BAB 3: Wasiat

2.3K 130 6
                                    

SEBUAH kereta mewah berjenama BMW terhenti di perkarangan sebuah rumah agam yang tersergam indah seperti istana kecil. Seorang pembantu tergesa-gesa mahu membuka pintu kereta tetapi telah dibuka terlebih dahulu oleh penumpang di dalamnya. Keluar seorang remaja lelaki yang berusia 17 tahun dalam keadaan kusut-masai.

Pakaian seragam sekolah yang dipakai tidak sekemas di awal pagi tadi. Blazernya terkoyak berada di dalam genggaman. Tali leher terjuntai dari dalam saku seluarnya. Baju kemaja yang dipakai kotor dengan bekas tapak kasut. Rambut yang sudah kusut jadi semakin berserabai. Wajahnya bengkak di bahagian mata, pipi dan bibir.

Jelas sekali remaja itu bergaduh di sekolah.

"Ian Darwish, berhenti!" Lantang suara Datin Haliza menegur anaknya yang pulang dari sekolah.

Ian tidak jadi mendaki tangga. Dia mengelakkan diri dari bertentang mata dengan wanita itu.

"Apa nak jadi dengan Ian, hah? Balik sekolah mesti macam ni. Mama hantar Ian pergi sekolah untuk belajar bukan bertumbuk," marah Datin Haliza apabila melihat keadaan anak bongsunya yang kelihatan tidak terurus.

"Ian nak naik mandi," ujar Ian dengan nada perlahan. Malas mahu bertekak dengan mama sendiri. Datin Haliza bukannya nak dengar alasan dia. Wanita itu hanya percaya apa yang dia nampak. Tidak pernah mahu mendengar suaranya.

"Sia-sia mama hantar Ian pergi sekolah kalau nak jadi pembuli. Buat habis duit mama dan papa aje. Kenapa Ian tak jadikan Damien sebagai contoh? Abang Ian tu tak pernah buat perangai macam ni. Cuba ikut perangai..."

Ian mencampakkan blazer dan beg sekolah ke atas lantai. Tubuh yang membelakangi Datin Haliza dipusing untuk bertentang mata dengan mama. Ada api kemarahan yang terbiar di sinar mata remaja itu.

"Asyik-asyik abang, abang, abang... yang mama sebut! Abang Damien aje yang bagus! Semuanya yang baik pasal abang! Cakap ajelah mama benci Ian! Ian ni anak derhaka! Anak pungut!"

"Ian! Kenapa kurang ajar sangat ni, hah?" jerkah Datin Haliza. Dia agak terkejut melihat anak bongsunya meninggikan suara kepadanya.

"I wish I'm not your son," ujar Ian sebelum mendaki tangga tanpa melihat reaksi mama.

"Ian Darwish bin Khalid!" jerit Datin Haliza.

Pap! Pap! Pap!

Tepukan yang kuat memaksa Datin Haliza memandang ke arah pintu masuk. Seorang lelaki yang amat dikenalinya sedang memandangnya bersama dengan senyuman mengejek. Hatinya yang sedang marah semakin membara apabila melihat Rayan Edrise yang muncul di rumahnya. Dia benci dan meluat.

"What a splendid drama. Macam tengok dalam TV."

Rayan bersuara bersama ketawa kecil di hujung kata. Dia melangkah masuk ke dalam rumah agam itu. Irisnya mengitari ruang tersebut. Hiasan dalaman kediaman ini sudah diubahsuai mengikut citarasa wanita itu menyebabkan sentuhan pemilik yang lama ditelan begitu sahaja.

Dulu dia rasa rumah ini adalah syurganya tetapi berubah jadi neraka gara-gara Datin Haliza. Wanita itu muncul memusnahkan setiap momen indah yang tercipta di rumah itu. Lenyap bersama pemilik sebenar. Sudah hilang seri dan kebahagiaan.

"Apa yang kau buat dekat sini? Lepas kena buang, ada hati nak jejakkan kaki dekat sini. Kau tak tahu malu ke?" soal Datin Haliza. Penuh sarkastik.

"Datin bahagia ke lepas jadi perampas hak orang lain?" balas Rayan dengan nada yang sama.

"Kau..."

"Mama, papa panggil untuk bercakap tentang Ian," celah seorang pemuda yang baru turun daripada tangga.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now