QARIN

689 37 3
                                    

Riuh kantin itu dengan sorakkan pelajar tingkatan 3 Mawar. Di tengah-tengah kekecohan itu, Jiha duduk sambil menggenggam tangan menahan marah, basah di siram dengan air oren yang baru dibelinya tadi. Afif tersenyum bangga, lalu mencampak gelas plastik yang telah dia kosongkan itu.

“Inilah selayaknya untuk anak pungut,” keji Afif lagi. Jiha masih diam, namun marah hatinya galak membakar.

“Apa masalah kau kalau pun aku ni anak pungut?” soal Jiha. Dia cuba berlagak tenang walaupun suaranya bergetar menahan marah.

“Sebab orang macam kau ni tak layak hidup! Kotoran yang menyakitkan mata!” tengking Afif, di sambut sorakkan rakan disekeliling, menjulang rasa bangga Afif. Tanpa sebarang kata, Afif berlalu pergi, diikuti rakan-rakan lain, meninggalkan Jiha berseorangan. Tiada seorang pun antara mereka yang datang menghulurkan simpati kepada Jiha.

“Tak mengapa,” Jiha memujuk hati, lalu tersenyum sinis. Sudah terlalu lama dia membiarkan Afif berbuat sesuka hati. Jiha tidak pernah tahu mengapa dalam ramai-ramai, Afif seorang yang paling membencinya. Afif akan selalu muncul di pertengahan jalan ketika Jiha mahu pulang dari sekolah dan dia akan menolak Jiha jatuh atau menarik rambut Jiha. Itu belum dikira gangguan Afif terhadap Jiha ketika di sekolah; makanan yang dibeli akan ditumpahkan atau barang sekolahnya akan disorokkan. Jiha sedar siapa dirinya, dia juga sudah biasa dipulaukan tetapi Afif sahaja yang selalu mencari peluang menyakiti Jiha secara terus.

Status Afif sebagai anak Pak Leman, penghulu kampung tersebut seolah memberi lesen untuk perbuatan Afif tanpa sebarang larangan. Tidak cukup dengan itu, keluarga Afif yang paling lantang menghina Jiha dan keluarganya tidak kira di mana pun. Kejadian hari ini benar-benar membakar kesabaran Jiha selama bertahun. Kali ini, dia perlu diajar!

Sebaik sampai di rumah, Mek Jah terkejut melihat baju sekolah Jiha bertukar warna jingga. Bila ditanya, Jiha hanya menjawab...

“Tak ada apa Mek. Jiha tertumpahkan air sikit,” ujar Jiha sambil tersenyum. Jiha kemudian terus berlalu ke biliknya, mandi dan menukar pakaian sebelum makan. Sepanjang masa, Jiha akan terus berlagak tenang, seolah tiada apa yang berlaku. Namun, Mek Jah sudah lebih dulu makan garam dari Jiha. Sedangkan dia yang sudah lanjut usia masih menangis setiap kali mendengar tohmahan orang kampung, ini kan pula hati muda gadis kecil itu. Dia tahu, Jiha cuba sorokkan segalanya. Jiha tidak mahu Mek Jah tahu yang dia sering dibuli di sekolah sedangkan acap kali Mek Jah perhatikan, Jiha akan pulang dalam keadaan yang amat comot sedangkan Jiha bukanlah jenis perempuan yang lasak. Namun, apalah daya seorang wanita tua untuk melindungi satu-satunya cucu kesayangan daripada pandangan serong orang sekeliling.

Sebenarnya, Jiha bukanlah cucu kandung Mek Jah. Mek Jah pernah mempunyai seorang anak perempuan, Ros namanya. Ros seorang anak yang baik, mereka hanya tinggal berdua sejak kematian suami Mek Jah, ayah Ros. Mereka menyara hidup dengan mengerjakan sawah sekangkang kera peninggalan suaminya. Suatu hari, sewaktu mereka sampai ke pondok rehat di tengah sawah, mereka disambut dengan tangisan nyaring seorang bayi. Bayi itu ditinggalkan sehelai sepinggang, hanya kain batik membaluti tubuh monggelnya. Ros jatuh hati pandang pertama dengan bayi itu lalu mereka memutuskan untuk menjaganya. Maka membesarlah Jiha dalam keluarga kecil Mek Jah walau tidak semua yang memahami.

Kata-kata tohmahan mula kedengaran, banyak yang menuduh Ros sebenarnya yang bemukah hingga terlahir anak itu tetapi dia berpakat dengan Mek Jah untuk mengatakan itu anak pungut. Ada juga yang mengatakan ia adalah hasil hubungan si Leman dengan pembantu rumahnya warga indonesia. Apapun, tiada siapa yang tahu ‘hasil’ siapakah anak itu tetapi yang pasti, anak itu yang lahir sesuci kain putih tidak layak dihukum untuk dosa sang penzina.

Mereka dipulaukan dan dihina oleh orang kampung. Yang paling hebat menyelar adalah keluarga si Leman, kerana mereka sakit hati bila pinangan Leman terhadap Ros ditolak mentah-mentah beberapa bulan sebelum itu. Namun mereka tetap bahagia hanya sehingga Jiha berusia 6 tahun bila Ros kembali kepadaNya, akibat kemalangan ketika ke pekan. Tinggallah Jiha dengan Mek Jah berdua.

Eeeeee Takut Yeee......Where stories live. Discover now