B56

170 24 16
                                    

Anna dan Evel memerhatikan sekeliling kejiranan yang sunyi tanpa bunyi. Meskipun pada hari minggu di waktu tengah hari, kawasan kejiranan ini tetap tampak kosong. Tidak dikira lagi kawasan ini bagai ditinggalkan dan tidak diselenggara. Entah siapa pemiliknya. Lot-lot rumah juga kebanyakannya kosong dan mula ditumbuhi lumut hijau dan rumput tinggi.

Satu rumah bercat putih direnung oleh mereka. Pandangan saling ditukar lalu Evel menggerakkan kepalanya, sebagai isyarat mula bergerak kepada Anna. Tanpa bantahan, Anna hanya mengekori Evel yang sudah mula melangkah.

Anna cuba menekan loceng beberapa kali sebelum menyedari loceng tersebut sudah rosak. Kepala digeleng jengkel, "Dia ni takkanlah sampai loceng pun tak mampu baiki. Kau tak bagi dia gaji ke, Evel?"

"Diamlah!" balas Evel. Ada sahaja yang ingin di potpet kan oleh Anna. Evel memusingkan kepala memandang sekeliling, cuba mencari jalan masuk, tetapi memang pagar berkunci di hadapannya sahaja jalan masuk yang ada. Tanpa banyak kata, Evel pantas memanjat ke seberang.

"Weh, kita datang dengan niat baik tau. Yang kau masuk macam perompak ni dah kenapa?" Anna yang masih berdiri di luar pagar menyoal cemas. Nasib baik tiada orang waktu ini, kalau tak mungkin akan jadi kes.

Evel memandang kosong ke arah Anna, "Carilah jalan masuk lain kalau kau tak nak jadi perompak. Aku masuk dulu."

"Babe, tunggu!" Pantas Anna memanjat dah melompat turun ke dalam kawasan rumah itu. Tak mahu dia kena tinggal di luar.

Matanya melilau melihat rumah yang tersergam di hadapannya ini. Juga nampak kusam tetapi sedikit terjaga. Rumput-rumput panjang kelihatan seperti baru dipotong, berbeza dengan dua lot rumah di kiri dan kanan yang sudah ditumbuhi rumput separas pinggang. Manakala barang-barang di luar turut nampak agak tersusun termasuk beberapa pasang kasut yang tersedia di rak kasut kayu bersebelahan pintu.

Bunyi ketukan oleh Evel bergema di kawasan sunyi itu. Mungkin kerana tiada bunyi lain, ketukan itu bagai terlalu kuat sahaja . Beberapa minit menunggu, tiada balasan. Evel berpaling memandang Anna lalu keduanya merenung lama.

Selepas itu, Anna pula mengetuk sedikit kuat berbanding Evel. Tidak sampai seminit, terdengar bunyi tombol dipusing lalu pintu terbuka luas. Seorang kanak-kanak perempuan mengelipkan matanya berkali-kali memandang figura Evel dan Anna yang langsung tidak dikenali itu. Sebelah tangannya kuat memeluk patung panda ke tubuh.

"Akak-akak ni siapa?" soal gadis itu, polos.

Evel bercangkung, menyamai ketinggiannya dengan gadis kecil itu, "Kau tak ingat aku?"

Sekali lagi kanak-kanak itu mengelip-ngelipkan mata dengan riak keliru jelas terpapar di wajah. Beberapa saat kemudian, dia bersorak teruja. "Ini 'akak mati' kan! Hannah dah ingat!"

"Erk. Dia tengah perli kau sebab pernah acah mati dulu ke? Powernya budak ni boleh tahu." sampuk Anna, pelik.

"Banyaklah kau." Evel menjeling tajam. Fokus kembali dialih pada si gadis kecil, "Dik, aku bukan 'akak mati' kau. Akak mati kau tu kembar aku."

Gadis kecil itu menganggukkan kepalanya bersungguh-sungguh meskipun agak keliru.

"Adik, abang adik mana? Dia tak marah ke adik keluar seorang-sorang ni. Kang kena culik dia juga yang meroyan. Kalau aku dapat si Fidz ni kejap lagi, memang aku siat-siat kulit dia." soal Anna. Ayat terakhir itu digumam perlahan sahaja, tidak elok pula kalau budak kecil itu mendengar.

"Abang baru je pergi kedai. Eh, tu abang!" jerit Hannah teruja. Hannah berlari-lari anak mendapatkan Fidz yang terkaku di hadapan pagar.

Lelaki itu tersenyum kelat ke arah Hannah lalu tubuh kecil adiknya didukung. Sebelah tangannya yang memegang plastik merah separa besar sudah terasa longlai. Kepalanya kekal tunduk, cuba untuk tidak bertentang mata dengan Evel mahupun Anna.

Árulás [Betrayal] Where stories live. Discover now