BAB 22: Cuti

1.9K 103 5
                                    

HARI kedua mereka di Pulau Pinang, demam Rayan telah kebah sepenuhnya. Tempat pertama yang mereka melawat adalah Bukit Bendera. Selepas bersarapan di kedai mamak, mereka menuju ke Bukit Bendera seawal pukul sembilan pagi. Masa yang sesuai untuk berjalan-jalan di atas bukit. Kalau sampai tengah hari, mereka terpaksa meredah cahaya matahari tegak di atas kepala.

Rayan membeli dua tiket untuk mereka berdua. Mereka terpaksa beratur panjang untuk naik kereta kabel. Memandangkan hari ini merupakan hujung minggu, ramai pengunjung datang bercuti di situ. Hampir lima belas minit mereka beratur, akhirnya tiba giliran mereka untuk naik kenderaan itu.

Hanya satu tempat sahaja yang kosong saat mereka melangkah masuk. Rayan menyuruh Azalea duduk di situ bersebelahan dengan seorang wanita yang mungkin sebaya pembantu rumah mereka. Saat kereta kabel bergerak, kepala Rayan rasa seperti berpusing. Perutnya terasa sebu malah tekaknya terasa kembang tiba-tiba.

Mungkin sarapan roti canai tadi buat dia rasa begini. Tetapi dia hanya makan sekeping sahaja. Atau mungkin disebabkan kereta kabel yang bergerak naik ke atas bukit buat dia rasa begini. Mustahil dia rasa gayat naik tempat tinggi. Rayan memandang isterinya yang kelihatan tenang sahaja berbual dengan wanita tua itu.

“Lea,” panggil Rayan. Dia rasa tidak tahan dengan keadaan yang dialami sekarang ini. Rasa mahu muntahkan apa yang berada di dalam perutnya.

“Kenapa abang?”

“Aku rasa macam nak… mun…”

Rayan telan air liur dengan payah. Sebut perkataan muntah pun sudah buat dia mahu buat betul-betul. Dia perlu tahan untuk seminit dua sahaja sebelum tiba di atas bukit.

“Aku pening kepala,” bohong Rayan.

“Lea tak ada ubat. Abang okey ke? Kejap lagi kita sampai dekat bukit. Nanti Lea belikan ubat untuk abang. Kalau Lea tahu macam ni, kita tak payah datang sini.”

“Sekejap lagi baik la ni. Mungkin abang tak biasa naik kereta kabel ni.”

Azalea sudah beriak risau. Dia bangkit daripada tempat duduk. Dahi Rayan disentuh takut demam suaminya datang lagi.

“Nak minyak angin ke? Mak cik ada minyak angin. Letak dekat pelipis dengan leher sekali. Baru lega sikit,” ujar wanita itu apabila terdengar pasangan muda itu.

Minyak angin cap kapak dihulurkan kepada Azalea.

“Terima kasih mak cik,” ucap Azalea.

Dia membuka penutup minyak angin itu di atas jari telunjuk sebelum disapu pada pelipis Rayan untuk mengurangkan rasa pening suaminya. Azalea tuang sedikit ke tapak telapak tangan untuk disapu pada leher Rayan. Dahi suaminya disandarkan pada bahu Azalea. Tangannya naik menggosok belakang badan Rayan.

“Abang dah sampai.”

Mereka berdua melangkah keluar dari kereta kabel dengan segera. Rayan terus mencari tandas untuk memuntahkan segala sisa makanan yang dia makan tadi. Kepala dan tekaknya terasa lega apabila dapat buang apa yang tidak dapat dicerna tadi. Apabila dia melangkah keluar dari tandas, dia ternampak Azalea masih bercakap dengan mak cik tadi.

“Abang dah okey?” soal Azalea.

“Dah okey. Terima kasih mak cik,” ucap Rayan.

“Sama-sama. Anak mak cik pun macam kamu juga dulu-dulu. Biasalah kalau awal-awal macam ni. Mak cik pergi dulu, suami mak cik dah muncul tu.”

Azalea dan Rayan menghantar wanita itu dari jauh sahaja. Apa yang diucapkan oleh mak cik tersebut langsung tidak dapat dihadam oleh mereka berdua. Mungkin anak wanita itu pernah rasa gayat macam Rayan semasa naik kereta kabel.

Bunga Pujaan Devil [C]Where stories live. Discover now