22

265 8 17
                                    

Eline mengesat air matanya yang terus bergelinangan. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Adi Arshan ada mengatakan bahawa dia perlu pulang ke kampung halaman untuk berbincang sesuatu dengan ibunya. Kenapa dia terlupa akan perkara itu? Kenapa? Eline mengeluh panjang. Terasa diri begitu bodoh. Adi Arshan sudah memberi hint kepadanya. Kenapa dia tidak mengerti? Argh! Kepalanya terasa sakit kerana terlalu menekan diri untuk terus berfikir.

Beberapa minit kemudian, tangisan Eline semakin reda. Air mata yang mengalir di pipi mulai kering. Eline melihat wajahnya di cermin. Dia cuba sedaya-upaya mengukirkan senyuman walaupun terasa agak perit. Terlihat lesung pipit di sebelah kiri.

Sedang ralit Eline melihat wajahnya di cermin, terdengar ketukan pintu biliknya beberapa kali. Eline lekas mengesat lebihan air mata yang terbit di tubir mata. Dia melihat kondisi kedua-dua belah matanya yang kelihatan sedikit bengkak. Eline segera menuju ke arah pintu bilik. Dia menarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan.

“Ya, Umi. Meh la masuk,” kata Eline setelah membuka pintu bilik.

“Buat apa? Umi tak bole tidur,” balas Puan Umi Kalsum.

“Baring-baring je," bohong Eline. Dia tidak mahu ibunya tahu dia sedang bersedih. "Umi lapar tak? Eline lapar la,” rengek Eline manja. Tiba-tiba perutnya terasa lapar. Barangkali dia berasa sedikit tertekan dengan khabar berita itu.

“Nak Umi masak nasi goreng la tu,” kata Puan Umi Kalsum sambil tersenyum sinis. Eline tersengih seperti kerang busuk.

“Maggi pun bole, Mi,” balas Eline.

“Jom, g dapur,” ajak Puan Umi Kalsum. Eline dan Puan Umi Kalsum mengatur langkah ke arah ruang dapur.

Selepas mengambil sebiji bawang merah dan tiga ulas bawang putih, Eline segera mengupas bawang-bawang itu. Nasi yang masih berbaki diletakkan ke dalam sebiji pinggan untuk dimasak. Fish ball dan fish cake dipotong halus sebagai penambah rasa. Eline menumbuk cili, bawang merah, bawang putih serta segenggam ikan bilis untuk dijadikan perencah nasi goreng.

“Dah siap tumbuk, Mi.” Eline meletakkan hasil tumbukan yang sudah lumat itu di sebiji piring. Puan Umi Kalsum segera memanaskan minyak. Apabila minyak sudah panas, Puan Umi Kalsum segera meletakkan hasil tumbukan itu ke dalam kuali lalu dikacau sehingga keemasan. Kemudian, dia menjatuhkan nasi putih ke dalam kuali dan menggaul sehingga sebati. Terakhir, dia mencampurkan fish ball dan fish cake ke dalam nasi itu.

“Telur dadar, Mi,” pinta Eline. Puan Umi Kalsum memenuhi permintaan anak daranya.

Selesai menggoreng, mereka melabuhkan punggung di meja makan untuk menjamu selera. Air teh ‘o’ panas sudah terhidang di atas meja. Mereka makan dengan penuh selera.

Seusai makan, Eline membasuh pinggan-mangkuk. Ketika sedang mencuci pinggan, mereka berbual-bual.

“Lama tak dengar khabar Adi Arshan. Sihat ke dia?” soal Puan Umi Kalsum.

Eline terdiam seketika. Dia sedang memikirkan cara untuk menceritakan perihal sebenar kepada Puan Umi Kalsum. Dia tahu ibunya amat menyayangi Adi Arshan. Dan, kebetulan juga Eline amat mencintainya.

“Adi dah bertunang, Umi,” jawab Eline dengan nada perlahan tetapi cukup jelas didengari Puan Umi Kalsum.

“Dengan siapa?” soal Puan Umi Kalsum lagi. Kali ini, dengan nada terkejut. Matanya tertatap pada wajah Eline.

“Tak tahulah. Tapi keje dekat Terengganu. Orang Kota Bharu jugak,” jawab Eline.

“Oh. Mungkin dia cari pasangan sama kampung dia kot. Senang nak balik kampung agaknya. Raya tak gaduh," kata Puan Umi Kalsum.

Eline hanya mampu menjungkit bahu, tanda tidak tahu.

“Takpelah. Jodoh dia dengan orang tu. Eline jangan sedih pulak. Umi tak suka. Kalau Umi nampak Eline nangis, Umi paksa Eline kawin dengan pilihan Umi,” ujar Puan Umi Kalsum. Terselit sedikit ketegasan disebalik kata-katanya itu. Eline tersenyum kelat.

“Anggap semua ini sebagai tanda Allah sayangi kita. Dia bagi kita peluang untuk jadi lebih baik sebelum bertemu jodoh. Dia nak kita belajar apa yang patut dulu sebelum bina masjid. Allah bagi kita banyak peluang, jadi rebut peluang tu. Ubah apa yang perlu. Nak jodoh yang baik, kita dulu yang kena jadi baik. Ingat pesan Umi," ujar Puan Umi Kalsum dengan nada lembut.

Tanpa disedari, air mata Eline jatuh ke pipi. Dia sebak. Mungkin hatinya belum redha dengan ketentuan Tuhan. Puan Umi Kalsum segera menarik tubuh badan Eline ke dalam pelukannya.

“Umi cakap jangan nangis kan… Kang Umi paksa kawin dengan siapa budak yang suka tempah kek dekat kafe Eline tu?”

“Siapa? Daniel?” soal Eline. Dahinya berkerut seribu.

“Haa... Daniel.”

“Ish, tak nak la.” Hilang terus perasaan sedih yang terbit di hatinya. Yang tinggal hanyalah perasaan jengkel terhadap Daniel.

“Biasanya kan yang kita tak nak tu la yang kita dapat,” usik Puan Umi Kalsum.

“Umi…”

Eline memuncungkan bibirnya, tanda protes. Wajahnya mencuka. Puan Umi Kalsum terus tertawa. Dia amat suka mengusik anak daranya yang mudah merajuk dan melenting.

“Jom, tidur. Esok keje,” ajak Puan Umi Kalsum.

“Pujuk dulu. Kalau tak, tak mau tidur," ugut Eline. Namun, ugutannya hanya dijadikan bahan jenaka ibunya.

“Tak nak tidur, sudah. Umi dah ngantuk. Bye," balas Puan Umi Kalsum sambil tersenyum sinis apabila berjaya mengusik Eline.

“Umi…”

Puan Umi Kalsum tertawa besar sebelum masuk ke dalam kamar tidurnya. Eline membuntutinya dari arah belakang. Dia berasa tidak puas hati apabila Puan Umi Kalsum enggan memujuknya.

Rindu Yang BertamuWhere stories live. Discover now