𝐀𝐋𝐓𝐀𝐅 | 𝐄𝐈𝐌𝐀 - 10

9.7K 752 104
                                    

Eima dah setuju dengan cadangan ibu. Ibu hanya tunggu keputusan dari Altaf.

Terngiang-ngiang kata Cik Ani tiga hari yang lepas. Tidak sangka. Naik hairan Altaf, mereka baru kenal seminggu, bagaimana Eima boleh bersetuju untuk berkahwin dengannya?

Bercakap pun jarang-jarang. Kali terakhir hari mereka minum petang di rumah Pak Leman. Selepas kejadian itu, hanya sekali dua Eima muncul di hadapan wajahnya. Nak kata bertegur sapa? Jangan harap. Bersabung pandang pun hanya bertahan dua saat.

"Jauh termenung, Taf." Encik Zain tegur dari pintu rumahnya sementelah duduk dia labuhkan di sebelah Altaf yang turut berehat di anjung rumahnya ini.

Altaf angkat kepala. Senyuman kecil dia tujukan buat Encik Zain. Tubuhnya mengengsot sedikit memberi ruang kepada Encik Zain untuk duduk.

"Tak adalah, Pakde. Termenung dekat-dekat ni saja." Sengaja Altaf melayan seloroh Encik Zain sehingga tawa terletus di bibirnya.

Tetapi memang Altaf bercakap benar. Dia termenungkan Eima sahaja. Bukan dia tidak tahu Eima hanya berada di dalam rumah Encik Zain ini. Dia sendiri nampak kelibat wanita itu tadi sebelum Eima berlari masuk ke dalam sebuah bilik yang Altaf yakini bilik tidurnya itu. Nakal.

"Pakde betul-betul tak kisah bermenantukan lelaki seperti Altaf?" Terpacul juga soalan itu dari bibirnya.

Encik Zain pandang Altaf. "Pakde kisah. Lebih pada kisah nak bermenantukan lelaki hebat seperti Altaf." Ujarnya tenang.

Serentak, Altaf pandang sisi wajah yang tenang itu. Lelaki hebat?

"Eima pernah tekad, dia tak nak berkahwin. Katanya, itu janji dia dengan arwah emaknya." Encik Zain mula buka cerita.

"Pakde sendiri tak tahu macam mana dan bila janji itu boleh terjadi. Bila pakde tanya Eima, dia hanya diam sebagai jawapan." Setiap kali dia cuba bercakap tentang perihal ini dengan Eima, wanita itu hanya diam.

Mustahil isterinya pernah meminta Eima supaya berjanji perkara karut itu. Dia pasti, Eima ada salah faham.

"Tiap-tiap hari Pakde minta pada Allah supaya kurniakan lelaki hebat yang boleh buka hati dia. Sudah berbuih mulut Pakde memujuk, masih tak jalan. Orang terdekat dengan dia pun, Pakde minta tolong tapi hampa." Eima tetap Eima. Degil. Mujur Eima itu satu-satu anak perempuannya.

"Altaf lelaki pertama yang dia bercerita kepada Pakde." Masih teringat, berulang kali dia terpaksa tadah telinga mendengar Eima yang berulang kali bercerita tentang Altaf yang menolongnya malam itu.

"Saat itu, Pakde sedar yang Allah dah hantarkan lelaki hebat yang Pakde minta dengan dia..." Benarlah, tidak salah lagi. Setiap doa pasti akan dimakbulkan. Bezanya hanya cepat dan lambat sahaja.

"Pakde, Altaf jauh daripada sangkaan. Altaf terlalu banyak kurangnya..." Suara Altaf cepat-cepat. Sungguh jauh meleset sangkaan Encik Zain ini. Altaf banyak dosa. Dosa yang mana mungkin dia akan lupa.

"Altaf bukan setakat berdosa pada Allah. Altaf banyak berdosa pada manusia juga." Sehingga dia terpaksa tanggung dosanya yang mengalir seperti air terjun ini. Memikirkan dosanya yang mengalir tiap-tiap masa dan saat, sungguh sedih. Altaf sudah tidak mampu tanggung dosanya sekarang.

"Pakde pun sama, Altaf. Kita manusia memang pendosa."

Altaf geleng kepala berkali-kali. Dia tahu. Setiap manusia itu memang lumrahnya melakukan dosa tetapi Altaf lain. Sungguh lain.

"Altaf nak berterus terang. Altaf sebenarn—"

"Altaf." Pakde mencantas percakapan lelaki itu. Dia tahu apa yang Altaf mahu cakapkan. Dia tahu apa yang Altaf mahu sebutkan. Tetapi dia tidak mahu dengar.

ALTAF'S SAVIOURWhere stories live. Discover now