Bab 20

2.6K 202 13
                                    

Hadi memandang sekeliling sebaik sahaja menapak keluar dari kereta. Berikutnya Heiz, Irsyar, Athilia dan Syara. Pada pandangan Hadi, kawasan itu tidak ubah seperti bangunan yang terletak di dalam hutan.

Sekeliling mereka tatkala ini memang hutan. Hanya bangunan itu sahaja yang gah berdiri. Beg pakaian mula dikeluarkan sebaik sahaja bonet terbuka.

Guru yang mengiringi mereka hanya mampu mengucapkan kata-kata semangat sebelum terpaksa beredar. Kini hanya mereka berlima di hadapan pintu pagar bersama-sama beg pakaian.

"Ni tempat baru kan?" Soal Irsyad sebelum menepuk leher apabila terasa gatal. Hutan, sudah pasti banyak nyamuk.

"Ya, ni tempat baru. Pelajar yang dipilih untuk dapat pangkat pun semua kaw kaw." Jawab Athilia.

Mata mereka melilau memandang sekeliling. Ada mata-mata pelajar yang menjeling juga memandang rendah kepada mereka.

"Kau orang!" Jeritan itu membuatkan semua tertumpu pada gerangan tersebut.

Membulat mata Heiz tatkala gerangan tersebut adalah kakaknya sendiri. Apa benda yang Hana buat dekat sini? Rasanya pagi tadi sebelum berangkat ke sekolah, kakaknya sedang tidur kerana hari ini merupakan hujung minggu.

"Sampai pun! Jom lah semua." Teruja Hana seraya membantu Syara mengangkat beg baju.

"Sekejap, kenapa Hana boleh ada dekat sini?" Soal Heiz tidak berpuas hati.

"Adalah... Dah jom!" Hana jalan terlebih dahulu memasuki dewan besar.

Penuh pelajar yang sudah duduk di kerusi yang disediakan. Ada juga sebahagian daripada mereka sedang melaporkan diri di kawasan pendaftaran.

Bagi Hadi, tempat ini lebih teratur cara pendaftarannya daripada tempat sebelumnya. Hana yang sedang berceloteh bersama Syara dipandang. Sebaik sahaja pandangan mereka bertembung, laju-laju Hadi melarikan pandangan.

"Ini Sarjan Hadi Ehsan ya?"

Tersedar Hadi dari memandang persekitarannya dan terus mengangguk laju sebelum segala borang diberi.

Selesai mendaftar mereka mula duduk di kerusi yang ditetapkan mengikut nombor yang diberi. Syara dan Heiz mendapat nombor yang bersebelahan kemudian Irsyad, Athilia dan Hadi yang terakhir.

"Hai," Syara melambai tangan ke arah Heiz dan cepat cepat duduk.

"Apalah dosa aku ya Allah..." Keluh Heiz sebelum mengucap panjang.

Irsyad, Athilia dan Hadi hanya senyap. Di fikiran Irsyad masih penuh dengan kata maaf yang ingin dia lontarkan kepada Hana kerana hari itu dia berkasar dan memanggil Hana dengan panggilan yang tidak sepatutnya.

Begitu juga Hadi yang masih ragu-ragu untuk meminta maaf. Tapi wajah ceria Hana sebentar tadi tak menunjukkan Hana terluka pun dengannya. Buntu!

"Assalamualaikum kepada semua kadet yang sudi datang dan merasmikan tempat latihan penaikkan pangkat yang baharu ini!" Semua mula menepuk tangan.

"Pembinaan bangunan ini mengambil masa yang sekejap sahaja, ia juga tidak dirancang oleh pihak atasan. Saya Encik Salman akan menjaga awak semua sepanjang berada di sini. Selamat datang kami ucapkan kepada semua peserta kenaikkan pangkat pada tahun 2021!"

Sekali lagi dewan itu bergema dengan tepukan semangat dari semua peserta. Segelintir yang berada di dalam dewan sudah mula menayang wajah bosan apabila 'sepatah dua kata' yang diucap itu berpatah patah.

"Hana," panggil Hadi setelah beberapa kali berfikir.

Hana hanya menoleh sekilas sebelum memandang depan semula. Tercengang Hadi apabila Hana mengabaikan panggilannya begitu sahaja. Kalau dahulu, gadis itu lah paling teruja.

"Er... Hana, saya nak cakap sikit."

Kali ini Hana memandangnya namun gadis itu menayang wajah dingin.

"5minit." Itu sahaja yang Hana ucap.

Hadi menarik nafas. Sungguh kali ini Hana benar-benar terluka dengannya. Rasa bersalah mula menggunung tinggi. Itu orang kata kerana mulut badan binasa. Cabul sangat, padanlah muka.

"Saya nak minta maaf soal beberapa hari lepas. Saya tak sengaja buat andaian sendiri." Lancar tutur maafnya. Hadi yakin sangat yang Hana akan memaafkannya.

Diam.

Hanya itu yang Hana buat sebelum menoleh kehadapan semula. Kali ini Hadi sudah tidak senang duduk. Ke mana Hana yang tergilakan dirinya? Sejenak Hadi menoleh ke hadapan. Bukan sepatutnya dia suka ke bila Hana tak berminat dengannya?

Tapi kenapa sekarang perasaan itu terbalik. Hari-harinya terasa pelik apabila Hana diam dan tidak mengejarnya.

"Mama Hana sihat?" Sengaja soalan itu ditanya.

Anggukan kepala Hana membuatkan Hadi semakin tidak senang duduk. Suara Hana. Dia mahu Hana menjawab dengan suara bukan perbuatan.

"Hana... Saya betul-betul minta maaf. Saya salah sebab tuduh Hana dan bercakap kasar dengan Hana. Saya minta maaf,"

Hana yang tadinya menayang wajah serius mula tersenyum. Pantas wajah dikalih dan menghadap Hadi. Dagu turut ditongkat dengan tangannya.

"Hadi tak boleh hidup kan kalau tak ada Hana? Itulah, siapa suruh jual mahal. Tengok sekarang ni, kan dah tak senang duduk."

Tindakan Hana yang menongkat dagu di tepi kerusi membuatkan tubuh Hadi kebelakang. Mendengar pula ucapan Hana membuatkan wajah Hadi berubah merah. Terus dia memandang ke kiri berlawanan dengan Hana.

"Jadi sekarang Hadi dah suka Hana kan?" Seloroh Hana.

Melihat bibir Hadi sedikit terbuka untuk membalas persoalannya membuatkan dirinya teruja.

***

TeenFiction : Hadi & Hana ✓Where stories live. Discover now