bab 55

483 28 4
                                    

TENGKU SYED ADAM memandang Dahlia Arissa dengan pandangan penuh curiga. Isterinya itu kelihatan leka membetulkan kedudukan kolar baju yang dipakainya. Tengku Syed Muiz pula sudah pun diambil oleh bibik untuk dimandikan. Wajah Dahlia Arissa yang kelihatan ceria itu juga membuatkan hatinya menjadi tidak keruan. Dia ni macam seronok je aku nak kahwin malam ni? Atau dia memang suka berpisah dengan aku? Tengku Syed Adam mula membuat telahan sendiri.

"Lepas ni kita sarapan, ya. Bibik ada masak lontong. Abang mesti dah lama tak makan lontong, kan?" Manja sekali suara Dahlia Arissa bersama senyuman di bibir.

"Sayang..." panggil Tengku Syed Adam apabila melihat isterinya itu sudah mahu mengatur langkah menuju ke pintu. Langkah Dahlia Arissa terhenti lalu berpaling. Tangan isterinya terus diraih lalu ditarik menuju ke katil sebelum didudukkan di situ.

"Ada apa?" tanya Dahlia Arissa. Tengku Syed Adam yang duduk dihadapannya dipandang dengan pandangan redup. Nampak kegusaran di wajah tampan suaminya itu.

"Abang tengok sayang macam happy je pagi ni," ujar Tengku Syed Adam mendatar.

Dahlia Arissa menguntum senyum. Manis sekali. Lesung pipit di pipi yang jelas kelihatan, menyerikan lagi wajah yang sudah sememangnya cantik itu. Subahanallah!

Tengku Syed Adam panar. Lama benar dia tidak melihat senyuman Dahlia Arissa semanis itu. Senyuman itu jugalah yang membuatkan dia separuh gila dalam memburu cinta Dahlia Arissa.

"Abang, Lia dah fikir masak-masak. Lia izinkan abang kahwin dengan Damia..."

"Dahlah, tak payah cakap lagi. Abang dah tahu. Tapi walaupun abang dah jadi suami Mia nanti, tapi hati abang tetap pada sayang. Ingat tu!" Cepat sahaja Tengku Syed Adam memintas kata-kata isterinya. Dahlia Arissa menggeleng-gelengkan kepala. Bukan itu yang dimaksudkannya.

"Dengar dulu apa yang Lia nak cakap. Lia izinkan abang berkahwin dengan Damia sebab Lia rela dimadukan," sambung Dahlia Arissa perlahan. Matanya terpejam seketika saat dia menyuarakan kesanggupannya untuk bermadu. Dia sendiri seakan-akan tidak percaya dengan apa yang terluah daripada mulutnya sebentar tadi. Tetapi itulah keputusan yang telah dibuatnya. Dan kali ini dia tidak akan berganjak lagi. Muktamad.

Jantung Tengku Syed Adam pula terasa seakan-akan berhenti berdenyut. Nafasnya rasa tersekat-sekat. Kalimah yang meluncur tenang daripada mulut isterinya itu membuatkan badannya terasa menggeletar. Dia sendiri tidak pernah terfikir untuk menduakan cinta isterinya apatah lagi untuk berkahwin lebih daripada satu. Tidak Pernah!

"Sayang sedar tak apa yang sayang cakapkan ni?" Bergetar suara Tengku Syed Adam. Dia masih tidak percaya. Tidak mungkin Dahlia Arissa mahu bermadu.

Melihat Dahlia Arissa mengangguk lalu tersenyum membuatkan Tengku Syed Adam hilang kata-kata. Keyakinan yang ada pada sinar mata isterinya itu tidak dapat disembunyikan lagi. Cuma dia tidak pasti sama ada sinar mata itu ikhlas atau tidak.

Mungkin lelaki lain inilah yang mereka inginkan, tetapi tidak bagi Tengku Syed Adam. Dia pasti dirinya tidak akan berlaku adil sebab sudah tentu dia akan melebihkan Dahlia Arissa. Tetapi kalau dia berpisah dengan Dahlia Arissa dan bernikah dengan Damia, belum tentu juga dia akan melayan Damia sepertimana dia melayan Dahlia Arissa. Dahinya dipicit perlahan-lahan. Sakit kepalanya mengenangkan apa yang dilaluinya pada saat ini. Sukarnya membuat perhitungan yang melibatkan hati dan perasaan.

"Abang ni kenapa? Lia dah bagi green light untuk kahwin lain pun abang tak nak ke?" Sempat Dahlia Arissa mengusik suaminya. Dia tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Jika dulu dialah anti-poligami. Tetapi sekarang? Dia betul-betul tidak tahu. Mungkin Allah pinjamkan kekuatan itu padanya. Itu sahajalah yang dapat difikirkannya saat ini.

Lantas dia memanjat doa agar kekuatan ini berterusan sampai bila-bila. Dia juga perlu bersangka baik dengan Allah. Tambahan dia sering mengingatkan dirinya tentang ayat ini;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik untukmu, dan boleh juga kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui... (Surah al-Baqarah: 216)"

Berbekalkan ayat itu membuatkan hatinya makin yakin dengan janji Allah.

"Abang dah tak tahu nak cakap apa dah, sayang. Nak kata abang gembira dengan keputusan sayang ni, memang abang gembira sangat tapi abang takut. Takut lukakan hati sayang lagi. Takut tak berlaku adil dengan sayang," Tengku Syed Adam berterus terang.

Dahlia Arissa memegang pipi suaminya. Saat itu pandangan mata mereka bertaut. Menyalurkan semula rasa kasih sayang yang sememangnya tidak pernah padam itu.

"Habis tu abang nak macam mana lagi? Abang, Lia tahu abang nikah dengan Mia sebab terpaksa je. Terpaksa pikul tanggungjawab. Terpaksa sebab keadaan mendesak. Lia pun tahu abang tak cintakan Damia, tapi abang cinta Lia. Jadi, just give a chance to me untuk bersama abang dalam keadaan macam ni. Lia nak jadi isteri abang buat selama-lamanya walaupun Lia terpaksa berkongsi kasih sayang dengan orang lain."

Tengku Syed Adam terus mendakap tubuh isterinya. Air mata lelakinya tumpah lagi pada pagi itu. Ya Allah, Kau berikanlah syurga kepada wanita ini... doanya dalam hati. Rambut Dahlia Arissa diusap perlahan-lahan.

"Terima kasih, sayang. Terima kasih..." ucap Tengku Syed Adam lalu mencium dahi isterinya.

Dahlia Arissa menyapu air mata di pipi Tengku Syed  Adam. Air mata lelaki itu mudah sahaja tumpah sejak mereka dilanda pelbagai dugaan kebelakangan ini. Dan dia berharap inilah tangisan terakhir suaminya.
















LANGKAH Tengku Syed Adam serta-merta mati di belakang isterinya apabila terpandang wajah Daniel Amriza yang baru sahaja memijak anak tangga sambil mendukung Qaisarah. Dahlia Arissa yang perasan dengan perubahan wajah suaminya sudah pun tersenyum. Pasti Tengku Syed Adam masih dicengkam perasaan takut apabila melihat abangnya itu.

"La, kenapa stuck kat sana pulak? Takut abang lempang ke?" usik Daniel Amriza.

Tengku Syed Adam sudah menelan air liur. Kalau diikutkan hati, dia mampu lagi untuk membelasah abang iparnya itu, tetapi mengenangkan apa yang terjadi memang kesilapan dirinya membuatkan dia tidak mahu melawan.

"Jomlah. Abang Amri dah okey dah tu. Kalau dia tak okey jugak... siaplah dia, Lia kerjakan," celah Dahlia Arissa sambil tergelak apabila Tengku Syed Adam masih tidak mahu berganjak walaupun selangkah.

Daniel Amriza pula sudah merasakan rumah mereka kembali ceria apabila mendengar gelak tawa daripada puteri kesayangan mereka itu. Dia mula merapatkan dirinya kepada Tengku Syed Adam. Cuak betul muka Tengku Syed Adam apabila Daniel Amriza sudah pun berada di hadapannya.

"Abang minta maaf atas apa yang dah berlaku. Lepas ni apa je yang terjadi kat kau orang, pandai-pandailah kau orang handle. Tapi kalau Lia yang mintak abang campur tangan abang kena jugak campur tangan. Bukan dengan tangan je... dengan kaki sekali." Seloroh Daniel Amriza lalu menepuk-nepuk bahu Tengku Syed Adam.

"Sorry, Abang Amri." Hanya itu terluah daripada mulut Tengku Syed Adam. Dia langsung tidak menyangka dalam satu malam macam-macam perubahan terjadi. Namun jauh di sudut hati dia sudah pun memanjat kesyukuran. Pasti semua terjadi atas kehendak Yang Maha Esa.

"It's okay. Dah, pergi sarapan. Bibik dah hidangkan lontong terbaik dari ladang tu. Jadi kena makan banyak-banyak, lepas tu dapat kita fighting siapa dulu dapat anak kedua. Lagipun bini kau tu dah lama habis pantang."

Hangat wajah Dahlia Arissa mendengar usikan abangnya itu. Tanpa menunggu lama dia terus menuju ke meja makan. Ketawa Daniel Amriza meletus tiba-tiba bila melihat Dahlia Arissa sempat menunjuk buku lima kepadanya.

Bajet kuat sangat sampai menujuk penumbuk dia kat orang, bisik Daniel Amriza di dalam hati sambil meneruskan langkahnya yang terhenti tadi.

Tengku Syed Adam pula hanya tersenyum bahagia. Kembang kuncup hatinya bila mengenangkan apa yang terjadi pada pagi itu. Terima kasih, Ya Allah!














Shaa nak vote

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now