Bab 33

2.8K 82 4
                                    

AMANI berdiri di jendela bilik sambil menatap keindahan cahaya bulan. Hatinya sedih dan gusar saat ini. Sedih dengan sikap Danish sewaktu makan malam tadi dan gusar dengan apa yang akan terjadi sebentar lagi.

Dia menoleh kearah bilik mandi itu. Danish sedang mandi. Amani pula sedang menunggu di luar di tepi jendela.

Teringat pula apa yang terjadi sewaktu makan malam tadi. Danish pulang jam 8 malam itu dan makan bersama-sama Datuk Kamal dan Datin Fatimma. Pada mulanya, Amani hanya berkurung di bilik namun Mak Jah datang memanggilnya untuk makan malam bersama. Datuk Kamal yang meminta.

Amani risau yang masakan kegemaran Danish itu tidak sesedap Mak Jah. Jadi, dia rela berkurung di bilik. Waktu dia duduk di meja makan saja, wajah Danish berubah masam.

"Makanlah, Ani. Banyak makanan sedap ni." pelawa Datuk Kamal dengan lembut.

"Mak Jah masak lauk kegemaran saya ke?" soal Danish dengan wajah yang teruja.

Tanpa menunggu lama terus dia mencedok ayam dan makan. Begitu enak rasanya.

"Mak Jah, makin sedap lauk ni. Mak Jah ada letak penambah rasa baru ke?" soal Danish dengan wajah yang gembira.

Mak Jah yang berdiri tak jauh dari meja makan tersenyum memandang Amani. Wajah Amani ceria mendengar pujian Danish.

"Mak Jah tambah rasa sayang aje." seloroh Mak Jah.

Danish dan Datin Fatimma ketawa kecil mendengarnya. Amani hanya menundukkan muka sambil makan dengan senyuman.

"Makin sedap lauk ni. Jadi, Mak Jah makin sayang saya ke?" Danish pula bergurau.

Datin Fatimma dan Datuk Kamal ketawa mendengar soalan Danish.

"Betul lah tu. Makin sayang. Tapi, bukan Mak Jah yang masak." ujar Mak Jah dengan senyuman nakal.

Danish terdiam. Dipandangnya Datin Fatimma yang sedang memerhati Danish dengan muka tertanya-tanya.

"Isteri awaklah yang masak. Itu yang makin sedap tu kan." usik Mak Jah dengan senyuman nakal.

Amani tersipu malu. Datuk Kamal pula sudah tersenyum lebar melihat reaksi Datin Fatimma dan Danish.

"Hah, Danish. Untung dapat isteri yang pandai masak. Lebih-lebih lagi lauk kegemaran sendiri." Datuk Kamal mencelah.

Wajah Danish terus berubah suram. Dia diam kerana malu dengan dirinya yang dari tadi memuji masakan isterinya tanpa dia sedari.

"Lain kali, kalau nak, bila-bila masa Ani akan masakkan. Betul tak?" soal Mak Jah dengan nada usikan sambil mengenyit mata pada Amani.

Amani tertawa kecil melihat kenyitan mata Mak Jah. Yalah, dua-dua mata dipejamnya. Buruk sungguh nampak. Lebih-lebih lagi berkali-kali Mak Jah mengenyitkan matanya.

Danish jadi panas melihat Amani ketawa. Dia merasa diejek dan diperlekehkan. Terus sahaja dia bangun. Mata-mata yang ada disitu jadi pelik. Hilang senyuman Amani.

Danish mengambil mangkuk lauk itu lalu meluru ke dapur. Mak Jah terpinga-pinga melihat Danish melintas dihadapannya.

"Danish" jerit Datin Fatimma namun tiada sahutan.

Mak Jah terus mengekorinya. Amani juga membuntuti langkah Mak Jah.

Ternyata, Danish membuang lauk itu kedalam tong sampah. Terkejut Amani melihat sikap Danish.

Saat Cintaku Berbisik Rindu [Original Tajuk: Semarak Api Cinta]Where stories live. Discover now