Bab 68

1.4K 66 13
                                    

            Mata Haiyan tidak lepas menatap seraut wajah mendung itu. Hatinya tidak senang melihat kebisuan isterinya. Macam ada benda tidak kena berlaku sahaja apabila kebisuan menemani mereka sepanjang perjalanan.

Aisyah kelihatan dalam dunianya sendiri tanpa mempedulikan dia di sini. Perubahan wanita itu turut memberi kesan kepadanya.

Tanpa amaran, tangan Aisyah yang terletak di atas riba itu diraih lembut. Isterinya yang pada mulanya ralit pandang di luar tingkap, pantas menoleh ke arah Haiyan saat merasakan sentuhan hangat di tangannya. Redup tatapan mata suaminya.

"Jiha okey?" soalnya kedengaran risau.

Aisyah cuba tersenyum. Perlahan dia jatuhkan kepala.

"Jiha okey, cuma rasa sedih sikit." Suaranya perlahan. Kepala sedikit menunduk, melarikan wajah daripada menjadi tatapan lelaki itu.

"Mungkin sebab ni kali pertama sayang berpisah dengan Anas, kan?" Haiyan kembali bersuara setelah lama berdiam.

Keluar sahaja nama Anas di bibir suaminya, sebak yang pada awal sedia bertandang, semakin menjadi-jadi pula dirasai.

Padahal itu bukan sebab utama Aisyah  bersedih. Hatinya kembali pedih.

"T...tapi sebenarnya... bukan itu yang buatkan Jiha sedih." Aisyah berpaling ke tepi. Hati cuba dikuatkan walaupun saat ini dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri.

Dia takut, takut dengan pemikirannya, menjadi kenyataan.

Haiyan menegakkan tubuhnya seraya mengerutkan dahi. "Habis tu, apa yang Jiha sedih kan?"

Aisyah tarik nafas dalam. Tapak tangannya direnung penuh perasaan gemuruh. Saat ini nafasnya terasa sungguh singkat.

"Jiha sebenarnya tak kesah pun Anas duduk dengan ibu. Cuma, Jiha sedih. Orang yang Jiha paling sayang dah tak nak berkongsi rasa. Bahkan dia pernah berkata, dia akan berbincang sama-sama kalau kita sama-sama ada masalah walau macam mana sekalipun." Serentak itu Aisyah angkat wajah pandang Haiyan. Penuh dalam pandangan itu.

Haiyan bungkam. Senyuman di bibirnya terus mati. Tertampar dia dengan bait bicara isterinya sendiri. Wajahnya bertukar pucat.

"K...kenapa Jiha cakap macam tu?"

Sungguh, jantungnya saat ini berdetak laju menantikan Aisyah kembali bersuara. Dapat dia lihat serata tubuh itu mengigil menahan tangis. Sempat matanya mengerling ke arah Encik Daus yang fokus memandu tanpa pedulikan ketegangan antara mereka sebagai pasangan suami isteri. Bagaikan memahami krisis rumah tangga mereka.

"Abang... Jiha rasa, Jiha perlu tanya sesuatu pada abang." Aisyah bersuara payah. Laju manik-manik halus itu keluar membasahi pipi wanita kesayangannya itu.

Haiyan kembali mengalihkan pandang ke arah Aisyah. Melihat pipi isterinya sudah basah membuatkan Haiyan agak terkelu.

"Semalam, Jiha kemas barang abang tapi, Jiha terjumpa sesuatu..." Aisyah menghelakan nafas berat. Dengan tangan terketar-ketar, dia selongkar beg kecilnya mencari sesuatu.

Tidak semena-mena seutas rantai di tunjukkan kepada Haiyan. Air muka Haiyan berubah tatkala matanya merenung rantai di tangan isterinya. Bibirnya kering.

Rantai ini...

"Jiha nak tanya abang, macam mana rantai ni boleh ada dengan abang? Ini rantai Hanan. Jiha yakin ni rantai dia." Berkaca-kaca mata Aisyah memandang Haiyan. Terasa disiat-siat hatinya saat ini.

Bukan setakat itu sahaja. Hatinya bertambah carik apabila Haiyan hanya diam tidak membalas kata-katanya.

"Jiha ni tak berhak ke tahu apa-apa isi hati abang?" Soalnya lagi.

[C] Please Remember Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ