46 (SP)

339 4 2
                                    

Setelah hampir setengah jam berbual-bual, Puan Umi Kalsum minta diri untuk tidur. Dia tidak biasa tidur lewat. Tetapi disebabkan dia begitu teruja untuk mendengar cerita daripada Eline, maka dia sanggup bersengkang mata.

"Umi tidur dululah. Dah lewat ni. Eline pun tidur awal. Jangan duk melayan perasaan sangat," ujar Puan Umi Kalsum.

"Hihi. Okay, Umi. Assalamualaikum." Eline menyalami tangan ibunya lalu mereka saling berpelukan. Kemudian,  Puan Umi Kalsum bangkit dari kerusi lalu bergerak keluar.

Setelah Puan Umi Kalsum kembali ke kamar tidurnya, Eline menanggalkan kain telekung dan melipat tikar sejadah. Kemudian, dia melangkah ke katil lalu melabuhkan punggung di hujung katil. Tangan kanannya dilunjurkan sedikit untuk mengambil telefon bimbit yang diletakkan di atas meja laci bersebelahan katil. Tiba-tiba dia teringatkan Daniel.

Eline memandang skrin telefon bimbitnya. Lama dia menatap kosong telefon itu. Sepi sahaja. Tiada sebarang mesej yang diterima. Apatah lagi panggilan telefon. Kali terakhir dia berjumpa dengan Daniel ialah ketika Daniel berpura-pura dirinya mengalami kemalangan. Eline tersenyum sendiri apabila teringatkan memori indah mereka bersama. Daniel sentiasa bersamanya,  tetapi kini semuanya tinggal kenangan. Di mana Daniel sekarang? Dia tidak pasti. Kenapa Daniel menghilangkan diri darinya? Sesungguhnya dia tidak tahu apakah sebabnya. Mungkin Daniel sudah tawar hati. Eline menghela nafas panjang. Jauh di sudut hatinya, dia berasa kesal dengan perbuatannya pada Daniel dahulu. Jika dia boleh undurkan masa, dia mahu mengubah segalanya.

'Alamak! Adi Arshan! Boleh pulak aku lupa pasal dia!' detik hati Eline apabila tiba-tiba sahaja teringatkan Adi Arshan.

'Assalamualaikum. Awak dah sampai rumah ke?' Satu pesanan mesej dihantar kepada Adi Arshan.

***

Adi Arshan pulang ke rumah dengan perasaan yang bercampur baur. Dia tidak menyangka Eline menolak lamarannya. Hatinya sudah terpaut pada gadis itu. Dia betul-betul ikhlas mahu memperisterikan Eline. Dia mahu menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada gadis itu. Hatinya dihambat rasa kecewa. Sungguh, berat hatinya untuk menerima hakikat itu. Satu keluhan berat dilepaskan.

Ketika sedang asyik mengelamun, tiba-tiba terdengar bunyi notifikasi WhatsApp. Tertera nama Eline di skrin telefon bimbitnya. Mesej itu dibaca.

'Dah.' Sepatah dia balas.

'Alhamdulillah. Good night. Assalamualaikum,' balas Eline kembali.

Mesej itu hanya dibaca tanpa dibalas.

Eline masih menanti kalau-kalau Adi Arshan akan membalas mesejnya. Namun, tiada. Marahkah dia? Merajuk? Kecewa? Atau apa? Eline pasti salah satu perasaan itu sedang menghambat hati Adi Arshan. Giliran Eline pula melepaskan satu keluhan berat.

'Apa aku dah buat ni, ya Allah?' gumam hati kecil Eline.

Malam itu, Eline sangat sukar melelapkan mata. Otaknya tidak mahu berhenti berfikir. Dia dihimpit rasa bersalah. Eline menarik selimut sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Dia memaksa matanya untuk tidur, tetapi matanya degil. Puas dia memaksa matanya, namun tidak berjaya.

'Argh! Mengadanya mata ni! Orang suruh tidur tak mau tidur,' marah Eline pada diri sendiri, lantas menutup mukanya dengan bantal kecil.

***

Adi Arshan berjalan masuk ke dalam rumah dengan perlahan-lahan. Suis lampu dibuka. Ruang tamu kediamannya terang-benderang. Dia melabuhkan punggung di sofa. Kemudian, dia meraup mukanya dan menarik nafas dalam-dalam. Lalu dia beristighfar untuk menenangkan hatinya yang masih berkecamuk.

'Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang-orang yang sabar,' bisik hati kecil Adi Arshan.

Rindu Yang BertamuΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα