Bab 4

4.5K 105 1
                                    

"SELAMAT pagi, Mama." Ucap Amani lalu mencium pipi ibunya yang sedang menyediakan sarapan di meja makan.

Puan Latifah tersenyum bahagia. Amani memang seorang anak yang solehah baginya. Alhamdulillah, hasil didikan dia dan suami, Amani membesar dengan peribadi yang elok.

"Duduklah, Ani."

Amani melabuhkan punggungnya.

"Awalnya mama masak. Tak sempat Ani nak tolong hari ini."

"Tak payahlah. Semalam Ani balik lewat kan. Kesian mama tengok." Lembut suara Puan Latifah melayan anaknya.

Nasi goreng disenduk ke dalam pinggan Amani. Dengan muka penuh berselera, Amani menikmati sarapannya.

"Hai, Ani. Berselera papa tengok." Tegur Datuk Johan dari belakang lalu duduk di sebelah anak kesayangannya.

"Papa.. Good morning." Ucap Amani dengan manja lalu meneruskan suapannya. Nasi goreng mamanya memang the best.

Datuk Johan menikmati masakan isterinya itu. Sudah hampir 30 tahun usia perkahwinan mereka namun bibit-bibit kemesraan masih jelas kelihatan. Jarang Amani lihat mereka bertengkar kerana bertolak ansur adalah rahsianya. Masing-masing merendahkan ego dan berbincang dengan terbuka untuk menyelesaikan masalah.

"Papa tak pergi office ke hari ni? Pakai t-shirt biasa aje Ani tengok." Soal Amani.

"Papa ambil cuti hari ni. Nak teman mama kat rumah." Datuk Johan bermanis mulut.

"Apalah sangat yang boleh kita buat kat rumah ni bang. Nanti abang bosan pula duduk rumah dengan saya." Nada Puan Latifah seakan merajuk. Amani menghentikan suapannya. Papanya dikerling.

"Takkan lah saya bosan dengan awak, sayang. Saya ambil cuti nak luangkan masa dengan awaklah." Datuk Johan cuba bermanis lagi.

Puan Latifah membuat muka toya. Selesai menuang teh untuk suaminya, dia berundur ke dapur. Amani terus mendekatkan dirinya.

"Apa papa dah buat?" Tanya Amani dengan perlahan sambil memandang ke dapur.

Datuk Johan tersenyum manis. Teh yang dituang tadi dihirup dengan perlahan.

"Papa ada janji dengan mama semalam untuk keluar bersama. Tapi, papa batalkan sebab ada hal penting di office." Terang Datuk Johan.

"Memanglah mama marah. Papa mungkir janji." Amani memang dah tak ada istilah berlapis-lapis. Terus terang saja apabila bercakap dengan papanya.

"Itu yang papa cuba untuk betulkan. Mama mogok dingin dengan papa dari semalam lagi. Apa yang patut papa buat ye Ani?" Soal Datuk Johan. Hanya anak daranya seorang inilah yang boleh membantunya di saat ini.

Amani berfikir seketika. Sudu yang berada dihujung jarinya digerakkan berkali-kali. Datuk Johan pula mengharap idea bernas dari anak daranya ini.

"Papa ingat apa yang selalu cairkan hati mama?" Soal Amani dengan senyuman.

"Bunga ros merah." Jawab Datuk Johan. Amani segera mengangkat kedua-dua keningnya dengan wajah bangga. Datuk Johan menangkap maksud Amani lalu tersenyum.

Puan Latifah menghampiri mereka dengan sepinggan buah epal. Terus Amani dan Datuk Johan meneruskan suapan mereka. Pinggan buah itu diletakkan diatas meja lalu Puan Latifah duduk di sebelah anaknya dengan wajah biasa.

Saat Cintaku Berbisik Rindu [Original Tajuk: Semarak Api Cinta]Where stories live. Discover now