Bab 43: Rayan Hilang

1K 58 0
                                    

PERASAAN kekok menyelubungi Azalea saat menerima kunjungan dari Damien dan Ian. Dia boleh melayan Ian dengan baik. Tetapi dia tidak tahu bagaimana berinteraksi dengan lelaki itu. Panggilan apa yang sesuai digunakan untuk Damien? Mereka lahir pada hari yang sama. Hanya berbeza lima minit sahaja.

​Sudah tiga bulan dia berada di hospital, mereka berdua tidak pernah menjenguk mereka. Begitu juga dengan Datuk Khalid dan Datin Haliza. Baru hari ini keluarga itu datang melawatnya. Pasti Rayan yang tidak benarkan mereka berjumpa dengannya.

​"Ian pernah datang nak jumpa akak. Tapi Abang Rayan suruh balik." Ian bersuara mahu mengisi suasana selesa di antara mereka bertiga.

​Dia fikir Azalea tidak mahu bertemu dengannya lagi saat mengetahui kebenaran. Ian sendiri terkejut apabila mengetahui Azalea ialah kakak kandungnya sendiri. Tetapi kenyataan itu tidak akan mengubah hubungan mereka.

​Azalea ketawa kecil saat mendengar ayat Ian. Tepat sekali telahannya. Sejak dia sedarkan diri, sikap Rayan yang kasar berubah jadi lembut. Mungkin adanya Elnara buat Rayan berubah jadi seorang yang lebih prihatin. Sifat melindungi suaminya semakin ketara. Buktinya, tugas Haq sudah berubah kepada menjaganya dan Elnara.

​"Ian nak jumpa akak dan anak buah Ian sendiri pun tak boleh," adu Ian. Dia memerhati sahaja anak buahnya yang sedang tidur di sebelah ibunya.

​"Macam Abang Rayan kan?"

​"Hah?" Ian terkejut. Dia cuba membandingkan wajah Elnara dengan abang angkatnya. Tetapi tiada persamaan yang dia nampak.

​"Macam akak adalah. Kalau mata, memang ikut Abang Rayan."

​"Betul cakap Ian. Muka Nara ikut macam mama dia," sampuk Damien. Wajah anak buahnya diperhatikan dari sisi Ian. Comel macam adik? Kakak? Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu bahasakan Azalea.

​Suasana kekok kembali menghantui mereka. Ian tidak betah melihat kakak dan abangnya enggan bercakap antara satu sama lain. Padahal Damien yang bersungguh-sungguh mengajaknya datang ke mari sementara Rayan berada di pejabat. Kalau abang angkat mereka ada, susah mereka bertiga mahu berjumpa begini.

​"Ian nak keluar kejap. Sakit perut," tipu Ian. Dia terus keluar dari wad mahu memberi ruang kepada Azalea dan Damien untuk bercakap.

​"Rayan lebih tua dari kita. Saya kahwin dengan dia. Jadi, saya ni kakak ipar awak. Awak kena panggil saya kakak," putus Azalea.

​Damien tersenyum nipis. Ada logiknya apa yang Azalea cakap tadi. Walaupun Rayan anak angkat keluarga mereka, lelaki itu masih kekal sebagai anak sulung. Bila Azalea kahwin dengan Rayan, secara automatik gadis itu jadi kakak iparnya. Jalan penyelesaian yang mudah. Tapi apa yang diucapkan oleh Azalea boleh diibaratkan bahawa gadis itu orang asing dalam keluarga mereka.

​"Saya malu dengan awak, Azalea. Semuanya sebab ibu bapa kita yang tak bertanggungjawab. Buat awak jadi begini. Saya minta maaf," ucap Damien.

"Kita berdua jadi mangsa mereka. Bezanya awak ada segala-galanya. Awak jangan risau. Saya tak marahkan awak. Saya tak cemburukan awak. Awak tak perlu rasa bersalah dengan saya."

​"Saya harap kita boleh jadi sebuah keluarga."

​"Saya dah ada keluarga sendiri. Nara dan Rayan keluarga yang saya ada sekarang ni. Tapi saya nak Nara kenal keluarga dia. Saya nak Nara membesar kenal datuk dan nenek dia. Saya nak Nara dimanjakan oleh bapa saudara dia. Biarlah Nara dapat semua kasih sayang tu. Saya tak dapat tak apa. Asalkan anak saya tak dibenci oleh keluarga dia," ucap Azalea.

​"Kalau itu yang Kak Lea nak, saya turut aje. Please bagi tahu Abang Rayan, benarkan saya dan Ian jumpa anak buah kami," ujar Damien bersama senyuman.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now