45 (SP)

326 5 2
                                    

Tiba di rumah, Eline melabuhkan punggung di sofa. Dia masih lagi ligat memikirkan tentang lamaran Adi Arshan. Adakah dia menolak lamaran itu kerana Daniel? Kalau boleh, dia tidak mahu hati Adi Arshan terluka. Satu keluhan berat dilepaskan.

Kakinya dihalakan ke arah kamar tidur. Pintu bilik dibuka secara perlahan-lahan. Dia memandang Yara Zahra yang sedang nyenyak tidur di atas katil. Dia tersenyum. Pintu bilik ditutup kembali.

Perlahan-lahan Eline membuka selendang yang menutupi kepalanya. Kemudian, dia membersihkan wajahnya dengan make-up remover. Selesai membersihkan wajahnya, lantas dia mencapai tuala lalu menuju ke kamar mandi. Dia membuka pancuran air kuat-kuat lalu membiarkan seluruh tubuhnya dibasahi air dingin. Selesai membersihkan diri, dia mengambil wudhuk. Setelah siap berpakaian, dia menyarung telekung untuk menunaikan solat fardhu Isyak.

Usai menunaikan solat Isyak, Eline duduk berteleku di atas tikar sejadah. Dia termenung jauh memikirkan tentang Adi Arshan. Dia dapat melihat kesungguhan di mata Adi Arshan.

'Aku berlindung kepada-Mu, ya Allah dari ketidakpastian masa hadapan; dari keputusan yang keliru dan perihnya kenyataan; pahitnya kekecewaan dari hati yang bersifat berbolak-balik; dari pengkhianatan manusia; dan dari cinta yang salah.
Aamiin.'

Tok! Tok!

Eline mengayun langkah ke muka pintu apabila terdengar bunyi ketukan pintu dari arah luar. Pintu bilik dibuka. Tersembul wajah Puan Umi Kalsum di sebalik pintu. Eline mempelawa ibunya masuk lalu menutup kembali pintu biliknya.

"Duduk, Mi," pelawa Eline sambil menarik sebuah kerusi untuk ibunya duduk. Eline pula melabuhkan punggung di birai katil, menghadap ibunya.

"Macam mana makan malam tadi? Okay? Seronok?" soal Puan Umi Kalsum dalam nada sangat teruja.

"Okay." Eline jawab sepatah. Namun, ekspresi wajahnya menunjukkan sebaliknya.

"Okay?" Eline hanya mengangguk sambil memaksa bibirnya untuk mengukir senyuman.

"Dengan Umi pun nak berbohong. Takpalah. Umi tidur dulu. Assalamualaikum." Puan Umi Kalsum cuba menjerat anak daranya. Dia bangkit dari kerusi.

"Umi..," panggil Eline dengan nada lirih. Puan Umi Kalsum tersenyum kerana jeratnya sudah mengena. Dia menoleh, memandang Eline yang memanggilnya.

"Tak okay. Hurm," ujar Eline perlahan.

"Tak okay?" Sengaja Puan Umi Kalsum bermain tarik tali. Dia tidak mahu mendesak Eline. Dia mahu memujuk anak daranya secara perlahan-lahan. Dia tahu, lambat laun Eline pasti akan buka mulut juga. Eline terdiam agak lama.

"Adi Arshan lamar Eline tadi." Eline buka mulut setelah sekian lama mendiamkan diri. "Tapi Eline tolak. Eline terus tolak tanpa fikir dulu," tambah Eline lagi.

"Kenapa?" soal Puan Umi Kalsum. Raut wajahnya kelihatan tenang dan bersahaja.

Eline menjungkit bahu sebelum menjawab. "Entah. Eline pun tak tahu."

Puan Umi Kalsum tersenyum. "Rasa apa lepas tolak lamaran Adi Arshan tadi?"

"Rasa kecewa tapi dalam waktu yang sama, rasa tenang. Eline sendiri pun tak tahu apa yang Eline rasa. Eline keliru, Mi."

Puan Umi Kalsum tetap tersenyum. "Bila kita hanya boleh memilih satu hati, maka jangan memberi harapan pada banyak hati. Jadi, tindakan Eline itu betul! Kenapa masih ragu-ragu, Sayang?"

"Betul ke, Umi?" Eline menatap mata Puan Umi Kalsum sedalam-dalamnya.

Puan Umi Kalsum mengangguk laju. "Pada awalnya, orang akan bangga dengan pilihannya. Tetapi pada akhirnya, tidak semua mampu setia pada pilihannya. Kerana saat itu, dia baru tersedar pilihannya itu tidak seperti yang diimpikan. Yang sulit itu bukanlah memilih, tetapi tetap bertahan dengan pilihannya."

"Eline tak setia ke, Umi?"

"Eline rasa?"

"Hurm."

"Eline... Yang terbaik itu selalunya hanya datang sekali. Dan apabila kita melepaskannya, maka kita tidak akan berpeluang untuk berjumpa lagi dengan yang lebih baik. Jadi, pilih dan jagalah yang terbaik itu meskipun tidak sempurna kerana tiada apa pun di dunia ini bersifat sempurna."

"Hurm."

"Bila hati kita mula menyayangi seseorang, sentiasa sebut namanya dalam doa agar Allah menyatukan kita dan dia dengan keredhaan-Nya. Apapun usaha, bawalah dalam doa. Biar Allah sempurnakannya. Bersangka baik dengan Allah. Yakin Allah itu Maha Mendengar segala doa kita, dan Dia akan makbulkan apabila tiba masanya. Doa dan terus berdoa. Kadangkala benda yang baik itu datang tanpa kita sedar. Ingat, sesiapa yang percaya kepada takdir, maka dia akan tenang. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka dia akan yakin. Serahkan takdir kita pada Dia. In shaa Allah, semuanya akan baik-baik saje."

"Terima kasih, Umi."

Rindu Yang BertamuWhere stories live. Discover now