HALUSIMASA

1.1K 53 2
                                    

Adam sedang bertungkus lumus menyiapkan kerja semester akhirnya di dalam bilik. Oleh kerana cuti semester, jadi dia menyiapkan tugasannya di rumah ibu bapanya sahaja. Kertas-kertas projek dan buku-buku diletakkan agak berselerak di atas meja. Matanya tertumpu pada skrin komputer manakala jari jemarinya ligat menaip di keyboard komputer. Dia harus pantas kerana tarikh akhir menghantar kerja itu adalah minggu depan walhal banyak lagi tugasannya yang belum selesai, kira-kira 60 peratus lagi.

Sedang dia sibuk menaip tiba-tiba tumpuannya terganggu dengan suara orang yang sedang berborak di luar rumah. Dalam keadaan yang sunyi sepi begitu suara-suara yang sedang berbual itu memang agak menganggu. Lama-lama hatinya tidak tenang, dia menjenguk sedikit ke luar tingkap. Kelihatan dua orang lelaki sedang berbual tidak jauh dari rumahnya. Adam langsung tidak mengenali kedua-kedua orang lelaki tersebut. Umur mereka lebih kurang dalam lingkungan 50 an. Yang seorang berpakaian kemas dengan kot hitam, manakala seorang lagi memakai jaket berwarna coklat. Adam malas hendak mengambil tahu, baginya sekarang kerja adalah lebih penting. Jika tak sempat siap pada masa yang ditetapkan, habislah peluangnya untuk tamat pengajian dengan cemerlang.

Adam duduk semula di kerusi dan terus fokus pada komputer. Namun tidak sampai beberapa saat dia duduk, dia terdengar ada orang memanggil namanya. Dia pasti sangat panggilan itu datang dari bawah tidak jauh dari rumahnya. Dia menjenguk semula ke tingkap, kelihatan dua orang lelaki yang sedang berbual tadi memanggil namanya. Pelik. Bagaimana mereka berdua tahu nama dia? Bagi memastikan dengan benar lagi, Adam cuba menguak pintu tingkapnya. Dalam pada itu Adam tak perasan ada sebuah pasu bunga kaktus yang dia letakkan di tepi tingkap. Akibatnya pasu bunga itu tertolak oleh pintu tingkap tadi dan terjatuh berderai ke bawah. Adam mengeluh. Dia cuba memberi perhatian kepada panggilan dua orang lelaki tadi.

"Ya, saya Adam. Ada apa?"

Yang menjengkelkan Adam, kedua-dua orang lelaki tadi terus sambung berbual seolah-olah tiada apa yang terjadi. Adam pasti sangat mereka berdua yang memanggil nama dia tadi. Lelaki berkot hitam sedang berbual sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah Adam, manakala lelaki yang berjaket coklat memerhati sahaja wajah Adam. Adam jadi cuak. Dia terus menutup tingkap dan sambung membuat kerja. Di fikirannya sedang bermain-main macam-macam perkara ketika itu. Setengah jam selepas itu. Adam terasa matanya sudah terlalu berat akibat tidak cukup tidur dan penat menatap skrin komputer. Dia mengambil keputusan untuk baring dan lelapkan mata sebentar. Adam baring dan terus terbuai dalam lamunan. Segalanya kelihatan gelap. Dia langsung tidak terdengar sebarang bunyi di dalam rumah mahupun di luar rumah.

Adam terjaga.

Dia terpinga-pinga. Sedar-sedar sahaja dia sedang berada di belakang sebuah bangunan lama. Adam terus berjalan keluar dari belakang bangunan yang sempit dan gelap. Hampir sesak nafas dibuatnya. Adam berasa aneh kerana tubuhnya agak tidak efektif dan berasa lain macam ketika itu. Terasa berat. Langkahnya agak perlahan, mulutnya tercungap-cungap bagai tidak cukup nafas. Banyak kali dia terbatuk-batuk. Mungkin kesan dari habuk dan kotor di belakang bangunan tadi. Adam tiada destinasi hendak dituju, namun dia tetap terus berjalan. Berjalan melalui deretan-deretan perumahan yang sebenarnya dia sudah agak biasa dengan suasana tempat tersebut.

Di hujung jalan telah berdiri seorang lelaki separuh umur yang berkot kemas. Dari riak wajahnya menunjukkan dia sedang menunggu Adam. Adam kenal akan dia, langkahnya diteruskan ke arah lelaki tersebut. Lelaki berkot hitam menghulurkan salam pada Adam. Mereka mula berbicara.

"Tahniah Adam. Nampaknya kau dah berjaya."
"Ya. Tak sangka aku dapat kembali semula ke tempat ini. Amat nostalgia"
"Jadi di sinilah tempatnya. Adam, cuba kau perhatikan rumah itu"
"Betulkah ini rumahnya?"
"Betul, tak kan kau dah lupa. Rumah yang berwarna putih itu lah."

Adam mengamati rumah yang berwarna putih di kanan hadapannya. Pada waktu ini Adam terlihat seperti ada seseorang lelaki yang sedang menjenguk-jenguk dari tingkap rumah. Adam terkejut, dalam pada masa yang sama dia berasa kagum.

"Macam mana Adam, menarik bukan? Cubalah lah kau panggil dia."

Adam berasa serba salah. Namun peluang hanya datang sekali. Bagi Adam ini lah masanya untuk berjumpa dengan lelaki tersebut. Mungkin ada sebarang dua kata yang mahu Adam katakan kepada lelaki itu. Adam bergerak ke hadapan sedikit dan cuba memanggil nama lelaki yang menjenguk di tingkap sebentar tadi. Dia pun memanggil.

"Adam..! Adamm..!!

Lelaki itu menjenguk lagi sekali ke luar, dia membuka tingkap biliknya. Pasu kecil berisi pokok kaktus yang diletakkan di tepi tingkap terjatuh ke bawah akibat tertolak oleh pintu tingkap. Kelihatan dia sedikit mengeluh apabila melihat pasunya jatuh berderai di bawah. Lelaki itu memandang ke arah Adam lalu menyahut.

"Ya, saya Adam. Ada apa?"

Adam tergamam. Lelaki berkot hitam tersenyum puas.

"Macam mana sekarang Adam. Menakjubkan bukan? Kita berjaya merentasi zaman dan masa. Sekarang kita berada di tahun 1992. Itu rumah tempat kau membesar dahulu dan yang keluar menjenguk ke luar tingkap tadi ialah engkau sewaktu berumur 23 tahun. Kau ada peluang sekali ni sahaja untuk berjumpa dengan 'kau' yang muda. Mungkin ada pesanan yang kau mahu katakan kepada 'dia' ?"

Adam resah dan berdebar-debar. Dia membetulkan kolar jaket berwarna coklatnya itu.

Eeeeee Takut Yeee......Where stories live. Discover now