𝐀𝐋𝐓𝐀𝐅 | 𝐄𝐈𝐌𝐀 - 55

16.1K 1.1K 332
                                    

Tergamam.

Itu reaksi pertama yang Altaf pamerkan setelah dia selamat menjejakkan kaki ke dalam rumah. Ruang tamu yang luas itu kelihatan amat lain daripada sebelumnya. Kedudukan sofa telah bertukar. Langsir yang menutupi tingkap juga sama.

Ini pasti kerja Eima. Mengenangkan Eima yang membuat segela pekerjaan ini sendirian, buat rasa serba salahnya pada wanita kesayangan makin membuak-buak.

Teringatkan kata-kata Alvina yang menjerkahnya tadi, pantas kaki panjangnya diayun menuju ke arah ruangan beradu.

Nafas diambil panjang sembari perlahan-lahan tombol pintu dipulas. Bilik itu gelap gelita menandakan yang lampu tidak terpasang. Tetapi dia masih boleh lihat sekujur tubuh yang berbaring di atas tikar sejadah dengan bertelekung.

Pasti wanita itu baru sahaja selesai menunaikan solat. Tidak menunggu lama, tubuh genit wanita itu dicempung dengan berhati-hati lalu diletakkan ke atas katil.

Duduknya dilabuhkan di sebelah pinggang Eima. Telekung pada tubuh itu ditanggalkan. Usai itu, Altaf mengambil kesempatan untuk menatap wajah yang amat dirinduinya itu. Jemari kasarnya turut bergerak mengusap pipi sang isteri. Panas!

Merasakan kulit wanitanya yang agak panas, tapak tangan beralih pada dahi bersih milik Eima. Lagi panas.

Benarlah kata Alvina. Eima tidak sihat. Eima demam.

Memang patut dia dihentam oleh Alvina tadi. Sanggup mengabaikan sang isteri dalam keadaan sebegini. Jauh dengan Eima yang tidak pernah culas dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Saat jemarinya sudah turun bermain di bibir yang agak kering dan pucat itu, tiba-tiba Eima menguntum senyuman. Terlalu lebar senyuman yang muncul itu hingga timbul kedutan kecil di bawah birai matanya. Comel.

Altaf senyum kelat. Wajah ditundukkan lalu dahi Eima dikucup sayang. Tubuh genit Eima ditutupi dengan duvet yang agak tebal. Kasihan melihat wanita itu mengerekot menahan kesejukan.

Jaket kulit yang membaluti tubuh sasanya sejak tadi ditanggalkan lalu dia keluar dari bilik beraduannya, meninggalkan Eima yang masih dibuai lena kesepian.






Mencebik. Bibir bawah diketap rapat menahan tubir mata yang mula bergenang. Jemari turut mengenyeh kelopak mata, seakan tidak percaya dengan pemandangannya sekarang.

Benarkah apa yang Eima lihat ini? Altaf sedang memasak di dapur. Suami Eima sudah pulang!

Bangun sahaja dari lena tadi, dahinya memberat dengan lipatan kain. Sejuk. Telekung solatnya juga sudah dilipat kemas sedangkan dia tertidur sementara menunggu solat isya' tadi.

Kaki dibawa menuju Altaf yang masih tidak sedar akan kehadirannya. Berdiri Eima di belakang tubuh sasa dan tinggi lampai itu, tidak beragak lengan halusnya melilit pada pinggang si suami.

"Abang..."

Otot badan Altaf yang menegang, mengendur apabila belakang tubuhnya disapa dengan lekuk wajah sang isteri. Dia menunduk dan melihat sepasang tangan Eima yang sudah memeluk kemas batang tubuhnya.

"Abang masak apa?" soal Eima kedengaran begitu teruja.

Altaf berdeham. "Bubur," jawabnya kosong.

Eima jauhkan wajah daripada belakang tubuh Altaf. Dia meleraikan pelukan lalu berdiri rapat di sebelah sang suami.

Senyumannya berubah hambar bila melihat wajah Altaf. Tiada sedikitpun senyuman yang terpancar di sebalik wajah tampan itu. Iris hitam pekat yang menawan hatinya itu juga masih kekal fokus pada periuk. Asing. Perilaku Altaf kepadanya amat lain.

ALTAF'S SAVIOURWhere stories live. Discover now