BAB 7

5.7K 510 81
                                    

MARISSA menutup surah Yassin yang dibacanya. Kemudian, dia mengambil jug yang berisikan air dan bunga-bunga di dalamnya. Marissa menyiram bermula dari batu nisan hingga ke hujung tanah yang digambus.

Selendang yang hampir jatuh dibetulkan. Sebak yang bertandang di hatinya cuba diusir perlahan-lahan. Kata-kata Datin Syarifah tadi kembali terngiang-ngiang di fikiran.

"Mama tak nak kamu teruskan rancangan gila kamu tu, Ris!" Datin Syarifah meninggikan suara. Marissa yang sedang duduk di sofa itu dipandang geram.

"Kenapa semua orang beria-ria halang Ris? Ris bukan buat apa-apa pun? Ris cuma masuk dalam hidup Harraz, itu je! Apa salah ke yang Ris buat ni? Sekurang-kurangnya tak terlintas lagi difikiran Ris nak bunuh Harraz macam mana dia bunuh Lisa!" bergetar suara Marissa. Sebolehnya dia tidak mahu nadanya kedengaran kurang ajar.

Datin Syarifah mengucap panjang. "Ris, apa yang Ris tengah buat ni salah, nak... Dendam Ris hanya akan menghancurkan diri Ris je... Ris rasa apa yang Ris buat ni akan menghidupkan Lisa balik ke, Ris?"

Marissa membungkam. Mulutnya seakan terkunci rapat daripada berkata-kata. Otaknya sedang memproses butir-butir ayat Datin Syarifah. Ada benarnya juga apa yang dinasihatkan mamanya itu. Dia tetap tidak dapat mengembalikan Lisa ke bumi ini walau pelbagai cara dilakukan.

"Tak, ma. Ris takkan senang-senang nak lepaskan dia. Dia bunuh kawan Ris, ma! Dia punca Ris hilang Lisa! Dia punca Ris jadi macam ni!"

"Marissa! Kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni? Mana pergi iman kamu, Marissa?" kali ini, oktaf yang dilemparkan Datin Syarifah tinggi. Bengis saja mukanya memandang Marissa. Geram betul dia dengan kedegilan Marissa ini.

Marissa terpempan. Terangkat bahunya apabila Datin Syarifah melengking kuat. Buat pertama kali dia melihat mamanya marah sebegitu. Hatinya dijentik rasa sebak.

"Kalau kamu masih nak teruskan juga, kamu jangan datang jenguk mama lagi, Ris! Selagi kamu berdegil, selagi itu juga kamu jangan jejakkan kaki di rumah ni!" Datin Syarifah terus berlalu pergi. Dia tidak menoleh langsung pada anaknya itu. Amarah menguasai diri si ibu.

Setitis demi setitis air mata Marissa jatuh. Sampai macam tu sekali Datin Syarifah memarahinya. Marissa mengelap air mata yang sudah membasahi pipi. Tidak bertangguh lagi, dia terus mengambil tas tangannya dan berlalu keluar dari rumah agam itu. Tak betah dia nak duduk seorang diri di situ.

"Marah sangat mama dengan aku, Lisa..." Marissa menggumpal-gumpal tanah dihadapannya.

"Besar sangat ke dosa yang aku buat ni, Lisa?"

"Kenapa tak ada seorang pun yang faham apa yang aku rasa, Lisa?"

Akhirnya, Marissa tidak dapat lagi menahan tangisannya. Teresak-esak dia menangis di tanah perkuburan itu. Tangisannya kali ini bagaikan melepaskan apa yang terbuku di hati.

Marissa menggenggam kuat tangannya. Sedaya upaya dia cuba menahan tangis. Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian, dia melepaskan lelah berat yang dari tadi bersarang di hatinya.

"Aku balik dulu, Lisa. Ada masa, aku datang lagi."

Perlahan-lahan Marissa bangun. Longlai kakinya hendak melangkah pergi. Tapi, digagahkan juga kakinya untuk berjalan.

•••

"APA yang awak dah cakap dengan Ris, Pah? Kenapa awak halau dia dari rumah ni?" Dato Malik bersuara tegas.

"Ris mengadu dengan awak?"

Dato Malik menggeleng. "Ris tu anak kita, Pah. Sepatutnya dalam keadaan macam ni, kita bimbing dia. Bukan halau dia dari sini!"

"Dah berbuih mulut saya ni bercakap dengan dia! Tapi satu apa pun yang saya cakap, dia taknak dengar. Mak mana yang tak sedih, bang? Mak mana yang nak tengok anak dia tersilap buat keputusan? Saya ni cuma risaukan dia je!" ujar Datin Syarifah. Sudahlah Marissa itu satu-satunya anak yang dia ada. Sebagai ibu, dia mahukan yang terbaik buat anak daranya.

"Awak rasa dengan cara awak ni, akan buatkan Ris ubah fikiran dia? Saya tak rasa macam tu. Saya rasa cara awak ni hanya menambahkan lagi dendam dia pada Harraz, Pah."

Datin Syarifah terdiam. Niatnya tadi untuk menegur Marissa. Tidak sangka pula sampai macam ni jadinya. Entah macam manalah dia tergamak berkata begitu tadi.

"Pah, kalau nak ikutkan apa yang Ris buat tu memang salah. Tapi awak lupa satu perkara, rahsia yang kita simpan dari Ris, lebih besar salahnya. Kalau harini awak salahkan Ris, esok-esok saat dia tahu semuanya, kita pula yang disalahkan. Awak rasa, masa tu Ris akan terima ke?" Dato Malik menyambung lagi.

Makin dihurung rasa serba salah Datin Syarifah dibuatnya. Hati ibunya makin tidak tenang. Bilalah semua ni nak berakhir?

Maafkan mama, Ris...

"Apa patut saya buat sekarang ni, bang?" Datin Syarifah bertanya dengan nada risau. Helaan nafas berat dilepaskan oleh Dato Malik.

"Awak bagilah Ris tu masa dulu. Awak tahu kan Ris macam mana? Sama je macam awak. Kalau nak tahu awak tu macam mana, tengok perangai Ris. Keras kepala!" sempat lagi Dato Malik mengusik. Bukan apa, dia tidak mahu isterinya itu tertekan. Kesihatan Datin Syarifah adalah keutamaannya sekarang ini. Jika isterinya itu jatuh sakit, hati tuanya tidak akan tenang. Apatah lagi hubungan isteri dan anak gadis mereka tidak berapa baik. Nampaknya, dia harus memikirkan cara lain untuk menyatukan kembali Datin Syarifah dan Marissa.

"Ish orang tua ni..." Datin Syarifah menampar lembut tangan Dato Malik. Ada je yang mahu disakatnya. Usikan Dato Malik itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya.

"Saya naik atas dululah. Nak masuk waktu Zuhur dah ni. Nanti kita berjemaah sama-sama." Dato Malik bingkas bangun. Sebelum dia beredar, sempat lagi dia mencium dahi isterinya.

Datin Syarifah tersenyum dengan kelakuan Dato Malik. Masih romantis walaupun masing-masing sudah berumur. Tidak lama selepas itu, Datin Syarifah pula bangun lalu langkah kaki diatur menaiki satu persatu anak tangga.

1.0 | DENDAM CINTA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now