AWAK

772 33 0
                                    

Pada suatu hari, aku bangkit dari tidur yang sangat nyenyak. Aku fikirkan sudah menjelang siang, rupa-rupanya masih lagi pagi buta. Aku mencapai telefon disebelah bantal dan melihat jam, pukul 4:10 pagi. Tekak aku terasa haus dan kering. Aku pun bingkas bangun dari katil dan menuju ke arah suis lampu. Waktu aku ingin menekan suis lampu, aku terasa seperti ada orang sedang berdiri dan bernafas betul-betul dekat belakang aku. Hembusan nafas dia boleh terasa ditengkuk aku. Segala pergerakan aku pada waktu itu terhenti. Otak aku jadi tak berfungsi. Aku berfikir sejenak, aku hidup bujang dan tinggal seorang diri flat yang aku sewa ini. Mana mungkin ada orang lain bersama dengan aku pada waktu itu? Namun, aku buat tidak endah sahaja dan aku terus menghidupkan suis lampu bilik. Kemudian, aku masih berdiri tegak disitu, sedikit pun tidak berganjak. Keadaan bilik aku sunyi sepi, tiada satu bunyi pun yang kedengaran kecuali nafas aku sendiri. Beberapa saat kemudian, aku memberanikan diri untuk menoleh ke arah belakang. Namun, keadaan sangat gelap. Tiada apa yang dapat aku lihat pada saat itu. Maka sedarlah aku bahawa aku sedang diselubungi ketakutan yang teramat sangat sehinggakan aku tidak menyedari pada ketika aku menoleh aku menutup mata. Perlahan-lahan aku membuka kelopak mata aku. Kosong. Akhirnya, aku membuka mata aku sepenuhnya. Keadaan bilik aku normal seperti biasa. Aku saja seorang manusia yang sedang berdiri disitu.

"Mungkin perasaan aku saja." bisik aku di dalam hati untuk menyedapkan perasaan aku sendiri yang sedang ditenggelami dengan rasa takut dan seram. Tidak pernah aku alami situasi sebegini sebelum ini. Entah mengapa pada hari itu tiba-tiba saja perasaan seram itu menyingkap. Aku sudah bertahun tinggal di flat tersebut. Sebelum-sebelum ini aku pernah ada rakan serumah dan sebilik yang turut menyewa sekali seperti aku. Mereka pernah juga bercerita kepada aku tentang peristiwa aneh yang mereka sendiri alami sepanjang mereka menyewa di situ akan tetapi aku hanya buat tak tahu dan menganggap bahawa itu semua permainan perasaan mereka. Akhirnya, mereka semua berpindah keluar dari flat tersebut atas alasan yang tidak diketahui. Maka, tinggallah aku keseorangan dirumah tersebut sehinggalah ke hari ini. Pernah juga aku mengiklankan untuk mencari penyewa yang lain, akan tetapi tiada sesiapa pun yang ingin menyewa, aku sendiri pun tidak tahu mengapa dan apakah sebabnya. Terpaksalah aku tinggal seorang diri disini, bukannya tidak mahu mencari bilik sewa yang lain tapi, aku masih mampu untuk membayar sewa dan tempat ni terlalu dekat dengan pejabat aku.

Aku membuka pintu bilik untuk menuju ke arah dapur rumah. Tekak aku masih lagi terasa dahaga dan kering. Ketika aku melangkah keluar dari bilik tidur, aku terasa seperti ada angin yang menerjah aku dari arah belakang. Angin tersebut tidak sama seperti angin yang dihasilkan oleh kipas siling. Angin tersebut tersangatlah sejuk, seperti ais sejuknya. Tetapi aku mengendahkan ia dan terus melangkahkan kaki aku menuju ke arah dapur. Setibanya aku di dapur, ada suatu bau yang busuk menerjah ke dalam hidung aku sehingga membuatkan aku terpaksa menutup hidung. Dengan segera, aku membuka suis lampu dapur rumah. Keadaan terang benderang membuatkan mata aku menjadi sakit. Tanpa membuang masa, aku mencari-cari punca bau busuk tersebut. Rupa-rupanya tong sampah rumah aku yang berbau. Mungkin kuah gulai yang aku buang ke dalamnya sudah menjadi basi dan berbau. Terus, aku membungkus plastik sampah itu dan tanpa rasa malas aku terus menuju ke luar rumah untuk menuju ke arah tempat pembuangan sampah yang terletak dihujung blok. Untungnya aku tinggal diflat ni. Tak perlu bersusah payah turun ke bawah untuk buang sampah, campakkan saja ke dalam lubang yang disediakan dan sampah itu akan jatuh ke bawah.

Ketika aku sedang berjalan menuju ke tempat pembuangan sampah, mata aku melilau-lilau memandang ke arah bawah flat, kelihatan ada dua orang pengawal sedang berkawal ditempat letak motorsikal. Aku pun teruskan berjalan sambil mendendangkan lagu ulek mayang. Setibanya aku ditempat pembuangan sampah, aku nampak ada seorang budak perempuan sedang berdiri di situ dan sedang membuka pintu tempat buang sampah tersebut. Lalu, dia terus terjun ke dalam lubang khas yang disediakan untuk membuang sampah. Lubang itu agak besar, memang muat untuk manusia dewasa terjun ke dalamnya. Aku jadi terkejut dengan perbuatan budak perempuan itu. Dengan pantasnya, aku campak sampah aku tu ke tepi dan berlari turun tangga hingga ke bawah ditempat pembuangan sampah. Sampai saja dibawah, aku mencari-cari pengawal yang bertugas tadi dan memanggil mereka. Aku memberitahu mereka akan perkara yang aku saksikan sebentar tadi. Pengawal itu pun pergi ke pondok dan mengambil kunci untuk membuka pintu bilik pembuangan sampah tersebut. Setelah pintu terbuka, mereka pun masuk ke dalam dan mencari-cari kelibat budak perempuan yang aku katakan tadi. Namun, mereka tidak jumpa seketul tubuh pun di dalam tempat tersebut, semuanya penuh dengan sampah. Aku jadi hairan bila mereka berkata sedemikian rupa, lalu aku sendiri pergi masuk ke dalam sana dan mencari. Memang tiada. Yang ada hanyalah plastik-plastik yang dipenuhi dengan sampah sahaja.

Eeeeee Takut Yeee......Where stories live. Discover now