1

1K 27 11
                                    

'Ayah! Ayah! Jangan tinggalkan Eline!  Ayah..!' jerit Aidleline sekuat hati. Air mata mula membasahi pipi. Aidleline sebak apabila terkenang kisah kematian ayahnya yang menyayat hati.

***

Aidleline Noushin atau lebih mesra dikenali sebagai Eline merupakan anak tunggal kepada Encik Muhammad Seth dan Puan Adriana. Ibunya telah meninggal dunia selepas melahirkannya. Manakala, ayahnya pula meninggal dunia ketika dia berusia tujuh tahun. Eline dibesarkan oleh seorang makciknya yang amat menyayanginya. Makciknya, Puan Umi Kalsum mempunyai seorang anak perempuan yang sebaya dengan Eline.

"Eline... Medina... Cepat siap. Nak sarapan pulak ni," laung Puan Umi Kalsum dari arah dapur. Eline dan Medina yang berkongsi kamar tidur lekas menuju ke ruang dapur apabila terdengar nama mereka dipanggil.

"Makan cepat. Nak g sekolah pulak," kata Puan Umi Kalsum dengan penuh kasih sayang. Hidup mereka tidak seperti orang lain. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itulah perumpamaan yang sesuai dengan kehidupan mereka. Puan Umi Kalsum menumpang kuih-muih dan juga nasi lemak seringgit di warung Pak Bakar. Pendapatannya tidak tetap. Namun begitu, dia bersyukur kerana tidak perlu meminta belas kasihan orang bagi menyediakan keperluan untuk kedua-dua anak perempuannya walaupun tidak mewah seperti orang lain.

Ashin! Ashin!

Daniel, seorang anak orang berada sering mengejek serta memperkecilkan Aidleline Noushin. Dia suka berpura-pura terbersin untuk mengejek nama Noushin. Semua rakan sekelas Eline ketawa terbahak-bahak apabila namanya menjadi bahan lawak Daniel. Daniel tersenyum sinis apabila berjaya mengenakan Eline.

"Oi... Oi..." panggil Daniel yang duduk di belakang Eline. Eline menoleh.

"Kau bawak bekal apa arini?" soal Daniel.

"Karipap," jawab Eline perlahan.

"Duit saku, ada?" soal Daniel lagi. Eline menggelengkan kepalanya.

"Hahaha. Kau orang miskin eh? Kalau miskin, tak payahlah sekolah. Duduk rumah, tolong mak kau cari duit," kata Daniel dengan nada sinis. Eline hanya membisukan diri. Dia tidak berdaya untuk melawan kata-kata sinis Daniel.

Walaupun seringkali diejek dan dicaci, namun perkara itu tidak sama sekali melunturkan semangat Eline untuk ke sekolah setiap hari. Malah, dia ingin berjaya sama seperti orang lain. Bak kata orang, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Dalam meningkat usia remaja, Eline telah jatuh cinta pada Daniel walaupun Daniel selalu berkasar dengannya. Dia tidak tahu bagaimana perasaan itu boleh terbit dalam hatinya. Yang dia tahu, perasaan itu terbit secara tiba-tiba. Dia cuba menepis perasaan itu, namun semakin ditepis semakin dalam perasaan suka itu. Eline cuba merahsiakan hal itu. Namun, pada suatu hari, Daniel telah mendapat tahu akan hal itu. Dia menjadi sangat berang kerana malu apabila Eline, seorang gadis miskin menyukainya dalam diam.

"Kau tak layak untuk suka aku. Kau tu miskin. Dah la miskin, hodoh pulak tu. Sedar la diri kau tu sikit," jerkah Daniel di dalam kelas. Semua mata-mata melihat wajah Eline yang sudah kemerahan menahan malu.

"Kita ni ibarat enggang dengan pipit. Jadi, baik kau buang je perasaan tu. Aku takkan suka kau sampai bila-bila. Aku tak ingin ada girlfriend yang miskin macam kau ni. Makan pun tak cukup. Baju pun pakai baju lama. Beg sekolah dari zaman bila tah kau pakai. Ada hati nak suka aku. Sedar diri tu. Tanam dalam kepala otak kau, orang miskin tak layak bercampur dengan orang kaya! Ingat tu!" jerkah Daniel lagi. Irine lari keluar ke tandas. Dia berasa begitu malu apabila dihina sebegitu. Lebih-lebih lagi, di hadapan kawan-kawan sekelasnya. Eline menangis sendiri.

Eline tekad untuk mengubah nasib keluarganya. Dia benci pada Daniel. Orang kaya yang angkuh dan sombong. Daniel merasakan dirinya begitu hebat sehinggakan dia tidak menjaga hati dan perasaan orang lain terutama sekali pada orang yang kurang berkemampuan seperti dirinya.

***

"Eline... Hey, Eline," panggil Iza. Iza merupakan sahabat Eline. Setelah menamatkan pengajian di universiti yang sama, mereka menyewa di sebuah rumah di sekitar Kuala Lumpur. Mereka bersama-sama membuka sebuah kafetaria di ibu kota. Kini, kehidupan Eline jauh lebih baik. Eline mengajak Puan Umi Kalsum tinggal bersama-sama mereka.

"Kenapa?" soal Eline.

"Jauh termenung. Fikir apa tu?" soal Iza. Eline hanya tersenyum.

Rindu Yang BertamuWhere stories live. Discover now