bab 8

546 41 0
                                    

MALAM itu bibik dan Maisarah sibuk membakar ayam, daging, udang, ketam, sotong dan sosej. Amir Haikal sesekali membantu kerana dia sibuk melayan kerenah Syahfina yang seakan kanak-kanak meminta perhatiannya. Dahlia Arissa masih berada di dalam biliknya apabila mendapat panggilan daripada Daniel Amriza. Siang tadi dia tidak sempat bersembang lama dengan abangnya itu kerana Daniel Amriza ada seminar di Johor Bahru.

"Amir, mari sini. Papa nak kenalkan Amir dengan kawan papa," panggil Tan Sri Mokhtar. Amir Haikal segera mendapatkan bapa saudaranya itu. Kelihatan sebuah kereta Mercedes Benz sudah pun tersadai di laman rumah.

"Amir, ini Tengku Syed Idris... Ni pulak tengku Najihah dengan yang dekat belakang tu pulak Tengku Syed Adam." Perkenal Tan Sri Mokhtar kepada Amir Haikal.

Mendengar sahaja nama Tengku Syed Adam, dia menelan liur. Dia mengambil kesempatan untuk memerhati lelaki yang pernah menambat hati Dahlia Arissa itu tatkala mereka bersalaman. Tampan dan bergaya dan sememangnya lelaki itu layak untuk mendampingi gadis secantik Dahlia Arissa.

Dia mengalihkan perhatian kepada Tengku Syed Idris dan Tengku Najihah.

"Assalamualaikum Tengku," kata Amir Haikal kepada Tengku Syed Idris lalu bersalam manakala Tengku Najihah hanya mengangguk.

"Tak perlulah kamu nak panggil kami dengan gelaran tu, panggil je kami uncle dengan untie." Tegur Tengku Syed Idris. Tengku Najihah hanya mengangguk.

Amir Haikal hanya tersenyum lalu menganggukkan kepalanya sahaja.

"Amir, ajak Adam ni ke sana. Tolong bakar apa yang patut. Kesian pulak mama tengok Maisarah dengan bibik tu. Mungkin kejap lagi Lia turun," celah Puan Sri Melati kepada Amir Haikal.

Mata Amir Haikal sempat mencuri pandang pada wajah Tengku Syed Adam yang kelihatan teruja bila mendengar nama Dahlia Arissa disebut. Ketika itu Tan Sri Mokhtar dan Tengku Syed Idris sudah pun mula melangkah masuk ke dalam rumah dan diikuti oleh isteri mereka.

"Jom," ajak Amir Haikal.

Tengku Syed Adam hanya mengangguk lalu tersenyum. Di dalam hati Tengku Syed Adam berdoa tanpa henti agar Dahlia Arissa sudi menerima kedatangannya. Menerima dirinya semula selepas apa yang telah berlaku.

Maisarah sedikit tersentak tatkala melihat Tengku Syed Adam sedang berbual dengan Amir Haikal sambil berjalan menuju ke arah mereka. Syahfina pula sudah masuk ke dalam rumah untuk mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal di meja ruang tamu.

"Abang dah siap bakar ke? Dahlia dah lapar ni. Telinga pun panas semacam je sebab nak dekat dua jam sembang dengan Abang Amri dalam phone," kata Dahlia Arissa panjang lebar tanpa memandang Amir Haikal yang baru sahaja hendak membalik-balikkan kepak ayam itu. Dia begitu sibuk dengan telefon berjenama Huawei di tangannya, membuatkan dia tidak perasan akan kehadiran Tengku Syed Adam di situ.

"Arissa," tegur Tengku Syed Adam lembut.

Telefon bimbit di tangannya hampir terlepas apabila melihat Tengku Syed Adam sudah mula menghampirinya. Dahlia Arissa sudah mula terpaku di situ. Air mukanya berubah dalam sekelip mata. Getar di dada mula terasa. Kenangan lama turut datang menerpa. Rindu yang sudah mula pudar seakan-akan segar semula.

"Errr... Apa you buat dekat sini?" Tanya Dahlia Arissa dengan nada yang bergetar.

Maisarah hanya memerhati manakala bibik buat tidak tahu. Tambahan pula bibik memang pun tidak tahu apa yang pernah berlaku sebelum ini.

"I rindu you, Rissa. Empat tahun you pergi tanpa khabar berita. I cari you sampai dekat London and Europe but you pandai sangat mengelak daripada I. I nak you dengar my explain." Sayu sahaja suara Tengku Syed Adam.

C | BAD LIAR [✔] + COMPLETEDWhere stories live. Discover now