... Lea okey," tutur Rayan perlahan.

Birai mata sudah bergenang. Air mata lelakinya tumpah buat pertama kali untuk wanita yang dia cintai sepenuh nyawa. Cecair itu jatuh pada pipi Azalea yang penuh luka-luka. Jari Rayan yang menggeletar setia menyapu air mata yang membasahi wajah si isteri.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now