Bab 42

13.9K 901 127
                                    

USAI menunaikan solat maghrib, Azalea menyusun langkah ke halaman rumah mentuanya semula dan duduk di bangku batu di situ. Kepalanya tegak ke depan memandang pintu pagar besar yang terpelahang jauh di depan sana. Keluhan yang entah ke berapa ratus kali dihembus halus.

Bila agaknya Adam akan pulang? Sejak dari pagi tadi dia menunggu selepas Adam pergi meninggalkannya usai ijab kabul. Sudah berginjak ke malam hari pun batang hidung Adam masih tak kelihatan. Banyak yang mahu dia bincangkan tapi Adam langsung tak mahu beri dia peluang walau sesaat. Malah sekarang Adam pergi entah ke mana.

Ke mana lagi kau rasa? Mestilah dia pergi pujuk Rose. Kalau kau dekat tempat Rose, kau kecewa tak tengok buah hati kau kahwin dengan perempuan lain?

Tertunduk kepala Azalea dibidas suara hati sendiri. Sorotan matanya berlabuh pada sebentuk cincin permata yang tersarung di jari manisnya. Cantik. Tapi cincin ini bukan pilihannya, apatah lagi pilihan Adam. Ia milik Datin Fatimah. Cincin turun temurun yang memang dikhaskan untuk wanita yang akan menjadi menantunya.

Sepatutnya cincin ini tersarung pada jari Rose. Bukan dia. Rose yang lebih layak. Tak apa, dia akan pastikan cincin ini akan tersemat indah di jari Rose suatu hari nanti. Dia hanya perlukan sedikit saja masa dan mencari peluang duduk bersemuka dengan Adam untuk selesaikan masalah yang ditimbulkan olehnya.

Mungkin bukan hari ini tapi masih ada esok dan lusa serta hari-hari seterusnya apabila marah Adam terhadapnya sudah sedikit surut. Benar apa yang Redza katakan padanya pagi tadi. Dia perlu beri Adam masa dan ruang untuk terima apa yang terjadi.

Punggungnya diangkat lalu dia menapak ke dalam rumah yang tersangat besar itu. Senyuman manis merekah di bibir saat pandangan matanya bertembung dengan Datin Fatimah yang sedang berbual dengan ibunya di ruang tamu. Duduknya dijatuhkan sebelah wanita itu.

"Lea minta diri dulu, mummy."

"Lea dah nak balik? Tak nak tunggu Adam? Kejap lagi baliklah Adam tu."

"Hmm... tak apalah. Lagipun dah lewat ni. Dah nak maghrib. Esok je Lea jumpa Adam."

Datin Fatimah menggenggam tangan kanan Azalea di atas riba. "Mummy minta maaf bagi pihak Adam. Dia tak patut biarkan Lea macam ni. Lea ni isteri dia sekarang."

"Tak perlu minta maaf, mummy. Lea okey. Lagipun bukan salah mummy. Bukan salah Adam jugak. Kita bagi Adam masa, okey? Nanti Lea akan cuba slow talk dengan Adam," jawabnya lembut sebelum tunduk mencium belakang tangan Datin Fatimah.

"Lea dengan ibu balik dulu, ya?"

"Lea tak nak tidur sini?" Redup panahan mata Datin Fatimah menikam wajah cantik menantunya.

"Err... tak apalah, mummy. InsyaAllah, lain kali Lea tidur sini. Lagipun Lea tak bawak baju." Berhati-hati dia menolak pelawaan itu.

"Yalah." Berat hati Datin Fatimah mahu melepaskan menantunya pulang. Tubuh langsing itu disauk ke dalam pelukan.

"Terima kasih sudi jadi menantu mummy. Mummy sayang Lea macam anak mummy sendiri. Sikit masa lagi mummy yakin Adam pun akan sayangkan Lea," ujarnya separa berbisik.

Azalea hanya diam bersama senyuman pahit yang terbentuk. Tiada kata yang mampu dituturkan membalas anganan Datin Fatimah. Dia tak berani mengimpikan hal sebegitu kerana dia tahu mati hidup semula pun Adam tak mungkin akan sayangkannya. Dia juga sama. Hubungan mereka langsung tak berlandaskan sebarang perasaan istimewa. Mereka berdua sama-sama terpaksa bersatu dalam ikatan perkahwinan ini.

"Esok Lea datang sini lagi, ya? Bawak Hajar sekali. Kita makan tengah hari sama-sama. Mummy nak masak special." Teruja bicara Datin Fatimah menyatakan itu.

Kerana DendamWhere stories live. Discover now