🍁65

3.8K 201 28
                                    

"Tak! Humaira, jangan tinggalkan abang! Humaira!!" jerit Adam dengan air mata yang tak berhenti mengalir.

"Abang? Bangun, abang. Abang!" tubuh Adam digoncang untuk mengejutkan lelaki itu. Tasneem terus terjaga sebaik mendengar Adam meracau memanggil namanya.

"Humaira!" dahi Adam sudah dibasahi peluh.

"Abang, Maira ada sebelah abang ni. Bangunlah, Maira tak tinggalkan abang pun." Rambut Adam diusapnya.

Adam mencelikkan matanya. Nafasnya tercungap-cungap.

"Abang okay tak?" soal Tasneem lembut.

"Sayang!" Adam terus bangun dan memeluk Tasneem seeratnya. Dia menangis di bahu Tasneem.

"Abang mimpi buruk ke?" dahi Tasneem berkerut melihat keadaan suaminya itu.

"Humaira jangan tinggalkan abang, ya? Abang tak nak kehilangan awak." rayunya dalam tangisan.

"Ya, Maira tak akan tinggalkan abang. Jangan risau ya, sayang." belakang Adam diusap untuk menenangkan lelaki itu.

"Abang, badan abang panas ni. Rasanya abang demam ni." pelukan dileraikan.

"Abang tunggu sekejap ya, Maira ambilkan ubat." Tasneem berjalan ke laci almari lalu dikeluarkan kotak first aid. Dia menyelongkar kotak itu mencari panadol.

"Jumpa pun." Air masak yang tersedia di dalam jug di atas meja itu dituang ke dalam gelas kemudian dia berjalan ke katil semula.

"Abang makan panadol ni lepas tu tidur, ya?" sebiji panadol diberikan kepada Adam.

Adam mengangguk lalu panadol itu ditelannya disertai dengan air masak.

"Abang tidur, ya? Esok kalau abang tak larat, abang tak payah pergi kerja. Nanti Maira bagitahu Rayyan." ujar Tasneem.

Adam berbaring semula. Matanya tidak lari dari menatap wajah Tasneem.

"Tidurlah abang, Maira tak hilanglah." Tasneem tersenyum. Takut sangat isteri dia hilang.

Tasneem berbaring di sebelahnya dan memeluk Adam. Dada Adam ditepuk-tepuk perlahan mendodoikan suaminya.


                                ••••••

Segala bahan dicampak ke dalam bubur yang telah mendidih lalu dikacaunya perlahan.

Jam di dinding direlingnya. Sudah jam 8 pagi tapi Adam masih belum bangun. Selepas solat subuh Adam menyambung tidurnya apabila kepalanya terasa nak pecah.

Telefon bimbitnya dicapai. Nombor telefon Rayyan didial.

"Assalamualaikum, Rayyan."

"Waalaikumussalam, Humaira. Ada apa?"

"Saya nak bagitahu, Adam tak boleh masuk office hari ni. Dia demam." beritahu Tasneem.

"Yeke? Tak apalah kalau macam tu. Terima kasih ya bagitahu. Assalamualaikum."

"sama-sama. Waalaikumussalam." panggilan dimatikan.

Telefonnya direnung buat seketika mengingati sesuatu yang dia hampir lupa.

"Oh! Kena inform Syalili." gumamnya. Nombor telefon Syalili pula didial.

Lama dia menunggu Syalili menjawab panggilannya.

"Hello, ada apa Kak Humaira telefon Sya?" soalnya acuh tak acuh.

"Assalamualaikum, Sya. Akak nak bagitahu, Abang Adam demam. Malam semalam dia meracau." beritahu Tasneem.

"What?! Abang Adam demam? Macam mana akak jaga dia? Akak ni jaga suami macam mana sampai dia demam? Haish! Saya ke sana sekarang." panggilan terus dimatikan.

Tasneem tersentak. Tak sangka pula dia akan dimarahi sebegitu oleh Syalili. Salah dirinya kah Adam demam?






20 minit kemudian, kedengaran bunyi kereta di luar rumah. Tasneem menjenguk ke luar.

Syalili keluar dari perut kereta dengan tergesa-gesa. Dia berjalan ke arah Tasneem.

"Cepatnya Sya sampai." ujar Tasneem.

"Suami tak sihat kan, takkan nak melenggang pula. Akak buat apa aje sampai Abang Adam demam? Duduk dengan Sya tiga hari tak ada pula dia jatuh sakit. Mana dia?" soal Syalili dingin.

Tasneem terasa dengan sikap Tasneem. Dia terdiam tak berkutik.

"Akak, saya tanya mana Abang Adam? Apasal diam?" sekali lagi Syalili menyoal.

"Oh, maafkan akak. Abang Adam ada di atas. Selepas solat subuh tadi dia terus sambung tidur sampai sekarangㅡ"

Tubuh Tasneem ditolak kasar lalu Syalili masuk ke dalam rumah itu sambil membebel. Mujur Tasneem sempat berpaut pada pintu sebelah, kalau tak ,kemungkinan Tasneem sudah jatuh terjelepuk di atas lantai.

Pinggangnya dipegang.

"Kalau tahulah jadi macam ni, aku tak akan izinkan Abang Adam balik. Nak jaga suami sorang pun susah, macam manalah nak jaga anak nanti. Haish!" bebel Syalili sambil menaiki tangga ke bilik Adam dan Tasneem.

"Sya kejutkan Abang Adam, ya? Akak nak sediakan bubur untuk Abang Adam." ujar Tasneem lalu dia kembali ke dapur.







Kain tuala kecil berwarna biru itu dicelup ke dalam air suam lalu diperahnya. Kemudian dia meletakkan tuala itu di atas dahi Adam.

"Abang macam mana? Dah kurang sikit ke atau masih sama?" soal Syalili sambil mengurut lengan Adam.

"Dah kurang sikit." jawab Adam tanpa memandang Syalili.

"Baguslah kalau macam tu. Kalau abang rasa perlu ke klinik, bagitahu Sya." kata Syalili.

Tasneem masuk ke bilik membawa dulang makanan.

"Abang dah bangun? Maira ada buatkan bubur untuk abang. Makan sikit lepas tu abang makan ubat ya." Tasneem meletakkan dulang makanan di atas meja sebelah katil.

"Biar Sya suapkan bubur untuk Abang Adam. Akak ada kelas, kan? Akak pergilah bersiap." Mangkuk bubur itu diambilnya.

"Akak dah mula cuti jadi akak free." jelas Tasneem.

"Eh? Baru 7 bulan takkan dah ambil cuti? Awalnya." wajah Tasneem dipandang menyampah.

"Akak tak nak ambil risiko, ini anak pertama dan akak belum ada pengalaman jadi akak ambil langkah selamat." terang Tasneem sambil tersenyum.

Syalili mengangguk kecil. Sesekali dia menjeling Tasneem.

"Mari makan, abang." Syalili membantu Adam menyandar ke katil lalu dia mengambil sesudu bubur dan dihembusnya agar kurang kepanasannya sebelum disuap ke dalam mulut Adam.

Adam hanya makan tanpa berkata apa-apa. Sayu hati Tasneem melihat wanita lain melayan Adam walaupun wanita itu madunya dan dia sendiri yang mengizinkan.

Bukan, dia sendiri yang memaksa Adam.

"Abang makan dan rehat, ya? Maira nak masak untuk makan tengahari." Tasneem terus beredar dari bilik itu meninggalkan Adam dan Syalili.

Adam memandang wajah Syalili. Mimpi buruknya malam semalam masih segar di dalam fikirannya. Dia perlu lakukan sesuatu sebelum mimpi itu menjadi kenyataan.

"Saya minta maaf atas kata-kata saya semalam." pinta Adam.

"Tak apa, Sya sedar kedudukan Sya. Sya tak marahkan abang pun. Sya faham." Syalili tersenyum.

"Saya akan layan awak dengan lebih baik mulai dari sekarang. Tak, saya akan layan awak seperti seorang isteri. Saya janji." ujar Adam.

"Sya tak tahu apa yang jadi sampai abang cakap macam ni tapi Sya gembira sangat. Terima kasih, abang." Syalili terus memeluk Adam erat.

Adam memandang wajah sayu Tasneem yang sedang memerhatikan mereka di tepi pintu bilik. Matanya berkaca.

Suri Hatiku, Cik Fangirl (C)Where stories live. Discover now