bab 46

358 17 0
                                    

JAM sudah pun menunjukkan pukul sebelas malam. Tengku Syed Idris dan Tengku Najihah sudah masuk ke dalam bilik. Dia sempat berpesan kepada Damia supaya mengejutkan mereka jika mamanya datang menjemput. Dahlia Arissa pula sudah lama terlena sambil memeluk erat Tengku Syed Muiz manakala Tengku Syed Adam khusyuk menonton TV di dalam bilik. Tekaknya tiba-tiba terasa haus, lalu menuju ke meja tulis untuk mendapatkan air mineral yang sentiasa ada di situ. Matanya terpandang pula termos anaknya. Serta-merta dia teringat akan pesanan isterinya untuk mengambil air panas di bawah. Tanpa menunggu lama dia menuju ke dapur yang berada di tingkat bawah.

"Mama Mia tak sampai lagi ke?" tanya Tengku Syed Adam kepada Damia yang kebetulan sedang membancuh air di dapur. Damia hanya menggeleng.

"Abang Adam nak minum? Kalau nak, Mia bancuhkan sekali."

"Boleh jugak. Mia tolong bancuhkan Nescafe suam tau, sebab abang nak tengok cerita lagi lepas ni dekat atas," balas Tengku Syed Adam lalu pergi ke tempat menyediakan air panas yang berada di dapur basah. Tidak lama kemudian, Damia sudah pun menghulur air Nescafe kepada Tengku Syed Adam yang sudah pun mengisi air panas untuk anaknya. Dengan langkah perlahan dia mendaki tangga.

"Abang..." panggil Damia. Langkah Tengku Syed Adam terhenti dipertengahan anak tangga lantas berpaling.

"Ada apa?"

"Mia ada benda nak cakap sikit, personal," kata Damia sedikit sayu.

Tengku Syed Adam memandang tepat ke wajah Damia. Kakinya menuruni anak tangga lalu duduk di sofa. Termos dan Nescafe suam itu diletakkan di atas meja.

"Mia nak cakap apa?"

"Mia... Mia tak dapat nak lupakan abang." Akhirnya Damia membuat pengakuan. Dia sudah mencuba, tetapi tidak berjaya.

Tengku Syed Adam menarik nafas panjang. Airnya diteguk separuh. Tekaknya sememangnya haus sejak tadi.

"Mia..."

"Biar Mia habiskan dulu apa yang Mia nak cakap. Mia tak dapat nak lupakan abang, sebab Mia masih lagi cintakan abang. Tapi bila tengok Kak Lia dengan Muiz, Mia rasa bersalah kalau Mia mengharapkan abang lagi. Jadi, sekarang ni Mia nak dengar dari mulut abang sendiri yang abang dah maafkan Mia atas apa yang Mia dah buat kat keluarga abang selama ni," jelas Damia panjang lebar.

"Abang dah maafkan Mia, cuma abang harap Mia teruskan personaliti yang ada pada diri Mia sekarang ni. Abang sukakan perubahan yang dah Mia buat," kata Tengku syed Adam sambil tersenyum. Damia menarik nafas lega lalu mengagguk.

"Terima kasih, abang. Okeylah, Mia masuk dulu. Kalau mama sampai nanti, pandai-pandailah dia call Mia. Good night." Damia berlalu menuju ke biliknya yang hanya berada di tingkat bawah.

"Good night," balas Tengku Syed Adam lalu menghabiskan sisa air Nescafenya. Malas pula dia hendak membawa mug itu ke dalam bilik. Ketika dia hendak bangkit dari sofa, tiba-tiba kepalanya pening. Berpusing-pusing. Semua benda dilihatnya menjadi dua. Nafasnya juga tidak teratur. Dia cuba bangun, tetapi tidak berdaya.

Dari celah daun pintu Damia sudah pun tersenyum puas. Nampaknya usahanya selama ini berhasil juga. Damia sendiri tidak menyangka pada saat-saat akhir dia di rumah itu, rancangannya yang telah lama dirancang berhasil juga. Lantas dia menitip SMS kepada Syahfina.


'Umpan dah mengena beb!'



Sempat juga dia membuat panggilan telefon kepada mamanya. Semua perlu dibuat pada malam itu juga. Dengan pantas dia menukar baju yang dipakainya tadi dengan baju tidur nipis berwarna merah pekat. Pewangi yang sama digunakan oleh Dahlia Arissa disemburkan ke tubuhnya. Biar Tengku Syed Adam lemas dengan wangian ini! Getus hatinya lalu dengan berhati-hati mendapatkan Tengku Syed Adam yang sudah terkulai di sofa. Lampu di ruang tamu segera dimatikan dan hanya berpandukan pada cahaya lampu yang menyinari porch bilik rumah itu.

"Abang..." panggil Damia manja.

Tengku Syed Adam membuka mata. Namun pandangannya masih berbalam-balam. Damia merapatkan tubuhnya pada Tengku syed Adam. Serta-merta nafsu Tengku Syed Adam naik secara mendadak. Tidak tahu kenapa. Wangian daripada tubuh Damia itu mengingatkan dirinya kepada Dahlia Arissa. Akhirnya tubuh Damia dirangkul kemas.

"Abang, kita kena masuk bilik. Nanti abah dengan ibu nampak," rengek Damia lalu menarik Tengku Syed Adam masuk ke dalam biliknya.

Akibat daripada pil perangsang yang sudah dimasukkan ke dalam minuman Tengku Syed Adam, lelaki itu hanya mengikut ajakan Damia. Damia tersenyum senang apabila Tengku syed Adam mula mencumbuinya. Inilah saat yang dinanti. Dia tidak kisah jika mahkotanya diambil oleh Tengku Syed Adam dengan cara itu. Lepas ini, makan hatilah kau, Dahlia Arissa! Sumpah hatinya.











RENGEKAN Tengku Syed Muiz mengejutkan Dahlia Arissa. Dia menyuakan susu yang masih berbaki di dalam botol kepada anaknya. Tengku Syed Adam tidak ada di dalam bilik tetapi TV masih terpasang. Bunyi kereta berhenti di hadapan rumah membuatkan dia meninjau dari porch biliknya. Kelihatan Aunty Syida juga meninjau ke dalam. Tanpa membuang masa, dia menekan alat kawalan untuk membuka pagar utama rumah itu. Dia keluar dari bilik setelah melihat Tengku Syed Muiz kembali terlena. Pintu bilik mertuanya diketuk perlahan.

"Sorry ganggu abah dengan ibu, Aunty Syida dah sampai," beritahu Dahlia Arissa.

Tengku Syed Idris mengambil cermin matanya sebelum turun ke tingkat bawah bersama isterinya. Dahlia Arissa menjenguk di tingkat bawah mencari kelibat suaminya, namun tidak ada. Mungkin dalam bilik bacaan, teka hatinya. Namun matanya terpandang termos anaknya di atas meja ruang tamu. Lantas dia menggeleng-gelengkan kepala.

"Ni mesti kes lupa ni. Abang... abang," senyum Dahlia Arissa sendiri.

"Akak ingatkan kamu tak datang. Yalah, sekarang ni dah nak pukul dua belas," kata Tengku Najihah kepada Aunty Syida. Mereka di rumah itu memang selalu masuk awal ke bilik masing-masing. Kalau hendak menonton sekalipun, mereka akan menonton sahaja di dalam bilik.

"Maaflah kak, tadi Syida ikut suami Syida pergi dinner. Tu yang lambat. Ni pun Syida datang sendiri sebab suami Syida masih kat sana," balas Aunty Syida. Matanya bertembung dengan Dahlia Arissa yang baru sahaja mencapai termos anaknya.

"Kamu pergilah kejutkan Mia. Tu bilik dia," Tengku Idris pula menyampuk lalu melabuhkan punggung di sofa. Pasti selepas ini dia sukar untuk melelapkan mata semula. Tengku Najihah pula ke dapur untuk mengambil air. Tidak tega pula dia hendak mengejutkan Wani semata-mata meminta untuk membancuh air buat Syida.

Dahlia Arissa mengekori ibunya membawa bekas minuman suaminya. Termos masih lagi tidak lepas dari tangan.










Shaa nak vote

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now