𝐀𝐋𝐓𝐀𝐅 | 𝐄𝐈𝐌𝐀 - 19

9.4K 703 88
                                    

"Mama... Huwa. Mama..."

Mendengar suara tangisan seseorang, menyentakkan Altaf. Iphone 14 diseluk ke dalam sling beg milik Eima yang setia dalam pegangannya. Kawasan tandas wanita dan bunyi punca tangisan dipandang bersilih ganti.

"Mama... Icha nak mama..." Suara tangisan dan rengekan kanak-kanak perempuan semakin dekat menyapa halwa telinga Altaf.

Kaki panjang Altaf melangkah ke arah itu. Berkerut halus dahi melihat seorang kanak-kanak perempuan yang duduk mencangkung dan menekup wajah ke lutut itu.

Liur diteguk. Anak mata dililaukan ke segenap laluan tandas mewah itu. Kosong. Tiada orang pun. Macam mana budak ini boleh sesat ke sini pula?

Jari telunjuk menggaru halus hujung kening yang tidak gatal. Altaf menapak makin dekat ke arah itu sebelum dia turut duduk mencangkung di hadapan si kecil.

"Hey, little girl. Awak okey?" Soal Altaf lembut.

Tidak pernah dia alami situasi begini. Berkomunikasi dengan anak kecil pun jarang sekali. Dia mana ada anak saudara. Sepupu itu ada, tapi Altaf tak rapat dengan mereka.

Wajah anak kecil yang ditekup disebalik lutut tadi diangkat. Dengan mata yang berkaca, si kecil itu melihat ke arahnya. Lengan tembamnya mengesat hujung mata yang basah.

Jemari kekar Altaf menyeluk masuk ke dalam beg Eima. Cuba mencari tisu atau kain yang boleh digunakan untuk mengelap wajah basah si kecil ini.

"Uncle nak bagi Icha gula-gula ke? Icha tak nak. Mama tak kashi!" Tegas si kecil yang bernama Icha itu bersuara.

Terhenti tangan Altaf yang menggagau mencari tisu itu. Secalit senyuman ditarik.

"Taklah. Saya tak ada gula-gula." Jawab Altaf. Menafikan sangkaan si kecil itu.

"Habishtu, uncle nak buat apa dekat Icha? Uncle nak Icha ikut uncle, kan? Icha tahu dah!" Ujarnya berselang-seli dengan bunyi esakan yang masih bersisa.

"Buk—"

"Uncle jangan ingat Uncle hesmes, Icha akan ikut uncle sheshuka hati. Icha tak akan ikut orang yang Icha tak kenal." Lekas sahaja Icha memotong percakapan Altaf. Sedikitpun dia tidak memberi ruang buat Altaf untuk meneruskan kata.

Melihat wajah Altaf yang masih tersenyum sambil menatapnya, Icha sembamkan muka ke kepala lutut.

Janganlah tengok lelama, nanti Icha cair...

Merasakan lengannya dicuit dengan sesuatu, diintai sedikit Altaf yang meletakkan tisu di atas lengannya.

Dengan tersebik-sebik, Icha angkat kepala. Wajah Altaf dicari.

"Gula-gula tak ada function sekarang. Saya bagi tisu, awak lap air mata awak." Kata Altaf lembut. Sehelai tisu lagi diletakkan di atas lengan kecil itu.

Menurut kata, Icha ambil tisu dan lap air matanya.

Altaf senyum lagi. Entah kenapa, si kecil ini mengingatkan dia akan Eima. Dengan iris bundar dan bibir yang kecil molek itu memang persis Eima. Comel.

"Awak sesat ke?" Melihat tangisan si kecil yang kian reda, Altaf ajukan soalan.

Icha geleng. "Icha tak sheshat pun." Nafi Icha lagi. Lututnya dijatuhkan dan duduknya sudah beralih bersila.

Mendengarkan itu, dahi Altaf berlapis. "Kalau awak tak sesat, macam mana awak boleh sampai sini?" Entah faham ke tidak si kecil ini dengan soalannya.

"Icha pergi tandas dengan aunty yuyu, tapi lepas Icha keluar tandas, aunty yuyu dah hilang..." Ceritanya.

ALTAF'S SAVIOURWhere stories live. Discover now