BAB 19: Como Una Mafia

1.9K 111 5
                                    

HAQ menyandarkan badannya pada dinding untuk melepaskan lelah. Dia mahu berehat buat sementara waktu sebelum berhadapan dengan musuhnya untuk entah ke berapa kali. Pertarungan tadi menyebabkan bahagian sisi perutnya ditembusi dengan peluru. Darah yang keluar tidak banyak kerana tidak terkena bahagian ususnya.

Dia berharap dapat bertahan lama buat masa ini. Banyak lagi musuh yang sedang berkeliaran di dalam hotel ini. Dia perlu habiskan mereka semua sebelum musuhnya dapat mencapai objektif mereka. Semua itu tidak penting.

Walau apa pun yang akan terjadi, tugas dia dan Hud akan memastikan keselamatan Azalea menjadi keutamaan mereka berdua.

Bunyi tapak kasut berlari semakin kuat kedengaran. Senjata api yang diambil daripada musuh yang telah tewas dibawa ke dadanya. Haq bersiap sedia untuk menyerang hendap musuh daripada belakang. Dia terus keluar daripada persembunyian lalu melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah sasarannya. Dua daripada tiga orang musuh rebah terkena serangan yang tidak disangka-sangka. Seorang lain menggunakan rakan subahat untuk melindungi diri dari tembakan Haq.

“Shit!” sumpah Haq apabila senapang yang dipegang kehabisan peluru.
Dia terus mencampakkan senjata itu ke lantai. Dia tidak menunggu lama terus menerkam seorang lagi lelaki yang masih berdiri. Pistol di tangan musuh itu ditendang sehingga terpelanting jauh entah ke mana. Haq tidak memberi peluang kepada musuh memberi reaksi terhadap serangannya. Sepakan dan tumbukan singgah pada badan lelaki itu tanpa henti.

Musuhnya sudah terhuyung-hayang kerana tidak dapat membalas kembali serangan Haq. Cubaan yang dilakukan sia-sia apabila Haq menangkap tangannya lalu dipulas sehingga ke belakang sehingga mengeluarkan bunyi sesuatu yang patah. Lelaki itu rebah ke lantai sambil meraung kesakitan. Kesempatan itu diambil oleh Haq untuk mengunci tubuh musuhnya dengan kaki. Kepala lelaki itu dipasungkan dengan lengan lalu dipulas ke belakang.

Krak!

Musuhnya itu terus berhenti meraung. Haq melepaskan tubuh yang sudah kaku itu. Dia kembali bangkit berdiri apabila dapat menumpaskan musuh untuk sekian kalinya. Dia mengheret kaki untuk beredar dari situ dengan segera bersama senjata baru.

Langkahnya terus mati apabila sekumpulan lelaki bersut dan bertopeng muncul di hadapannya. Kakinya terundur ke belakang setapak demi setapak. Tetapi kumpulan itu semakin maju mendekatinya. Jika melepaskan tembakan, hidupnya tidak akan selamat juga. Dia pasti akan mati di tangan mereka yang rata-rata mempunyai pistol dan senapang di tangan.

Pistol di tangannya dilemparkan di atas lantai. Kedua-dua belah tangan diangkat ke udara seperti seorang pesalah.

“Aku mengaku kalah.”

Muncung senapang sudah dihalakan ke arahnya. Haq menerima nasibnya dengan tenang. Nampaknya hotel ini akan menjadi kuburnya. Dia terkilan kerana tidak dapat melaksanakan arahan terakhir dari Rayan. Majikannya itu mahu dia jaga Azalea jika Rayan tidak berada di sisi lelaki itu. Nampaknya, dia tidak mampu menjalankan arahan itu dengan sebaik mungkin.

Bang!

Bunyi tembakan bertalu-talu menyedarkan lamunan Haq.

“Apa kau buat tu, bodoh! Pick up the weapon. Kau nak aku mati katak macam kau ke, hah?” Suara Hud kedengaran jelas di cuping telinganya.

Adik kembarnya itu seorang diri berhadapan dengan sekumpulan musuh itu dari seberang sana. Hanya tinggal tiga orang sahaja daripada lima orang musuh tadi. Haq mengambil senjata yang dicampak tadi. Picu ditarik sebelum melepaskan tiga das tembakan. Dalam sekelip mata, tiga orang lelaki bertopeng mati di tangan dua beradik itu.

“Dah, jom! Bos masih perlukan kita. Kalau dia mati, tak pasal-pasal Puan Azalea jadi janda,” kata Hud.

“Kalau ada seorang lagi yang boleh tolong kita bertiga, senang sikit nak tumpaskan mereka tu semua,” ujar Haq.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now