40

608 8 19
                                    

Eline melangkah ke arah dapur untuk mengambil air kosong. Setiba di sana, dia terpandang kelibat seorang lelaki yang memang amat dikenalinya, Daniel. Ketika itu, Daniel sedang menuang air kosong di dalam sebiji gelas kaca. Kemudian, dia berpaling ke arah Eline. Eline amat terkejut. Dia memandang tepat ke anak mata Daniel yang sedang melihatnya.

Jiwanya bergelora. Darahnya berderau dan dadanya berdegup kencang. Tiba-tiba sahaja wajah Daniel menerpa di tubir matanya. Perasaannya agak cemas dengan pertemuan yang tidak diduga itu.

Daniel merenung Eline sambil bibirnya mengukir senyuman penuh. "Hai, Eline." Daniel menegur Eline dengan penuh mesra. Kemudian, dia meneguk air kosong sehingga habis. Lalu gelas kaca itu diletakkan ke dalam sinki.

"Ha... hai, Daniel," Eline menjawab dengan tergagap-gagap. Wajah Daniel ditatap lama-lama. Barangkali melepaskan rindu yang menggunung.

"Awak apa khabar, Eline? Saya rindukan awak," kata Daniel. Kakinya melangkah menuju ke arah Eline.

Eline terpempan. Serta-merta wajahnya berubah kemerahan menahan malu. Dia melarikan matanya dari terus memandang wajah Daniel.

"Jom, sembang kat tempat lain," ajak Daniel. Mereka jalan beriringan. Wajah Eline merah padam apabila ada mata-mata melihat mereka berdua berjalan bersama-sama.

"Sini, boleh?" soal Daniel setelah mereka berada di bawah sebatang pohon yang rendang. Terdapat beberapa buah kereta yang diparkir di situ. Mungkin kereta para tetamu yang hadir ke majlis itu.

Eline anggukkan kepala.

"Kenapa diam je ni? Tak sudi berbual dengan saya?" soal Daniel apabila melihat Eline mendiamkan diri.

Eline tersenyum sebelum menjawab pertanyaan Daniel. "Saya tak sangka akan jumpa awak lagi. Lama awak menghilangkan diri. Saya ingat takkan jumpa awak lagi dah," balas Eline.

"Awak rindukan saya?" Spontan bibir Daniel bertanya.

"Rindu," jawab Eline perlahan, namun cukup jelas didengari oleh Daniel.

Daniel tersenyum puas.

"Pelik. Bukan awak benci saya ke? Ni rindu pula." Daniel sengaja mahu menguji kejujuran Eline. Dia mahukan kepastian.

"Daniel... Saya mintak maaf sangat-sangat. Saya dah banyak buat salah pada awak. Saya tahu saya bukan seorang manusia yang baik. Saya terlalu ego sehingga saya sering menyakiti hati orang lain. Walaupun umi selalu tegur kesilapan saya, tapi saya tetap ulanginya lagi. Saya hanya manusia biasa yang acapkali melakukan kesilapan. Kalau boleh, sebelum saya tutup mata, saya dapat berbuat baik dengan semua orang," ujar Eline. Dia terdiam seketika sebelum menyambung kata-katanya. "Daniel, awak sudi maafkan saya?" tanya Eline sambil matanya merenung ke dalam anak mata Daniel untuk meraih simpati.

Bola mata Daniel menikam ke dalam anak mata Eline. "Awak sayangkan saya, Eline?" soal Daniel tanpa mengendahkan kata maaf daripada Eline.

Eline terdiam seketika. Dia bermonolog dalam hati. 'Haruskah aku menyerahkan segalanya kepada takdir? Atau aku perlu berusaha untuk mendapatkannya?'

"Eline... Saya tanya ni. Awak sayangkan saya?" ulang Daniel, sedikit mendesak.

"Awak masih sayangkan saya?" Soalan dibalas dengan soalan.

Daniel berpeluk tubuh dan mendiamkan diri. Dia menunggu jawapan daripada Eline.

Eline terus menyambung kata apabila melihat Daniel tetap membisu. Dia mahu melepaskan segala yang terbuku di hati. "Saya cintakan awak, Daniel. Saya sayangkan awak. Saya takut kehilangan awak." Kemudian, Eline terdiam seketika. "Daniel, masih ada ruang di hati awak untuk saya?" tanya Eline sambil menatap ke dalam mata Daniel.

Rindu Yang BertamuWhere stories live. Discover now