32

264 8 4
                                    

"Siapa datang tadi?" soal Puan Umi Kalsum. Ketika itu, Eline sedang menutup pintu rumah.

"Daniel," jawab Eline sepatah.

"Kenapa tak ajak dia masuk?" soal Puan Umi Kalsum lagi.

Eline hanya membisu. Mereka berjalan beriringan menuju ke arah ruang tamu. Eline meletakkan buah tangan daripada Daniel di atas meja kopi.

"Okay ke tak ni? Bergaduh ke?" Puan Umi Kalsum terus bertanya apabila melihat anak daranya itu hanya membisu.

Melihat Eline masih terdiam, Puan Umi Kalsum cuba memujuk. "Eline... Cuba cakap ngan Umi. Jangan pendam sendiri. Tak elok."

Eline meraup muka untuk menghapuskan rasa bersalah. Kemudian, dia menghela nafas panjang serta menghembus keluhan berat. "Umi... Eline tak ada niat nak hampakan hati Daniel. Eline masih sayangkan Adi Arshan."

Puan Umi Kalsum menatap Eline dengan tatapan pilu. Kemudian, dia menarik Eline ke dalam pelukannya. "Eline... Tahu tak kenapa kita selalu terluka?" tanya Puan Umi Kalsum dengan nada lembut.

Eline hanya menggeleng, tanda tidak tahu.

"Kerana kita terlalu berharap. Kita lupa bahawa kita hanya mampu merancang. Sehebat mana pun perancangan kita, sebagai manusia, jangan terlupa perancangan Allah itu lebih hebat daripada segala-galanya," kata Puan Umi Kalsum.

"Eline... Jangan menyakiti diri sendiri dengan terus mengharap sesuatu yang tidak pasti. Belajarlah untuk melepaskan walaupun ia amat menyakitkan. Menyembuhkan luka di hati memakan masa yang agak lama. Jadi, bersabarlah kerana kita akan membuka ruang yang lebih baik dalam hidup kita. Apabila kita redha dengan sesuatu yang mengecewakan, percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tidak disangka-sangkakan. Teruslah bersangka baik dengan aturan-Nya. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani hamba-Nya melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Serah hati ini pada Allah. Dia akan hadirkan kebahagiaan saat kita benar-benar bersedia. Jangan pernah menyesal dalam membuat pilihan walaupun pilihan itu akan melukakan hati kita. Mukmin yang kuat ialah seorang yang tidak mudah jatuh dalam apa jua cabaran dan dugaan yang mendatang," sambung Puan Umi Kalsum.

Tiba-tiba Eline merasa sebak. Air mata mulai bertakung di tubir mata. Setiap kata-kata yang dilontar oleh ibunya membawa maksud yang mendalam.

"Umi... Adi sayangkan Eline, tak? Dia masih ingat pada Eline?" soal Eline kepada Puan Umi Kalsum dalam nada sebak. Sebelah tangannya menekup mulut agar suara tangisannya tidak kedengaran.

"Eline... Adi Arshan dah bertunang, kan? Mencintai tunangan orang adalah sesuatu yang salah dan haram di sisi Islam. Lupakan dia, Sayang. Beri peluang pada orang lain untuk menakluki hati Eline," pujuk Puan Umi Kalsum. Dia mengusap lembut rambut anaknya.

"Eline... Istikharahlah. Allah pasti akan beri yang terbaik untuk Eline. Dia yang menentukan soal jodoh, soal ajal, dan segala persoalan yang terjadi dalam hidup kita. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Ingat pesan Umi, kalau suka seseorang itu, jangan suka sangat. Belum tentu dia yang terbaik untuk kita. Allah tahu, sedangkan kita tidak tahu."

"Umi... Betul ke tunang Adi Arshan tu betul-betul jodoh dia?" soal Eline lagi.

"Eline... Jodoh itu rahsia Allah. Sejauh dan sedalam manapun kita fikir, ia tetap menjadi satu misteri yang tidak terungkap kerana sudah ketetapan Allah yang menciptakan manusia dengan akal fikiran yang amat terbatas. Jadi, Umi sendiri tak pasti sama ada itu jodoh dia ataupun tidak."

"Hmm..."

"Dah, tidur. Tak payah fikir lagi hal ni. Umi tak nak tengok Eline sedih-sedih lagi. Esok pagi, pastikan muka tu ada manis, ya adik manis..." Puan Umi Kalsum cuba mengusik anak daranya.

Eline tersenyum mendengar usikan ibunya.

"Yara... Jom, sleep," ajak Eline.

Yara Zahra segera mengemas barangannya. Lalu menuju ke kamar tidur bersama-sama dengan Eline setelah menyalami tangan neneknya.

Di kamar tidur, Eline meletakkan telefon bimbitnya di atas meja laci. Kemudian, dia dan Yara ke kamar mandi untuk menggosok gigi dan mencuci muka. Eline menunaikan solat fardhu Isyak setelah menidurkan Yara Zahra. Lama dia bertafakur di atas tikar sejadah untuk mencari ketenangan hati.

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, dari takdir yang buruk dan dari keberhasilan musuh. Dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan.

Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah. Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

Ya Allah ya Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku, dan cukuplah Engkau sebagai pelindungku. Aamiin."

Rindu Yang BertamuWhere stories live. Discover now