Bab 53

731 83 54
                                    

     TANGAN Miya yang terletak di atas meja diambil lalu diletakkan pada dadanya. Sepasang mata yang asyik berair itu direnung redup. Sejak semalam Miya tidak mahu membuka mulut untuk menjawab soalannya. Selalu termenung sehingga turun makan pun tidak mahu. Risau pula akan keadaan Miya namun dia masih perlu tahu tentang masalah gadis ini bersama Enrique.

     "Miya," panggil Freddy lembut.

     Miya memalingkan wajah ke sisi. Sehingga sekarang dia tidak bersedia untuk membincangkan hal itu bersama Freddy. Dia takut Freddy akan kembali memarahinya kerana telah mencampur tangan dalam urusan kerja lelaki itu.

     "Awak rasa, kan? Sampai sekarang jantung ni masih berdegup dengan sihat. Awak memang betul-betul nak jantung ni berhenti ke? Kalau terus diam macam ni, macam mana masalah nak selesai?" soal Freddy tenang.

     Miya memejamkan mata rapat. Air mata yang bertakung di tubir mata sejak tadi laju turun membelahi pipi mulusnya. Tapak tangan pada dada Freddy cuba ditarik namun tidak boleh. Semakin kemas Freddy memegang tangannya.

     "Awak boleh diam sampai saya mati dalam tangan Enrique. Saya kenal Enrique sejak kecik, dia jenis manusia yang berdendam teruk. Saya betul tak tahu dari mana dia dapat cerita yang entah apa-apa ni tapi tak apa, saya tak kisah pun pasal nyawa saya." Freddy meletakkan tangan Miya ke atas meja seperti tadi sebelum dia bangun dari duduknya.

     "Tapi saya tak nak kehilangan awak," kata Miya perlahan.

     "Sikap yang awak tunjuk macam awak nak kehilangan saya." Freddy berkata sinis.

     "Awak tak faham." Miya menggeleng kecil.

     "Jelaskan sampai saya faham."

     "Boleh tak kita lupakan semua ni? Saya tak nak kita bergaduh lagi." Miya memegang lengan Freddy.

     Freddy meleraikan pegangan tangan Miya sebelum dia beredar tanpa kata. Tidak habis-habis ingin melupakan masalah begitu saja. Tidak kisah jika tidak melibatkan orang lain tetapi sekarang kata-kata Enrique tempoh hari seakan ingin mengajak mereka semua berperang.

     "Fred..." panggil Miya namun Freddy terus melangkah keluar tanpa menoleh ke arahnya. Esakannya mula kedengaran memenuhi ruang bilik itu. Kedua-dua belah lututnya dipeluk erat. Fikiran bukan-bukan mula memenuhi ruang fikirannya. Dia perlu melakukan sesuatu.

     "Fred!" Miya bangun dari kerusi lalu melangkah ke pintu. Dia tidak boleh membiarkan Freddy membahayakan diri dengan cara berhadapan dengan Enrique ketika ini.

     "Fred!" Miya menuruni anak tangga dengan laju.

     Belakang tubuh Freddy yang sedang menuju ke dapur dipeluk erat membuat langkah lelaki itu terhenti.

     "Saya yang kawal semua sistem keselamatan awak sekarang dan Enrique mengamuk lepas dapat tahu pasal tu. Tapi saya tak tahu macam mana dia boleh jumpa pasal arahan awak pada Zirul. Sumpah saya tak tahu, saya dah cuba padam semua bukti untuk lindungi awak tapi saya gagal..." Miya menjelaskan dalam tangisannya.

     "Apa maksud arahan saya pada Zirul?" Freddy berpaling menghadap Miya.

     "Saya tahu awak suruh dia bunuh Enrique. Semua saya dah dengar melalui voice note tu, saya dapat rasa Enrique pun dah dengar voice note yang sama."

     Freddy mengetap gigi sehingga menggerakkan tulang rahangnya. Adakah Enrique ingin menjatuhkannya dengan cara ini? Lelaki itu memang benar-benar licik dan misteri.

*****

     Herith membuka plastik asikrim yang baru diambil dari peti ais. Aiskrim itu dimakan sambil dia melangkah ke pintu dapur. Hujan lebat yang turun membasahi bumi dilihat dari muka pintu. Walaupun separuh dari halaman belakang rumah ditutupi dengan atap kaca lutsinar, dia tetap tiada rasa untuk keluar. Pintu kembali ditutup.

𝐓𝐡𝐞 𝐌𝐚𝐟𝐢𝐚Where stories live. Discover now