26

264 9 7
                                    

Keesokan hari, Eline menemani Puan Umi Kalsum ke sebuah pasaraya. Mereka ingin membeli barangan dapur. Ketika sedang asyik memilih sayur-sayuran, tiba-tiba mereka disapa oleh Datin Dayini yang kebetulan berada di situ.

“Eline,” sapa Datin Dayini.

Eline menoleh. “Eh, Datin Dayini. Maaf tak perasan. Datin apa khabar? Kenalkan umi saya, Puan Umi Kalsum.” Mereka bersalam-salaman.

“Alhamdulillah, sihat. Makin ‘sihat’ sebenarnya,” kata Datin Dayini lalu tertawa kecil.

“Datin beli barang dapur jugak ke?” soal Eline kepada Datin Dayini.

“A’ah. Sekarang ni Daniel rajin makan kat rumah. So, kena masak setiap hari,” jawab Datin Dayini.

“Ooo, baguslah.” Eline tersenyum.

“Eline… Saya nak tanya sikit, boleh?” soal Datin Dayini pula.

“Boleh. Tanyalah,” jawab Eline. Jantungnya sudah berdegup kencang.

“Kamu sukakan Daniel?” soal Datin Dayini tanpa berselindung apa-apa. Apabila beliau memandang wajah Eline, tiba-tiba sahaja beliau teringat tentang Daniel yang memaksanya untuk meminang Eline. Eline terpana. Dia tidak menyangka soalan itu akan terpacul dari mulut Datin Dayini. Dia terfikir adakah Daniel ada menceritakan tentangnya kepada Datin Dayini? Eline terdiam seketika. Otaknya ligat memikirkan jawapan yang sesuai untuk menjawab persoalan itu. Dia tidak mahu sesiapa pun tersalah anggap akan hubungannya dengan Daniel. Mereka hanya berkawan biasa. Dia tidak pula menaruh perasaan terhadap Daniel. Namun, dia tidak pasti sama ada Daniel begitu juga atau sebaliknya.

Puan Umi Kalsum tersenyum apabila mendengar soalan yang diaju oleh Datin Dayini. Lantas dia menjawab, “Mereka berkawan rapat. Mungkin dua-dua malu-malu kucing nak luahkan perasaan.”

Datin Dayini tersenyum lebar apabila mendengar jawapan daripada Puan Umi Kalsum. “Macam ni, Daniel suruh saya pinang awak, Eline. Bila saya boleh datang rumah?” soal Datin Dayini dengan nada teruja.

Eline terkesima. Dia merungut dalam hati. Ibunya tahu dia tidak suka pada Daniel. Kenapa berkata begitu?

"Datin Dayini... Sebenarnya kami hanya kawan. Daniel tu ex-classmate saya. Jadi, kami dah lama kenal. Mungkin sebab tu kami nampak agak rapat walhal kami takda apa-apa hubungan pun,” sangkal Eline. Dia tidak mahu Datin Dayini salah faham.

Air muka Datin Dayini berubah serta-merta. Riak wajahnya kelihatan amat kecewa. Dia tidak menyangka bahawa Eline tiada hati dengan anak terunanya.

“Oh, takpelah. Maafkan saya, tersalah faham. Kiranya Daniel bertepuk sebelah tangan la ni,” ujar Datin Dayini dengan nada sedih bercampur kecewa.

Puan Umi Kalsum melihat perubahan air muka Datin Dayini yang agak ketara. Dia menjadi serba-salah. Eline pula terus terdiam. Setelah sekian lama mendiamkan diri, Datin Dayini meminta diri untuk pulang. Mereka bersalam-salaman sebelum berpisah membawa haluan masing-masing.

Setelah Datin Dayini beredar dari situ, Puan Umi Kalsum menegur anak daranya dengan lembut. “Tak baik buat orang macam tu, Eline. Orang ikhlas dengan kita. Kita pulak tanpa fikir panjang, terus tolak. Cuba kita berada di tempat dia, macam mana rasa hati kita? Kecewa, bukan?”

Eline membisukan diri. Dia tidak mahu bertikam lidah dengan ibunya. Memang benar kata ibunya. Tetapi dia tidak dapat memaksa hatinya untuk mencintai Daniel. Hatinya masih mencintai Adi Arshan. Eline tidak tahu untuk memberi respons apa kepada ibunya.

“Fikirlah baik-baik. Umi tengok Daniel tu baik budaknya. Yang berlalu, biarkan berlalu. Waktu tu dia masih belum matang. Fikirannya masih kebudak-budakan. Jadi, jangan menghukum dia kerana waktu silamnya. Kita bukan Tuhan. Kita hanya manusia biasa yang acap kali melakukan kesilapan. Begitu juga dengan dia. Maafkanlah dia dengan sepenuh hati. Dengan memaafkan kita dapat melepaskan rasa sakit yang terpendam. Memaafkan adalah cara yang terbaik untuk mencipta kebahagiaan. Buka mata, lihat kebaikan dia. Tak rugi pun.” ujar Puan Umi Kalsum. Eline hanya mendengar.

"Jika kita menilai seseorang dengan nilaian kaca, maka kita akan kehilangan permata. Sempurna bukan sifat manusia. Sampai bila pun kita takkan temui. Malah, kita hanya membuang masa. Jangan sampai sudah jumpa yang terbaik, tetapi ditolak kerana kekurangannya. Nanti kita yang rugi," ujar Puan Umi Kalsum lagi.

"Satu lagi Umi nak pesan, kadang-kala manusia percaya seseorang itu baik kerana luarannya, lalu terus mengharapkan itu jodohnya walhal di sisi-Nya belum pasti lagi. Atau mungkin hari ni dia baik, tetapi esok lusa tidak pasti lagi kerana sifat manusia itu mudah berubah. Jika dia baik sekalipun, belum tentu dia yang terbaik buat kita kerana mungkin dia tidak serasi dengan kita. Manusia itu berbeza sikapnya. Jodoh itu penuh dengan misteri. Yang hanya tahu isi hati seseorang itu, hanyalah Allah." Eline terkedu mendengar pesanan ibunya yang panjang lebar itu. Dia hanya mampu mendiamkan diri dan terus memasang telinga.

Rindu Yang BertamuWo Geschichten leben. Entdecke jetzt