UFO

1.1K 49 2
                                    

"Zakii! Zaki! Apa dibuatnya kat dalam bilik tu? Mari tolong mak sekejap!"

Zaki kelam kabut menyorokkan komik yang sedang dibacanya ke bawah tilam. Terkejut dia apabila mendengar suara emaknya yang kuat bagaikan guruh dan petir itu. Zaki. 12 tahun. Seorang budak remaja yang begitu meminati perihal sains fiksyen, terutama hal alien. Di dalam biliknya penuh dengan komik-komik superhero, dinding biliknya pula penuh dengan poster-poster gambar ufo dan superhero, manakala di atas mejanya tersusun cantik figura alien dan kapal angkasa. Oh ya, beg sekolahnya juga berjenama Alien Workshop. Obsesnya pada alien dan sains fiksyen tidak dapat disangkal lagi. Di sekolah, seringkali dia digelar 'budak nerd', 'Zaki the Alien', dan 'makhluk asing'. Zaki jarang bersosial dan bercampur dengan budak-budak lain, dia suka mengasingkan diri. Mereka seringkali mengejek Zaki kerana terlalu fanatik sangat dengan benda-benda mengarut itu. Namun Zaki langsung tak peduli.

"Zakii...! Kau dengar tak tu? Mari tolong mak sekejap ni!"

Zaki sebenarnya termengelamun sebentar tadi. Mungkin dirinya sudah terlalu jauh sangat di alam komik. Emaknya akan bising bila melihat Zaki terlalu asyik sangat khayal dengan komik. Zaki bingkas bangun dari katil dan keluar dari bilik. Sempat dia menoleh ke belakang untuk melihat komiknya benar-benar selamat di bawah tilam. Kalau emaknya nampak pasti akan dilempar jauh keluar dari tingkap rumah.

"Ya, mak. ada apa tadi?" Zaki berdiri di tangga dapur
"Zaki tolong mak beli barang-barang dapur kejap dekat kedai Pak Hamid. Lusa dah nak puasa, barang dapur ni pulak dah kurang. Ye la untuk masak berbuka dan sahur nanti."
"Baik mak. Duitnya?"
"Ambik dalam purse mak dekat atas meja ruang tamu sana."
"Ok"
"Zaki. Mak risau lah Zaki ni asyik dok dalam bilik je. Pergilah keluar bercampur dengan kawan-kawan Zaki sana. Janganlah jadi anti-sosial sangat. Susah masa depan Zaki nanti kalau tak bergaul dan bercampur dengan orang."

Zaki hanya mendiamkan diri saat emaknya menegur. Teguran yang sama dan berkali-kali diulang. Zaki jadi lali. Dia ada sebab tidak mahu bergaul dengan kawan-kawannya. Mereka tak faham minat Zaki malah selalu mengejeknya. Zaki jadi tertekan dipulaukan sebegitu. Rakan-rakannya menganggap Zaki ni tidak realistik kerana mempercayai hal-hal mengarut terutama hal alien. Atas sebab itu Zaki sentiasa mengasingkan diri daripada mereka. Zaki berjalan perlahan ke meja ruang tamu. Mengambil duit kemudian keluar ke kedai Pak Hamid. Kedai Pak Hamid tidaklah jauh mana, berjalan kaki sudah memadai.

Sewaktu berjalan kaki, fikiran Zaki terus berlegar-legar memikirkan tentang komik yang baru dibacanya sebentar tadi. Jalan ceritanya memaparkan seorang budak lelaki yang bernama Trevor yang juga amat obses dengan alien dan ufo seperti Zaki. Dalam komik itu Trevor yang sedang memancing seorang diri di sebuah tasik telah diculik dan diberi peluang oleh mahkluk-makhluk asing untuk tinggal dan menikmati dunia mereka. Zaki mula terbayang dan teruja apabila melihat ilustrasi kapal angkasa pring terbang yang sedang terapung di atas tasik lalu mendarat di lapangan kaki bukit. Bentuknya amat besar, sebesar separuh padang bola. Bulat meleper, berwarna kuning keemasan dan di sekelilingnya terdapat banyak lampu berkelip-kelip lebih daripada satu warna.

"Hoi. Alien! Nak pergi mana tu? hahaha!"

Zaki tersentak daripada lamunan. Air mukanya berubah saat melihat kawan-kawan sekolahnya sedang duduk melepak di tepi cyber cafe. Kamal, Zaid, Man, dan juga Idris. Orang-orang yang sama di sekolah yang akan selalu mengejeknya dengan panggilan-panggilan yang menjengkelkan. Zaki buat bodoh. Malas hendak dilayan karenah monyet-monyet di tepi cyber cafe tersebut. Zaki terus berjalan memandang ke hadapan.

"Alahai, merajuk ke macam mana tu eh? Meh la sini, kita borak-borak pasal alien. Hahaha!" Man, cuba membuat provokasi ke atas Zaki.

"Zaki kau nak pergi mana tu jalan kaki sorang-sorang? Hek eleh, Mana ada alien jalan kaki, diorang naik ufo! Baru lah laju! Hahaha" Idris menambah lagi disulami dengan sarkastik secukup rasa. Kamal, Man dan Zaid sudah berdekah-dekah ketawa.

Eeeeee Takut Yeee......Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang