32 | jumpa & izin

706 61 34
                                    

ABANG Am memerhati lelaki yang sedang duduk berhadapan dengannya. Menunggu dengan senyap sementara menanti beberapa hidangan kecil yang akan dibawa isterinya.

Terasa seperti pelanggan tetapnya kali ini bukan bertujuan untuk perkara remeh. Lagaknya ada perkara penting yang perlu diberitahu sehingga meminta untuk duduk berbual berdua.

"Ha, apa yang nak dibincangkan tu, Zay?" soal Abang Am pada Ace Zayren.

Ace Zayren merupakan pelanggan tetap di kafe Abang Am sejak kafe ini mula beroperasi beberapa tahun lalu. Ace Zayren gemar dengan kopi dan manisan yang disediakan di kafe ini. Lebih lagi mempunyai pemilik kafe yang ramah dan menyenangkan hati.

Ace Zayren menarik nafas terlebih dahulu.

"Sebenarnya, saya ada beberapa perkara penting yang nak bagi tahu pada abang," kata Ace Zayren dengan serius. Langsung tidak teragak-agak untuk bersuara. Muktamad dengan keputusannya.

"Mengenai apa tu?" soal Abang Am.

Matanya bertentang dengan Abang Am. Air liurnya ditelan dulu. Berpeluh-peluh dahinya bersama debaran yang semakin terasa. Semakin dia bertekad untuk memberitahu, semakin gelisah jadinya.

"Aura."

Mendengar sepotong nama itu, menegak badan Abang Am. Duduk menegak berbanding duduk secara santai tadi. Dahinya berkerut mendengar nama adiknya dipetik oleh Ace Zayren.

"Kau kenal adik aku?" soal Abang Am. Tertanya-tanya bagaimana Ace Zayren bisa mengenali Aura Helena sedangkan setahu dia, mereka tidak pernah berjumpa. Mungkin, di luar tanpa pengetahuannya?

Ace Zayren mengangguk kecil.

"Macam penting sangat sampai melibatkan adik aku. Kenapa?" soal Abang Am. Dadanya berdebar menunggu kata-kata yang bakal dikatakan oleh Ace Zayren.

Ace Zayren menarik nafas terlebih dahulu. Dia nekad. Dia mahu jujur dengan Abang Am. Memberitahu tentang kebenaran yang selama ini dia pegang. Kuat-kuat dalam hati. Biarlah kali ini dia luahkan kebenaran yang masih menjadi rahsia.

"Sebenarnya Aura bekerja di bawah syarikat saya. Jadi, kami dah kenal agak lama walaupun tak berapa rapat." Ace Zayren mula berbicara. Abang Am pula hanya mendengar dengan setia. Memberi peluang kepada Ace Zayren yang kelihatan tegang dan ragu-ragu.

"Lah, yeke. Baru aku tahu yang adik aku bekerja di bawah syarikat kau." Abang Am membalas. Ace Zayren menggariskan senyuman hambar.

"Tapi, kebelakangan ini masalah banyak sangat timbul. Secara tak sengaja, Aura terlibat sama. Jujur saya katakan, musuh saya salah faham antara hubungan Aura dan saya," kata Ace Zayren lagi.

"Kau jangan cakap yang selama dia sakit ni, semuanya disebabkan kau?" soal Abang Am. Suaranya mula meninggi dengan perasaan yang mula mendidih. Dia tak akan berdiam diri jika semuanya disebabkan lelaki asing itu!

"Saya minta maaf," pohon Ace Zayren. Menundukkan kepalanya sedikit.

"Kau!" jerit Abang Am kegeraman. Mendekati Ace Zayren sebelum kolar baju lelaki itu dicengkamnya kuat. Mendorong Ace Zayren supaya bertentang mata dengannya.

"Apa yang terjadi, huh? Apa yang kau dah buat pada adik aku?" soal Abang Am kegeraman. Tidak menyangka bahawa lelaki itu mengaku dengan mudah sahaja. Jika selama ini disebabkan lelaki itu, dia akan kerjakan secukupnya. Jangan sentuh adik aku!

"Kau tahu tak, adik aku sampai demam panas masuk hospital! Baik kau jelaskan sekarang apa yang jadi! Dia sampai trauma, tahu tak? Tapi bila aku tanya, dia taknak bagi tahu! Dia takutkan sesuatu!" jerkah Abang Am lagi.

Suasana kafe mula riuh. Kedengaran bisik-bisikan semakin kuat. Tiada seorang pun pekerja Abang Am yang berani menghampiri dan meleraikan suasana tegang itu. Takut jika lelaki itu semakin marah jika dihalang.

ACE ZAYREN'S©Donde viven las historias. Descúbrelo ahora