| 2 |

15K 971 154
                                    


Trigger Warning : skin tone shaming, face shaming alert!

We love tan skin queens okayy ❤️❤️❤️


PAK!

Dihempasnya bekal yang sudah dimasak dengan begitu teliti dan penuh kasih sayang. Taburan nasi goreng yang ada dilantai tidak diendahkan. Mata Farel Ziyan menatap tajam ke arah Raja Maraya yang sudah berubah riak wajah.

"A..apa awak buat ni.. Farel?" Raja Maraya terjelepuk di lantai koridor hadapan kelas. Tangannya mengutip nasi yang sudah terkeluar dari bekal. Air matanya sudah penuh bertakung di bening. Menahan sebak didada.

Apa yang dia rasa ketika ini begitu baharu. Sesuatu yang tak pernah dia rasakan. Malah lebih sakit daripada gurisan pisau dijarinya ketika dia menyiapkan bekal ini. Khas untuk Farel Ziyan.

"Kau tu buat apa? Perempuan kasar macam kau pun reti memasak? Kau masak apa untuk aku? Batu? Kayu?" Cemuh Farel Ziyan. Wajah mendatarnya cukup menunjukkan bahawa dia tiada selera mahu makan bekal itu. Entah apa yang gadis ini letak di dalam makanan itu? Entah dijampinya. Entah racun ke? Farel tidak tahu.

Sudahlah mood dia tak berapa elok dua tiga hari ni. Raja Maraya pula semakin menambah rasa serabutnya.

"Aku dah cukup serabut dengan ejekan orang sekeliling tentang kita. Kau pula menambah nambah. Suka kan kena kenen dengan aku? Ini makan dia! Kau kutiplah makanan beracun kau tu sampai bersih!" Kali ini, suara Farel Ziyan bukan main lantang. Sengaja, suaranya dikuatkan biar satu blok ini dengar. Kau yang mencari ulah, Mar! Aku dah halang banyak kali.

Raja Maraya terkejut bukan kepalang. Wajahnya tidak berani didongak. Takut. Malu. Semuanya berkecamuk. Tidak menyangka bekal nya yang tidak seberapa ini menjadi pencetus amarah Farel hari ini. Kebiasaannya, Farel akan menjelingnya sahaja. Itu takat maksimum yang Farel akan buat jika lelaki itu benar benar marah.

"S..salah ke saya dilahirkan dengan perwatakan kasar?" Soal Raja Maraya hampir tidak terdengar oleh telinga Farel.

"Benda macam ni kau boleh ubah kau boleh fix. Jangan terlalu berserah dengan ketentuan lah bodoh. Tapi kau pilih untuk terus hidup dengan cara kau yang sekarang. Kau fikir, aku suka ke perempuan macam kau? Dah lah tak pandai jaga rupa, bergaya apatah lagi. Dengan kulit gelapnya. Kau tak reti pakai bedak ke?"

"Farel!"

Suara Raja Ummar menjerit lantang, menghalang Farel dari terus mencemuh gadis itu. Hey, haruslah Raja Ummar halang. Mar ialah sepupunya! Berani Farel mencaci maki Mar begitu? Dihadapan orang ramai?

Raja Maraya memandang sekeliling. Sudah ramai yang memandangnya dengan wajah simpati. Ada yang tersenyum mengejek. Ada yang berbisik sesama sendiri.

Tika ini, dia baru tersedar. Perempuan seperti dia, tak layak untuk mendapatkan mana mana lelaki. Lagi lagi, lelaki sekacak Farel Ziyan.

Tubuh Farel bergerak merapati Raja Maraya yang masih terjelepuk di lantai. Tiada kudrat mahu bangun. Mendongak saja dia tak sanggup. Farel bercangkung, merapati bibirnya ke telinga Raja Maraya.

"Kau sedar diri kau tu, Mar! Kau tak sepadan dengan mana mana perempuan yang pernah datang pada aku. Kau tu kasar, tomboi, macam jantan!" Suaranya berbisik tetapi ditekan sekerasnya. Sehingga berkesan di hati gadis itu. Tanpa Farel sedar, ianya akan berparut untuk jangka masa yang sangat lama.

Raja Maraya mengangguk, menyeka air mata yang sudah menitis sejak dari tadi. Bekal yang sudah dikutip separuh itu ditutup, didakap ke dada. Dengan tenaga dan semangat yang masih bersisa, Raja Maraya bangun dan berjalan lemah. Berlalu meninggalkan kawasan itu.

[C] Stella : The Glory of Black MariaWhere stories live. Discover now