BAB 25

3.7K 278 13
                                    

     SUASANA kelab malam yang bingit dan hingar bingar itu langsung tidak mengganggu fikiran gadis yang sedang asyik menari tak ingat dunia. Segelas arak berada di tangannya. Sesekali dia meneguk air haram itu dan ketawa kuat. Sedang leka dia menari, terasa tangannya direntap kuat oleh seseorang.

"Abang..." rengeknya seraya menjatuhkan kepala di dada lelaki yang dipanggil abang tadi. Gelas tadi diletakkan di atas meja kaca. Berdeting bunyinya.

"Kau buat apa dekat sini hah?" nadanya kedengaran tegas. Gadis yang dipanggil adik tadi kemudian diheret keluar dari kelab malam tersebut.

"Adik streslah! Adik perlukan ketenangan! Kau faham tak?" tinggi intonasi gadis itu. Bahasanya juga sudah bertukar kasar. Dia kemudian mendengus kuat. Langkahnya dihayun masuk ke dalam kelab namun bahunya terlebih dahulu ditarik kasar oleh si abang.

"Kau ikut aku balik sekarang!" amarah Shafqi semakin menggila. Ditempik adiknya di luar kelab itu. Ada mata-mata yang memandang, tapi Shafqi kesah apa? Jika ada yang berani masuk campur, memang habuan sakit yang mereka bakal terima.

"Taknak! Aku nak duduk sini! Jangan ganggu akulah, bang!" dada Shafqi ditolak kasar. Kalau tadi Shafqi meninggikan suara, kali ini si adik pula sudah memekik macam orang gila. Intonasinya melawan bingit kota raya yang sesak dengan kenderaan.

"Kau jangan cari pasal dengan aku, dik. Kau nak duduk sini buat apa? Minum arak? Benda tu boleh puaskan hati kau? Tak apa, kalau kau nak sangat minum, aku boleh bagi. Kau tunggu!" Shafqi memboloskan diri ke dalam kelab malam itu. Kemudian, kaunter bar ditujunya. Isyarat mata diberikan kepada bartender tersebut bahawa dia mahukan semua jenis arak yang berada di situ. Selesai, dia membawa beberapa biji botol arak keluar. Kelihatan adiknya terpinga-pinga melihat objek yang berada ditangannya.

"Jom balik!" pintu kereta sebelah pemandu dibuka. Tubuh adiknya ditolak masuk ke dalam. Terus enjin keretanya dihidupkan dan kereta bewarna hitam metalik itu mula meluncur meninggalkan tempat maksiat tersebut.

•••

     SAMPAI saja di rumah, Shafqi terus mengheret adiknya ke bilik air. Pintu ditendang kasar dan tubuh adiknya ditolak di bawah pancuran air. Gadis itu cuba meronta dan melepaskan diri, namun Shafqi lebih tangkas menghalang perbuatan adiknya. Muka tak usah cakap, jelas riak wajah lelaki itu tegang dan bengis.

"Ab...abang nak buat apa?" menggigil ketakutan si gadis tersebut. Apatah lagi Shafqi sudah membuka penutup botol arak yang dibelinya tadi. Bukan satu, tapi sepuluh botol kaca itu dibukanya. Tak cukup lagi, pancuran air pula dibuka Shafqi. Menggeletar tubuh gadis itu menahan sejuk.

"Abang! Apa ni?" si adik mula untuk berdiri. Manakan tidak, Shafqi pergi mencurahkan air arak itu di atas kepalanya tanpa henti. Pula tu, pancuran air yang laju membuatkan dia sukar untuk mengambil nafas. Shafqi ni dah gila agaknya!

"Kau nak teguk sangat air ni kan? Kau tunggu apa, minumlah!" tengking Shafqi. Matanya memerah menikam si adik yang mula menahan gigil.

"Ab...abang...stop..." adiknya mula mengongoi. Dia tidak tahan lagi diperlakukan sedemikian. Tubuh mengengsot merapati kaki Shafqi lalu dipeluknya bagi menghentikan perbuatan tersebut. Teresak-esak dia menangis di lantai bilik air itu sambil kaki Shafqi digoncang kuat.

"Aku kata minum, minum!" kepala adiknya didongakkan lalu botol arak itu disumbat ke dalam mulut. Habis basah badan Shafqi apabila adiknya cuba menolak dia yang semakin diambang tidak waras.

"Uhuk, uhuk!" terbatuk-batuk si adik apabila air kencing syaitan itu mula menurun laju dikerongkong. Dengan sisi kudrat yang ada, tubuh Shafqi ditendang menjauhi dia.

Prak!

Pecah berderai botol kaca itu di atas lantai. Shafqi mengusutkan rambutnya lalu kepala digelengkan laju. Dia seakan baru tersedar daripada perbuatan zalimnya tadi. Lantas, tubuh yang tadi gagah berdiri mula jatuh perlahan-lahan. Adiknya yang masih menangis dipandang sayu.

Tanpa berlengah lagi, tubuh adiknya yang lencun diterpa. Pancuran air ditutup lalu dia membangunkan tubuh adiknya yang seakan lemah. Didakapnya tubuh kurus itu dengan erat.

"Abang minta maaf dik...abang minta maaf..." tak henti-henti mulutnya mengungkapkan kata maaf. Lantas, mereka keluar daripada bilik air. Shafqi meletakkan adiknya di atas sofa panjang lalu cepat-cepat dia menuju ke bilik adiknya untuk mengambil tuala.

"Nana... Abang minta maaf! Abang tak tau apa yang rasuk diri abang sampai sanggup buat adik abang macam ni!" tangan adiknya dicapai. Sejuk. Ruang tamu yang terang benderang itu menampakkan lagi wajah adiknya yang mula kehilangan darah. Pucat. Nasib saja asma Nana tidak menyerang. Kalau tidak, Shafqi tak akan memaafkan dirinya.

"Na...Nana yang patut minta maaf dengan abang... Nana tak sepatutnya teguk air tu tadi. Nana tak sepatutnya pergi ke kelab tu! Nana minta maaf, Nana cuma...cuma nak hilangkan stres aje!" gadis yang bernama Nana itu bersuara. Esak tangisannya mula reda. Dia takut. Takut melihat perbuatan abangnya tadi. Seolah-olah diri dan sifat lelaki itu bukan seperti Shafqi yang dia kenal.

Shafqi bungkam seketika. Rasa bersalah menyerang dadanya. Tak pernah lagi dia bertindak diluar kawalan sampai begitu sekali. Fikirannnya serabut memikirkan banyak perkara.

"Kenapa kau sanggup buat macam tu, dik? Abang tak pernah ajar kau pergi ke tempat macam tu! Siapa yang buat kau sampai jadi macam ni sekali? Kau cakap dengan abang!" tegas dan keras suara Shafqi. Ubun-ubun Nana diusap meminta adiknya itu untuk berterus-terang.

Nana mendiamkan diri. Teragak-agak dia nak beritahu Shafqi. Tapi nanti, abangnya akan tetap memaksa dia membuka mulut. Sebelum Shafqi naik angin lagi, baik dia luahkan saja apa yang terbuku di hatinya.

"Dia! Dia rampas Harraz daripada adik! Dia yang buat adik jadi macam ni!" bergenang tubir matanya dengan suara yang kembali tersekat.

Kening Shafqi bertaut. Harraz? Kenapalah adiknya itu tergila-gilakan sangat pada Harraz?

"Siapa dia yang kau cakap ni? Mana kau tahu dia rampas Harraz daripada kau?" soal Shafqi.

"Orkid! Nama dia Orkid!" ketapan di bibir dikuatkan. Amarah Nana semakin membuak. Apatah lagi otaknya mula terbayang wajah gadis itu. Kebencian dia terhadap Marissa semakin mendalam.

"Orkid?" serta merta fikiran Shafqi teringat pada seorang perempuan. Tak mungkinlah...

"Kau ada gambar dia?" Shafqi kembali menyoal.

Dengan tangan yang sedikit terketar, Nana mencapai beg tangan di bawah kakinya. Telefon pintar dikeluarkan.

"Yang pakai baju warna putih tu," ujar Nana lalu memberikan telefonnya kepada Shafqi. Bucu tuala digenggam kuat. Sejuk dan ditambah lagi dengan bau arak yang melekat di bajunya membuatkan Nana berasa tidak selesa.

Mata Shafqi mencari wanita berbaju putih yang dikatakan adiknya tadi. Matanya terhenti pada seorang perempuan yang sedang tersenyum manis. Di sebelahnya pula, Harraz yang juga turut tersenyum.

"Adik nak tukar baju dulu," tutur Nana lalu melangkah meninggalkan Shafqi di atas sofa.

Tak menghiraukan adiknya lagi, mata Shafqi terus-terusan menatap wajah wanita itu. Dia kenal. Tersangat kenal.

"Marissa Jasmine..." perlahan saja suara Shafqi. Rasa gembira, keliru semuanya ada. Gembira kerana dia dapat tatap wajah Marissa yang terkini. Keliru kerana identiti gadis itu.

Kenapa Marissa menggunakan nama Orkid sebagai identiti wanita itu? Lagi satu, bagaimana Marissa boleh rapat dengan Harraz?

"Ris bekerja dengan Harraz?" Shafqi menyimpulkan segala tanda tanyanya. Motif? Apa tujuan wanita itu sebenarnya? Yang lebih pelik, kenapa mesti identitinya dipalsukan. Harraz... Mustahil Harraz tak kenal Marissa!

Serabut! Apa sebenarnya ni? Apa yang Marissa cuba buat? Takkan Harraz berpura-pura tidak mengenali wanita itu? Jadi selama ini adiknya itu berdendam pada Marissa? Satu je Shafqi nak tahu sekarang ini, apa tujuan Marissa memalsukan dirinya? Bahkan wanita itu menggunakan nama Orkid sebagai samaran. Bukan ke Orkid itu teman baik Marissa? Ah, makin berselirat otak Shafqi ketika ini. Dia harus menggali dan mencari jawapan bagi kekeliruan ini. Ya, dia perlu merungkaikan semuanya!

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now