Bab 52 🥀🖤

1K 61 7
                                    

BLUERKK!

Bluerkk!

Emir menunduk ke sinki dan mengeluarkan segala isi di dalam perutnya. Malangnya dia hanya memuntahkan air kerana sejak semalam dia tidak menyentuh sebarang makanan pun. Tubuhnya longlai dan dia berpaut di birai sinki.

Bluerkk!

"Emir! Emir okay ke dekat dalam itu?" Suara Puan Latifah kedengaran dari luar bilik air. Emir mengumur mulutnya beberapa kali dengan air paip.

"Okay ma," balas Emir dengan suara yang lemah. Tidak pastilah Puan Latifah dengar atau tidak. Yang dia tahu dia tiada kudrat dan bersuara kerana perutnya terasa kosong. Lembik juga Inspektor Emir Luthfi ini.

Emir mencuci wajahnya dengan air paip sebelum berjalan lemah ke pintu bilik air. Bila pintu itu dibuka dia diserbu oleh Puan Latifah. Puan Latifah memegang bahu tegap anaknya. Wajah wanita paruh baya itu jelas risau melihat keadaan anaknya.

"Ya Allah! Pucatnya muka anak mama ini, jomlah kita ke klinik. Mama bawa jom!" Sambil bercakap, Puan Latifah membantu Emir untuk berjalan ke katil.

"Tak apalah mama, sikit je ni... Emir bukannya budak-budak tak boleh tahan sakit," ujar Emir perlahan.

"Haish! Degil betul anak mama ini! Emir dah makan belum?" soal Puan Latifah yang masih menilik wajah Emir yang pucat. Bawah mata Emir sedikit gelap menandakan anaknya itu lambat tidur. Tak pun, anaknya itu tak tidur langsung!

Emir menggeleng kecil dengan mata yang layu. Itulah Emir selama tiga hari ini. Lemah. Tidak banyak bercakap. Tidak berdaya mahu lakukan apa-apa termasuklah makan minum. Nak tunggu orang suap agaknya!

"Tengok tu! Mana taknya asyik muntah-muntah, ini mesti sebab perut kosong. Dah masuk angin dah tu! Hari ini mama nak paksa juga Emir makan! Jom!" Puan Latifah menarik tangan Emir supaya mengikutnya keluar dari bilik dan Emir hanya pasrah kerana tidak berdaya mahu menolak.

"Ma... Emir tak lapar." Emir bersuara di tengah-tengah mahu menuruni tangga. Puan Latifah buat pekak saja dan terus menarik tangan anaknya sehingga ke meja makan. Mahu Emir makan punya pasal, dia sanggup masak semua makanan kegemaran Emir.

Emir sedikit terkejut melihat beberapa orang yang ada di ruang tamu. Encik Erhan, Encik Nazrie, Puan Natrah dan juga Adam sedang berada di sofa dengan wajah yang gusar. Tambah-tambah lagi Puan Natrah.

"Kenapa dia orang datang sini?"soal Emir memandang keluarga Encik Nazrie. Saat itu juga matanya bertembung dengan mata Adam. Emir beralih pula pada Puan Latifah.

"Mereka dah tahu tentang kehilangan Nadine," ujar Puan Latifah dengan nada suara yang agak rendah. Takut anaknya tersinggung. Memang Emir berubah sejak ketiadaan Nadine. Wajah Emir murung saja akhir-akhir ini dan bibir Emir langsung tiada senyuman manisnya lagi. Senyuman Emir kini jelas pura-pura.

"Mama beritahu?"

"Mama terpaksa. Sebab mama ingatkan Nadine akan beritahu Aunty Nat dia pergi mana tapi rupanya mama silap. Aunty Nat pun tak tahu dekat mana Nadine," ujar Puan Latifah dengan wajah yang sayu. Dia juga terkesan dengan kehilangan Nadine. Nadine itu menantu yang dia sudah anggap seperti anak perempuan.

"Tak apalah, jom kita pergi dekat dia orang. Nanti apa pula dia orang cakap,"

"Emir tak nak makan dulu?"

"Nanti sajalah Emir makan, jom kita ke sana." Emir mendongak kepala ke arah Puan Natrah dan lain-lain yang berada di ruang tamu. Puan Latifah tidak mampu menolak lagi dan mereka berdua jalan ke ruang tamu menyertai yang lain.

Saat mata Emir bertembung dengan mata Puan Natrah, bibir Emir mengukir senyum tipis. Puan Natrah hanya merenung sayu wajah Emir yang jelas lesu dan pucat.

Mrs. Emir Luthfi Where stories live. Discover now