BAB 6: ABUSED

2.4K 127 2
                                    

AZALEA berbaring di atas lantai mozek yang sejuk. Tiada selimut untuk menghangatkan tubuhnya. Kepalanya berbantalkan lengan. Dia mengiringkan badan ke arah dinding kaca untuk memandang kota raya yang sentiasa hidup sama ada malam ataupun siang. Kaca mata tidak lepas memandang langit yang sudah bertukar warna gelap kepada biru.

Dia tidak dapat melelapkan mata walau sesaat cuma. Ini bukan kali pertama dia tidak dapat tidur. Azalea sudah lali dengan dirinya sendiri. Namun, cuma hari ini hidupnya rasa tenang. Mungkin dia tidak perlu berjumpa dengan Sarimah. Dia tidak akan dapat makian, hinaan dan pukulan Sarimah. Dia lega buat hari ini.

Retinanya pegun memandang langit. Hilang bulan dan bintang di siang hari seolah-olah tidak pernah wujud. Tapi sebenarnya mereka ada. Sentiasa ada cuma hanya sesetengah orang sahaja yang menghargainya pada waktu malam.

Azalea bangkit daripada perbaringan. Lutut dirapatkan pada dada. Dagunya disangkut pada lutut. Matanya tidak lepas memandang langit yang dihiasi dengan awan putih yang gebu. Saat ini, dia rasa tenang. Buat kali pertama dia rasa tenang begini. Tapak tangan dilekapkan pada dinding.

Air jernih mula merembes keluar dari tubir mata. Jatuh membasahi pipinya yang masih terasa sakit akibat didera oleh Sarimah. Bukan fizikal sahaja yang terasa pedih. Tetapi fikirannya turut sama perit. Sampai bila dia terpaksa hadap dengan semua ini? Sampai bila dia perlu hidup begini? Alangkah senangnya jika dia mati.

Tapak tangan menyeka air mata daripada tumpah. Dia bangun. Matanya melilau di segenap ruang itu mahu mencari sesuatu yang mampu menolongnya saat ini. Kakinya mengelilingi setiap sudut bilik itu untuk mencari benda yang dia mahu. Azalea berhenti di hadapan meja. Dia menarik semua laci yang ada. Sebuah playar dijumpai di dalam laci itu.

Azalea mengambil alatan tersebut. Dia menggenggam kemas playar itu seolah-olah hidup dan matinya bergantung pada playar. Muncung playar menghala pada pergelangan tangannya.

“Azalea Medina.”

Suara garau yang menyeru namanya membuatkan tindakan Azalea mati. Dia memandang ke arah empunya suara itu yang sedang berdiri di muka pintu. Lelaki itu melangkah ke arahnya sambil menjinjit beg kertas lalu diletakkan di atas meja. Azalea dapat melihat renungan marah dari lelaki itu.

“Give me that thing,” arah Rayan dengan suara tegas.

Azalea menyorokkan playar tersebut di belakang badannya. Jejaka itu merapatinya dengan wajah yang serius membuatkan langkah Azalea mengundur ke belakang. Langkah demi langkah sehingga tulang belakangnya bertembung dengan dinding. Dia sudah tiada ruang untuk mengelak daripada lelaki itu.

Lengan si gadis disauk dengan kejap membuatkan Azalea mendecit kesakitan. Rayan terpaksa melonggarkan genggaman apabila tangannya hanya rasa tulang sahaja. Playar di tangan Azalea dirampas sebelum diselitkan ke dalam poket. Dia melangkah pergi dari situ tetapi terbantut di muka pintu.

“I doesn’t like my victim is not afraid of death. It will be no fun at all,” ucap Rayan tanpa menoleh.

Pintu bilik gelap dikunci semula. Dia memandang ke arah Haq yang setia berdiri di situ dari tadi lagi.

“Mana Hud?” soalnya.

“Dalam pejabat bos.”

Mereka berdua sama-sama masuk ke dalam lif. Haq menekan nombor sebelas. Dia menjeling majikannya yang berwajah serius daripada tadi lagi. Walau sekejam mana Rayan Edrise, lelaki itu tidak akan buat mangsanya kelaparan. Setelah kenyang, mangsa akan diseksa kembali. Perkara itu akan berulang-ulang sampai mangsa mengaku kesalahannya.

Lima tahun Haq berkerja dengan Rayan, ini kali pertama dia melihat mangsa lelaki itu dilayan dengan baik. Tidak diseksa malah tidak diugut seperti kebiasaannya. Adakah mangsa kali ini perempuan? Tapi layanan Rayan dengan mangsa lelaki dan perempuan sama. Tidak pernah menunjukkan rasa simpati. Kali ini lain.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now