ADAM menggosok tengkuknya yang terasa tegang. Kepalanya pula terasa berat. Tekaknya juga terasa perit dan tajam setiap kali air liur ditelan. Ini tak lain tak bukan, mesti nak demam. Pasti gara-gara kehujanan semalam. Tapi selama ini, tak pula dia demam bila terkena hujan. Boleh dikatakan dia sangat susah untuk demam atau jatuh sakit.
Azalea bagaimana? Demam atau tidak?
Telefon pintar di atas meja kecil di tepi katil dicapai. Lalu, nombor telefon Azalea dihubungi. Sambil itu Adam bangun dari katil dan keluar dari bilik menuju ke dapur. Gelas diambil dan diletakkan di bawah penapis air, lalu diteguk.
Telefon pintar yang melekap di telinganya dibawa ke depan muka apabila talian tidak bersambut. Lagi sekali Azalea dihubungi. Sama juga. Dicuba lagi, pun masih tak bersambung. Lantas, dia menghubungi Puan Hajar pula.
"Assalamualaikum, ibu." Ucapnya sejurus panggilannya dijawab.
"Waalaikumsalam. Ada apa Adam telefon ibu?"
"Lea demam?" Terus kerisauannya yang utama itu disoal.
"Demam? Taklah. Kenapa Adam tanya? Adam tak jumpa Lea dekat pejabat ke?"
"Saya tak masuk pejabat hari ni." Dia berdeham membetulkan tekak yang terasa semakin perit sebelum menyambung. "Lea pergi kerja dengan apa, ibu?"
"Kawan Lea datang ambil. Lea memang tak nak bawak kereta dah, Adam. Lea takut Mazlan ikut. Lea takut Mazlan tahu dekat mana kami tinggal."
Senyap sekejap Adam mendengar jawapan itu. Nampak ganyanya dia terpaksa suruh Pak Nasir jemput dan hantar Lea ke pejabat mulai esok.
"Ada apa-apa lagi Adam nak tanya?"
"Tak ada, ibu. Itu saja." Usai memberi salam, Adam masuk semula ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Manalah tahu kepala yang terasa berat ini dapat diringankan apabila dibasahi pancuran air.
• • • • •
ANGKA jam yang tertera di bahagian bawah hujung laptop dilirik sekilas. Sudah pukul 9.50 pagi tapi batang hidung Adam pun tak nampak lagi. Tak pernah selama beberapa hari dia menjadi pembantu peribadi Adam, lelaki itu datang lewat ke pejabat. Kalau tak masuk ke pejabat, pasti Adam akan maklumkan kepadanya. Tetapi hari ini tiada pula.
Perlu ke dia yang hubungi? Tapi macam mana? Nombor telefon Adam pun dia tiada. Kalau dia tanya pada staf lain pasti mereka berasa aneh. Jawatannya sebagai pembantu peribadi Adam, tetapi nombor telefon pun tak ada. Memang dia rasa tiada keperluan untuk dia simpan nombor telefon Adam.
Dalam dia berkira-kira sendirian itu, telefon pintarnya berbunyi. Nombor yang sama dengan nombor yang menghubunginya tadi. Sungguh, sejak dihubungi oleh nombor yang tak dikenali semalam, dia jadi takut untuk menjawab mana-mana panggilan yang bukan dalam senarai kontaknya.
Macam mana kalau panggilan itu adalah daripada orang yang sama dengan yang semalam? Cuma hari ini menggunakan nombor lain pula.
Lega rasanya apabila nombor tersebut tidak lagi naik di skrin setelah tiga kali panggilan. Namun, telefon pejabatnya pula berbunyi selepas itu. Patut ke dia angkat? Kalau dari pemanggil tadi bagaimana? Tapi kalau bukan?
Nafasnya ditarik dalam dan dihembus perlahan-lahan. Cuba untuk bertenang. Lalu, dengan teragak-agak dia mengangkat ganggang tersebut.
"Hel..." Terpejam mata Azalea disembur oleh Adam sebelum sempat ayatnya dihabiskan.
YOU ARE READING
Kerana Dendam
RomanceAdam Hirdy | Azalea **TRIGGER WARNING** READER DISCRETION IS ADVISED. This story may be upsetting for some readers, as it explores themes of mental illness and trauma. It also includes sensitive content such as sexual assault, violence, kidnapping...